Sukan

Mula Dengan Angan-Angan Melihat Undertaker, Ayez Shaukat Kini Pelopor Gusti Profesional Malaysia

Share

Bermula dengan sekadar angan-angan seorang kanak-kanak melihat ahli gusti profesional Amerika Syarikat (AS) menerusi kaca televisyen, Ayez Shaukat kini berjaya bergelar sebagai ahli gusti profesional hingga ke peringkat antarabangsa.

Dengan belum wujudnya industri gusti di Malaysia ketika dia bermula dahulu, kegigihan Ayez Shaukat merealisasukan angan-angannya itu sekaligus menjadikannya pelopor industri gusti profesional di negara ini.

Ayez mengakui usahanya bukanlah sesuatu yang mudah kerana perkembangan baik dari usahanya dapat dilihat hanya selepas lebih 10 tahun.

Cita-cita Ayez sudah pun ditetapkan dalam perancangan hidupnya sejak kecil lagi disebabkan begitu minat menonton rancangan gusti dari luar negara yang disiarkan di kaca televisyen tempatan.

“Semua kenal siapa Stone Cold, siapa The Rock, siapa Undertaker semua. Jadi saya salah seorang yang tengok gusti daripada zaman itu dulu dan memang rasa obsess,” ujarnya kepada Maskulin

“Jadi memang daripada kecil dah memang tetapkan dalam otak saya nak jadi seorang ahli gusti profesional”.

Kini, Ayez bukan sahaja sudah mempunyai pengalaman bergusti bersama syarikat gusti profesional seperti Ohio Valley Wrestling (OVW) dan Reality of Wrestling (ROW), dia juga berjaya muncul di kaca televisyen AS bagi sukan itu.

Ahli Gusti Ialah Penghibur, Pencerita

Sebagai seorang ahli gusti profesional, Ayez tidak menafikan yang sukan itu merupakan satu bentuk hiburan sukan.

“Memang betul gusti ini adalah berlakon, berskrip. Kita (ahli gusti) tidak pernah cuba tipu kalian pun. Saya seorang penghibur, seorang pencerita.

“Gusti ialah hiburan sukan. Saya tak kisah orang nak kutuk ke sebab selera orang berbeza-beza. Ada yang minat, ada yang tak minat,” tegas Ayez.

Seperti sukan yang lain, gusti juga tidak terlepas dari sebarang risiko kecederaan.

Antara kecederaan yang telah dialami oleh Ayez termasuklah terkehel lutut kiri dan kanannya.

Selain bergiat aktif dalam sukan gusti profesional, Ayez juga seorang penggiat industri perfileman Malaysia.

Ayez merupakan seorang pengarah, pengarah aksi serta pelakon aksi.

Antara projek akan datang yang Ayez terlibat adalah seperti “Kahar: Kapla High Council” dan juga “Takluk: Lahad Datu”.

Bekerja di dalam dua industri ini, Ayez menyimpulkan yang menjadi seorang ahli gusti profesional tidak jauh berbeza dengan seorang pelakon lagak ngeri.

Yang membezakannya adalah, aksi ahli gusti dilakukan secara langsung, spontant, tanpa cut dan suntingan.

BACA: Adli Goldenboy, Juara WBC Asia Continental Kongsi Pengalaman Perit Berlatih Tanpa Jurulatih

 

Published by
Ruszaini Ruslan