Sukan

Muallim Cross Country Run 2024, Cabaran Dan Keseronokan Bersama Alam Semula Jadi

Share

Aktiviti larian cross country atau merentas desa merupakan aktiviti yang kian mendapat tempat di hati penggemar larian.

Baru-baru ini, satu program larian cross country, Muallim Cross Country Run (MCCR) telah berlangsung dengan cukup jayanya.

Berlangsung pada Pada 18 Ogos 2024, ia merupakan MCCR edisi keempatnya, membawa peserta dari pelbagai latar belakang menikmati keindahan alam semula jadi di Daerah Muallim, Perak.

Program ini dianjurkan Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) bersama rakan penganjur, Kelab Sukan Kecergasan Absolute Wellness.

Menurut penganjur, aktiviti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti larian, tetapi juga untuk mempromosikan Daerah Muallim sebagai pusat kegiatan lasak dan semulajadi.

Kategori Larian Untuk Semua

MCCR2024 menawarkan empat kategori larian utama. Kategori yang ditawarkan ialah 50km-trail, 25km-trail, 10km-trail, dan 5km Fun Road.

Setiap kategori ini dibahagikan lagi kepada empat segmen – Men Open, Women Open, Men Veteran, dan Women Veteran.

Buat pelari yang ingin mencabar diri, larian trail sejauh 50km dan 25km melalui laluan hutan simpan menawarkan cabaran fizikal dan mental yang unik.

Sementara itu, kategori 10km-trail dan 5km Fun Road lebih sesuai bagi peserta yang ingin menikmati pengalaman larian yang santai tetapi tetap menyeronokkan.

Foto: Shutter Sport

Penganjuran kali ini menarik penyertaan hampir 2000 peserta dari dalam dan luar negara. Antara peserta luar negara yang mengambil bahagian ialah dari Perancis, Great Britain, Singapura, Sepanyol, Brunei, Jepun, dan China.

Ia sekaligus menyaksikan MCCR2024 tidak hanya menjadi platform untuk pencinta larian, tetapi juga untuk memupuk semangat kesukanan di kalangan komuniti antarabangsa.

Menggalakkan Pelancongan dan Ekonomi Setempat

Selain mempromosikan gaya hidup sihat, MCCR2024 juga memainkan peranan penting dalam mempromosikan Daerah Muallim sebagai destinasi pelancongan yang unik. Program ini selari dengan usaha menyokong Tahun Melawat Perak 2024.

Dengan kehadiran pelari dari pelbagai negara, acara ini memberi peluang kepada daerah ini untuk mempamerkan produk pelancongan tempatan. Di antaranya seperti makanan tradisional, kraf tangan, dan tarikan semula jadi.

Di samping itu, acara larian ini disertai dengan Mini Karnival yang menawarkan pelbagai aktiviti percuma kepada komuniti setempat.

Aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan, cabaran skimboarding, rodeo bull ride, penalty & basketball shoot out, boling kelapa, dan cabaran memanah juga menarik minat setempat.

Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada peserta larian dan pengunjung untuk berinteraksi dan menikmati suasana karnival yang meriah.

Acara ini turut mendapat sokongan hebat dari Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya.

Sambutan Hangat Komuniti

Selain itu sambutan hangat dari komuniti setempat dan juga penyertaan pemimpin-pemimpin tempatan tidak kurang hebatnya.

Kehadiran YB Puan Salina binti Samsudin, Ahli Dewan Undangan Negeri Behrang yang turut melepaskan acara larian ini bersama Tuan Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim dan ketua-ketua agensi di sekitar Muallim juga diraikan.

Secara keseluruhannya, Muallim Cross Country Run 2024 berjaya dianjurkan dengan sangat baik.

BACA: Makan Daging Terlalu Banyak? Ini Langkah Berjaga-Jaga Perlu Diberi Perhatian

Dengan penyertaan yang pelbagai dan aktiviti yang menarik, program ini pasti menjadi salah satu acara yang dinanti-nantikan oleh para pencinta larian dan pelancong dari seluruh dunia.

Jadi buat anda yang inginkan cabaran dan keseronokan bersama alam semula jadi, nantikan penganjuran MCCR pada edisi akan datang!

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim