Nak Kuruskan Badan Dalam Masa Singkat, Syaratnya Jangan Buat 7 Kesilapan Ini!

Share

Apabila berat naik, cara mudah untuk menurunkan berat badan ialah dengan melakukan diet. Dalam keghairahan berdiet, pastikan anda elak buat kesilapan-kesilapan ini agar anda miliki badan kurus dalam masa singkat.

Bagi memastikan misi diet anda berjaya, pastikan anda tak buat 7 kesilapan ini. Kalau tak disiplin, macam mana badan nak kurus?

1. Tidak menghitung kalori dalam minuman

Jangan lupa untuk menghitung berapa jumlah kalori dalam minuman yang anda ambil. Tanpa anda sedar, kopi atau minuman manis yang anda ambil mungkin mengandungi beberapa ratus kalori. Begitu juga dengan jus buah dan minuman bersoda.

Dengan mengambil pelbagai minuman ini, rasa lapar anda tidak akan berkurangan dan anda tetap perlu makan sehingga akhirnya anda mengambil lebih banyak kalori daripada yang telah dirancang.

Daripada anda meneka-neka berapa jumlah kalori yang ada di dalam minuman bersoda atau kopi anda, lebih baik anda memilih air putih. Ini kerana air putih merupakan salah satu elemen penting untuk membakar kalori.

Jika anda mengalami dehidrasi, metabolisme tubuh juga akan menurun dan membuat penurunan berat badan anda lebih lambat. Minumlah sekurang-kurangnya lapan gelas atau lebih air putih setiap hari untuk membakar lebih banyak kalori.

2. Abaikan pengambilan kalsium

Abaikan setiap saranan yang meminta anda untuk menghindari susu penuh krim, keju dan aiskrim ketika berdiet. Tubuh membakar lebih banyak lemak apabila anda mengambil cukup kalsium setiap hari, sekali gus menghasilkan lebih banyak lemak apabila anda kekurangan kalsium.

Mengambil suplemen kalsium seperti tidak memberikan kesan yang sama dengan mengambil susu dan produk tenusu. Apabila anda risau lemak yang ada di dalam susu penuh krim, gantikanlah dengan susu rendah lemak.

3. Sering mengambil makanan segera

Waktu makan tengah hari yang terbatas ada ketikanya membuatkan anda mengambil jalan pintas dengan makan makanan segera. Seseorang yang mengambil makanan segera lebih daripada dua kali seminggu akan mengalami peningkatan berat badan sebanyak lima kilogram lebih banyak daripada orang yang hanya mengambil makanan segera kurang daripada satu kali setiap minggu.

Apabila anda sangat sibuk sehingga waktu makan tengah hari terbatas, ini adalah alasan yang kuat untuk menyiapkan bekalan makan tengah hari anda dari rumah. Jika anda terpaksa makan tengah hari di luar pejabat, kurangkanlah saiz hidangan makanan anda menjadi setengah saja atau pilihlah menu masakan yang rendah kalori serta tinggi protein.

Anda juga boleh memenuhi meja kerja dengan makanan sihat seperti roti gandum, kismis, sayuran kering, kacang-kacangan dan buah-buahan sebagai snek waktu petang atau sebelum makan tengah hari. Dengan snek sihat ini akan mengurangkan anda untuk mengambil makanan lain yang mungkin tidak sesuai untuk diet.

4. Menetapkan sasaran terlalu tinggi

Menetapkan sasaran yang terlalu tinggi dapat membuatkan anda kecewa ketika tidak berhasil mencapainya, bahkan membuatkan anda menangguhkan-nangguhkan diet kerana tahu bahawa hal itu mustahil.

Sesiapapun berhak untuk menetapkan sasaran dan memperoleh berat badan yang ideal. Tetapi jangan lupa bahawa diet lebih kepada perubahan gaya hidup untuk mencapai kualiti kesihatan yang lebih baik. Diet bukanlah tentang perlumbaan atau mencapai kesempurnaan.

Kunci diet yang berhasil ialah dengan menetapkan sasaran-sasaran kecil yang mampu anda raih dalam tempoh tertentu secara konsisten. Misalnya anda menetapkan untuk menurunkan berat badan dua kilogram dalam satu bulan. Apabila anda konsisten dalam mencapainya, maka berat badan anda akan turun sebanyak
24 kilogram dalam setahun.

Hal ini lebih mudah dilakukan kerana ia terjadi secara berperingkat dan tidak memberikan bebanan mental yang terlalu besar kepada anda. Jauhi penurunan berat yang mendadak kerana ia boleh membahayakan kesihatan.

5. Tidak bersenam

Jangan bergantung hanya pada diet semata-mata. Apabila anda bersenam dan lebih aktif, maka akan lebih banyak kalori yang dibakar untuk mendorong penurunan berat badan.

Senaman selama 60-90 minit, tiga hingga empat kali seminggu wajib anda lakukan. Paduan aerobik berupa joging dan berjalan kaki masing-masing berselang-seling setiap tiga minit, cukup efektif untuk membakar lemak. Jika anda tidak sempat, berjalan kaki sekeliling rumah atau ruang pejabat selama lima minit setiap selang satu jam kerana ia boleh membakar 200-300 kalori.

6. Memilih produk ‘rendah lemak’

Kita selalu memilih makanan atau produk yang dilabelkan sebagai ‘rendah lemak’ dan merasakan ia baik untuk kesihatan serta boleh membantu menurunkan berat badan. Hakikatnya, produk ini mempunyai nilai kalori yang tinggi kerana kandungan gulanya sangat tinggi.

Pengeluar produk sebegini mengurangkan lemak dalam produk mereka tetapi menambahkan kandungan gula untuk membuatkan produk jadi lebih sedap. Kajian sains mendapati, lemak mono tak tepu (kekacang, avocado, minyak zaitun) dan lemak Omega 3 daripada ikan baik untuk menurunkan berat badan.

7. Memilih minuman ‘diet’

Satu kajian di Texas Health Science Center di San Antonio, Amerika Syarikat mendapati seseorang yang mengambil minuman ‘diet’ menghadapi sehingga 70 peratus peningkatan saiz pinggang daripada seseorang yang mengambil minuman biasa. Kajian sebelumnya mendapati, risiko obesiti bertambah sehingga 41 peratus untuk penggemar minuman ‘diet’.

Menurut pakar pemakanan, fenomena ini berlaku kerana pemanis tiruan aspartame yang rendah kalori dalam minuman ‘diet’ meningkatkan selera makan dan menghalang otak mendapat ‘isyarat kenyang’ apabila perut sudah penuh. Minuman terbaik untuk menurunkan berat badan ialah air mineral.

Jika anda gagal dalam percubaan pertama untuk menurunkan berat badan, jangan cepat mengalah. Kajian mendapati seseorang yang hanya cuba menurunkan berat badan mendapat faedah kesihatan walaupun gagal menurunkan berat walau sedikit pun.

Published by
Roselinda