New Balance Aktifkan Sesi Pertama Komuniti Larian NBRC Bagi Tahun 2022

Share

Melakukan aktiviti larian kini bukan sahaja menjadi salah satu cara mengaktifkan kecergasan fizikal dan mental malah ia menjadi medium penyatuan komuniti yang cukup kuat.

Terdapat perbezaan yang ketara apabila melakukan larian dalam bentuk kumpulan berbanding secara solo. Bagi MASKULIN sendiri melakukan larian dalam kumpulan bukan sahaja lebih menyeronokkan tetapi mampu meningkatkan prestasi diri.

Di antara jenama sukan yang cukup aktif menganjurkan aktiviti komuniti larian ialah New Balance. Baru-baru ini, New Balance telah berjaya melancarkan semula komuniti lariannya iaitu New Balance Running Club (NBRC).

Pada sesi pertama baru-baru ini yang berlangsung di Taman TTDI, Kuala Lumpur menyaksikan lebih 30 peserta hadir menjayakan aktiviti dianjurkan tersebut.

Menurut New Balance, mereka berazam untuk membina sebuah komuniti di mana penggemar aktiviti kecergasan boleh sama-sama berkongsi minat serta saling memberi inspirasi terhadap satu sama lain.

Bagi merealisasikan objektif tersebut, NBRC akan menjadi platform buat peserta untuk bertemu di antara satu sama lain selain memberikan pelbagai tunjuk ajar dan teknik larian bagi meningkatkan prestasi setiap individu.

Sesi yang dijalankan oleh NBRC menyaksikan ia diterajui oleh dua orang jurulatih berpengalaman. Mereka ialah Karen Siah yang merupakan jurulatih larian, pelari maraton dan atlet triatlon serta Azham Kasiron, jurulatih teknik larian, pelari maraton dan pacer yang mempunyai pengalaman selama 15 tahun.

Karen Siah dan Azham Kasiron

Setiap sesi yang dijalankan NBRC meliputi aktiviti memanaskan badan, regangan, teknik larian, kelajuan serta ketahanan diri. Selain itu, setiap minggu juga menyaksikan pelbagai perkongsian akan dilakukan. Ini termasuklah latihan Fartlek, larian tempo dan latihan interval sepanjang kalendar tahunan.

‘Fartlek’ atau speed paly merupakan teknik yang biasa digunakan untuk kelajuan berperingkat bagi meningkatkan kelajuan larian seseorang pelari dan meningkatkan stamina. Manakala tempo run pula dilakukan bagi melatih ketahanan fizikal yang mantap.

Aktiviti yang dianjurkan NBRC bakal dilakukan setiap minggu setiap hari Sabtu dari jam 7 pagi hingga 8 pagi di Taman TTDI. Jika anda berminat untuk menyertai bolehlah dapatkan maklumat lanjut di Facebook New Balance Malaysia.

Dan ia terbuka kepada semua secara percuma!

Jangan lupa subscribe YouTube MASKULIN untuk seleksi video terkini!

Published by
Farizul Izwany Ibrahim