Bidang utama beliau adalah Hartanah, Pengurusan Fasiliti, Pemasaran Hartanah, Agensi Harta Tanah dan Pembangunan Hartanah. Beliau merupakan bekas pensyarah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang sama seperti sekarang ini di Universiti John Moores, Liverpool.
Kepakarannya dalam dunia pengurusan dan penilaian membuatkan beliau sering dirujuk untuk mendapatkan pandangan atau idea. Buktinya penulisannya dalam bidang tersebut telah banyak dikeluarkan dalam artikel-artikel di luar negara. Antaranya ‘A Critical Review on Innovation in Facilities Management Service Delivery. Facilities. Vol. 27. No.5/6’, ‘A discussion of UK commercial property service charges.’ Journal of Retail & Leisure Property 8(2):119-138, dan ‘The application of SCM and collaborative innovation in the delivery of FM services.’ Journal of Facilities Management 7(4):283 – 297’.
Takut Angka Penyebab Perubahannya
Bagaimana terfikir untuk menjadi pendidik di sebuah universiti yang tertaraf dunia? Itu soalan penulis di awal temubual kami berdua. Menurut beliau, faktor cabar diri menjadi kata kunci mengenai kejayaan dalam dirinya. Terutama dalam bidang kerjaya. Walaupun sukar tetapi cabaran itu tetap diharungi juga.
“Kehidupan yang berlangsung banyak memberi inspirasi agar meneruskan hidup ini sebagai individu yang luar biasa. Satu demi satu pengalaman yang saya dapat seakan memberi tanda untuk terus ke tahap yang lebih tinggi . Makna yang mendorong saya supaya berubah ke tahap yang lebih baik di masa akan datang. Sesungguhnya tiada yang mustahil untuk dilakukan jika tidak selalu disertakan dengan alasan.
Jujur saya katakan yang saya cabar diri untuk maju dalam hidup. Sewaktu saya mengajar di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) saya kata pada diri sendiri; jika saya boleh mengajar anak tempatan apakata saya cuba untuk mengajar anak-anak mat salleh di luar sana pula. Sedangkan waktu itu pertuturan bahasa enggeris saya tidaklah berapa bagus. Jika bercakap pun sekadar ‘broken english’.
Waktu itu juga salah seorang rakan yang bekerja sebagai pensyarah menyarankan agar saya memohon mengajar bidang seni ukur. Saya terus cakap tidak! Ini kerana saya tidak berapa pandai dengan subjek pengiraan. Saya akui sejak kecil lagi saya agak fobia dan lemah dengan angka terutamanya subjek matematik.
Mendengar jawapan saya itu, rakan tersebut memberi jaminan bahawa di John Moores Universiti terdapat pakar yang arif dalam subjek tersebut dan setiap masalah yang timbul boleh dirujuk kepada beliau. Akhirnya saya bersetuju dan permohonan saya itu diterima.”
Jelas beliau, sepanjang sesi pengajarannya dia juga masih belajar dari pakar-pakar yang berpengalaman untuk memantapkan karier sebagai seorang pensyarah. Akhirnya segala kesukaran yang datang berjaya diatasi berkat kegigihan beliau yang tiada batasan itu.
Belajar English Dengan Pelajar
Untuk berjaya dan meneruskan kehidupan di negara orang tidak semudah yang disangka. Alah biasa tegal biasa. Pengalaman yang dikutip Nazali tidak pernah dipersia-siakan. Bertugas sebagai pensyarah di dalam dan luar negara membuatkan dirinya arif akan selok belok dunia pendidikan.
“Di Universiti, saya bertindak sebagai ahli akademik yang mana tanggungjawabnya adalah untuk berkongsi dan mencurahkan sebanyak mana ilmu yang saya ketahui kepada siswa dan siswi di peringkat PhD, Master dan Ijazah. Sibuk sudah semestinya tetapi itulah keseronokan dan nikmat yang saya kecapi sebenarnya. Tidak mudah sebenarnya mengajar bangsa asing kerana mereka agak agresif dan lebih terbuka. Maka saya perlu menyiapkan diri seadanya.
Pelajar di sini gemar bertanya mengapa ini terjadi dan mengapa itu berlaku. Setiap pembelajaran itu tidak terhenti setakat di dalam bilik kuliah. Akan sentiasa ada komunikasi antara pensyarah juga pelajar tanpa mengira masa. Jalinan ini membuatkan hubungan antara pengajar dan pelajar cukup erat dan setiap sesi pembelajaran yang saya beri dapat diterima dengan mudah.
Situasi ini cukup berbeza sewaktu saya mengajar di Malaysia. Pelajar kita lebih banyak menerima dan kurang bertanya. Jika ada pun bilangannya terlalu sedikit. Itu perbezaan yang ketara antara pelajar di Malaysia dan di United Kingdom.
Mengenai cara saya mengawal masalah tiada apa yang menarik. Cuma setiap masalah yang datang saya cuba ungkai dengan sebaiknya. Semangat saya pernah luntur sewaktu mengajar tetapi saya bangkit kembali bila mengenangkan janji pada diri sendiri untuk mendidik pelajar sebaiknya,” .
Ujarnya lagi, terdapat kelebihan berada di luar negara. Selain menerima perubahan baru dalam kehidupan, beliau juga berjaya memperbaiki penguasaan bahasa Englishnya.
“Siapa sangka dan siapa boleh menduga. Perkara yang lucu apabila menceritakan saya belajar menguasai bahasa enggeris dengan pelajar sendiri. Mereka juga memberikan sokongan untuk saya menguasai bahasa tersebut dengan lebih fasih. Tanpa mereka mungkin sehingga kini saya masih lagi bertutur dengan ‘broken english’,” cerita beliau.