Mulakan Dengan Niat, Jaga Makan & Minum Air Kosong, Lelaki Ini Berubah Dari 148kg Kepada 78kg!

Share

Perjalanan menurunkan berat badan merupakan satu dugaan yang cukup besar terutamanya kepada mereka yang mempunyai masalah berat badan.

Tidak dinafikan ramai juga yang terkandas separuh jalan dan kembali kepada gaya hidup lama selepas tidak mendapat hasil seperti yang dimahukan. Ia sebenarnya satu perkara yang sudah banyak berlaku.

Menurunkan berat badan tanpa sebarang kesungguhan, ilmu serta disiplin yang tinggi memang akan berpotensi besar untuk tidak mendapat hasil dalam jangka masa singkat atau panjang. Berkongsi tentang Fit Journey yang dilaluinya, Khuzairi Sakariya yang berusia 28 tahun berkongsi sedikit sebanyak tentang pengalamannya menurunkan berat badan.

Berat dahulu

Suatu ketika Khuzairi pernah mendapati berat badannya sehingga 148kg. Sehinggalah kemudian dia bertekad untuk mengubah dirinya dengan melakukan perubahan pada tabiat pemakanan, sikap dan juga senaman.

MASKULIN sempat menemubualnya secara ringkas tentang kisah serta rahsia kejayaannya menurunkan berat badan pada angka yang cukup hebat. Ikuti kisah jejaka berasal dari ibu negara, Kuala Lumpur ini di bawah.

TABIAT PEMAKANAN SEBELUM INI

Dahulu saya kalau sarapan pun boleh makan sampai tiga kali. Sekali sarapan paling tidak dua atau tiga bungkus nasi lemak. Makan tengahari pula nasi mesti selonggok banyaknya. Sebelah petang pula selalu makan makanan snek seperti pisang goreng, keropok lekor atau cekodok.

Itu belum masuk dengan air manis lagi. Untuk lunch sehaja saya boleh habiskan sebotol air Coke. Kalau bancuh air pula mesti buat Milo dengan susu pekat sampai separuh tin. Kalau balik lewat pula saya biasanya akan bungkuskan makanan seperti kuetiau goreng.

Penampilan terkini!

KESUKARAN DAN MASALAH KESIHATAN ANDA ALAMI

Dahulu saya tidak ada apa-apa masalah sangat walaupun berat badan sangat tinggi. Cuma ketika itu saya mudah sangat rasa penat dan tak boleh nak bersila. Kaki pula cepat sangat rasa kebas yang menyukarkan pergerakan. Pernah sekali ketika di tingkatan empat akibat terlalu lama duduk saya berasa kebas sampai tak boleh nak berdiri. Kena ada orang tolong papahkan baru dapat berdiri dengan baik.

ADAKAH MASALAH BERAT BADAN TURUT MENJEJASKAN KESIHATAN MENTAL DAN EMOSI?

Ya, tidak dinafikan masalah berat badan menjejaskan kesihatan mental saya. Ketika berusia 15 tahun saya pernah sampai tiga kali nak tamatkan riwayat sendiri. Memang masa itu keyakinan diri langsung tak ada. Setiap malam selalu menangis, malah ketika menunggang motosikal pun boleh menangis bila mengenangkan kondisi diri.

PERNAH ANDA JADI MANGSA BULU DAN DIEJEK KERANA PENAMPILAN DIRI

Ejekan ini perkara biasa. Ketika sekolah kawan-kawan selalu tendang kerusi saya. Segala macam jenis gelaran mereka panggil. Antaranya seperti ‘mok’ dan ‘lembu’. Selain itu saya juga tak banyak baju disebabkan pakaian bersaiz besar ini harganya lebih mahal.

PERKARA MEMBUATKAN ANDA INGIN TURUNKAN BERAT BADAN

Sejak kecil saya tak pernah ada berat badan yang ideal. Jadi saya teringin sangat untuk ada berat yang baik dan lebih kurus dari sedia ada. Saya mahu merasakan diri bagaimana nikmat tersebut macam mana. Bila berusia 19 tahun saya mula terfikir apakah yang akan berlaku kepada saya dalam tempoh lima tahun akan datang jika berat langsung tak berubah dan turun. Saya fikir, saya masih muda dan teringin untuk menjelajahi dan mengembara satu dunia.

LANGKAH PERTAMA DIAMBIL UNTUK TURUNKAN BERAT BADAN

Pertama sekali yang paling penting ialah kena pasang niat yang betul. Kemudian kena sentiasa jaga makan. Saya tidak ‘potong’ gula sepenuhnya namun kurangkan pengambilannya serta makanan berminyak dan bergaram tinggi. Lebihkan minum air kosong.

Dari segi senaman saya mulakan dengan melakukan aktiviti berjalan atau brisk walking. Pada bulan pertama sahaja saya turun sebanyak 13kg. Kemudian genap tiga bulan turun 28kg, setahun 66kg dan sehingga tiga tahun saya telah turun 75kg.

PERKARA PALING SUKAR SEPANJANG PROSES INGIN TURUNKAN BERAT BADAN

Setakat ini tak rasa susah sangat pun. Mungkin disebabkan sayan sudah pasang tekad untuk kuruskan badan dengan bersungguh-sungguh. Masa mula buat dulu diri sangat berkobar-kobar sampaikan tak fikir sangat akan kesukaran dan cabaran.

RAHSIA KEJAYAAN ANDA YANG SEBENAR

Takde rahsia sebenarnya. Cuma ‘WHY’ tu kena kuat. Kena tahu apa yang kita nak jika nak turunkan berat badan kena lakukan dengan betul-betul. Macam mana saya boleh turunkan sebanyak itu?

Sebab saya betul-betul mahukan perubahan dan sudah serik dengan keadaan diri yang mempunyai berat badan berlebihan. Sebelum tu tak pernah pakai seluar besaiz 32. Paling penting bagi saya kena ada fokus dan disiplin.

KETIKA BERDEPAN RASA PUTUS ASA, APA ANDA LAKUKAN?

Saya akan ingat balik ‘kenapa aku mulakan misi nak turunkan berat badan?’ Sebab nak sihat! Usia baru 19 tahun tapi berat badan dah sebesar itu. Selain itu, saya juga ada memasang impian untuk memiliki bisnes dan bahagiakan kedua orang tua. Kalau badan besar semua itu agak susah nak saya kabulkan.

RUTIN PEMAKANAN SEKARANG

Konsep saya 80% nutrition dan 20% work out. Sebelah pagi saya akan buat healthy smoothie. Lunch makan macam bias dengan nasi separuh dengan lauk ayam dan sayur. Manakala untuk snacking pula saya pilih buah atau roti dengan peanut butter. Makan malam juga lebih kurang sama. Selepas itu saya work out di gym pada waktu malam.

BOLEH KONGSI TIP ANDA KEPADA MEREKA YANG INGIN TURUNKAN BERAT BADAN

Tip dia satu saja… Kena mula dari sekarang! Kalau dah ada banyak tip tapi tak buat pun apa gunanya juga. Jangan suka bertangguh-tangguh dan terus mulakan dari sekarang. Dan cara ‘WHY’ masing-masing kenapa nak turunkan berat badan. Niat tu sangat penting!

Terima kasih MASKULIN ucapkan kepada saudara Khuzairi yang sudi ditemu bual bagi berkongsi FIT JOURNEY yang telah dilakukannya dengan sangat baik. Semoga perkongsian ini memberikan banyak manfaat untuk anda.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim