Sifat muzik adalah menghibur, maka tiada sebab pemuzik perlu bekerja dalam keadaan yang tertekan, demikian pendirian Chaan selaku Pengarah Muzik.
“Saya terapkan enjoy,” kata Chaan ketika ditemu bual Maskulin untuk episod terbaharu Man Of The Moment.
“Kalau kita tense dekat belakang, sebenarnya orang dekat depan (penonton) pun boleh rasa benda itu,” jelasnya.
Chaan, atau nama sebenarnya Mohamad Sharhan Syazwan bin Mohd Ashri mula dikenali umum apabila namanya sering disebut-sebut oleh Elly Mazlein selaku pengacara konsert Big Stage 2023.
Selain Big Stage, Chaan juga mengemudikan iringan muzik bagi konsert-konsert lain seperti Gegar Vaganza (GV) dan Konsert Malam Bulan Bintang 2023.
Bercerita megenai kerjaya muziknya, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini mengakui sudah meminati bidang ini sejak kecil.
Apa tidaknya, ayahnya yang mempunyai hobi yang sama itu sudah mengajarkannya bermain papan nada seawal usia tujuh tahun.
“Eventually dia (ayah) dah mula ajar saya main gitar, main dram sikit-sikit, bass,” ujarnya.
Ketika menginjak usia 15 tahun, Chaan menyuarakan hasratnya untuk meneruskan pengajian di bidang muzik apabila ditanya oleh ayahnya.
“Jadi dia (ayah) pergi check dekat universiti yang untuk pursue bidang muzik ni, apa minimum requirement dia,” ujarnya.
Susulan itu, Chaan langsung meneruskan pengajian di bidang tersebut selepas tamat mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sebelum berjaya menjadi seorang Pengarah Muzik, Chaan juga membanting tulang seperti orang lain sebelum bergelar suami dan ayah kepada tiga orang anak.
Dari 2007 hingga 2010, Chaan melakukan sehingga tujuh pekerjaan demi menyara kehidupan seharian.
Meskipun ketika itu Chaan mempunyai kerjaya hakiki sebagai pemuzik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), beliau juga bermain muzik di pusat membeli-belah 1 Utama, Bandar Utama pada waktu petang.
Pada waktu malam, Chaan bermain muzik lagi di sebuah restoran di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pula.
Pada hujung minggu pula, Chaan mengambil upah mengajar muzik di waktu pagi.
Selain itu, beliau turut menjalankan khidmat bekalan sistem siaraya (PA system) untuk majlis perkahwinan di samping membuat persembahan untuk siaran televisyen dan majlis perkahwinan.
Dalam masa yang sama, Chaan turut menjalankan perniagaan alat ganti kereta yang diperoleh melalui kereta potong (halfcut).
Selepas namanya mula dikenali, ramai yang mula meletakkan kepercayaan yang Chaan bakal meneruskan legasi pemuzik terkenal Dato Ramli MS, atau lebih mesra disapa Tok Ram.
Mengulas mengenai perkara itu, Chaan sangat berbesar hati jika beliau mampu menjadi pelapis kepada gurunya itu.
“Dia (Tok Ram) selalu pesan, jangan terlalu bersemangat untuk buat susunan muzik yang berlebih-lebih, yang nak menunjuk-nunjuk. Sentiasa faham tugas kita. Tinggi mana pun kita, kita hanyalah pengiring,” ceritanya.
“Dalam persembahan, kita (pemuzik) kena anggap penyanyi itu adalah ‘Sultan’. Kita hanya ‘pengiring’.
“So, don’t overshadow King,” demikian pesanan Tok Ram yang sentiasa terpahat di dalam hati Chaan setiap kali melaksanakan tugasan.
Chaan tampil sebagai jejaka kelima Man Of The Moment Maskulin selepas Aeril Zafrel, Dato Zainal Abidin, Beto Kusyairy dan Bell Ngasri.
Penampilannya di dalam episode kelima itu menjadikannya jejaka pertama dari kalangan bukan selebriti.
Tonton episod penuh di saluran Youtube Maskulin.