Dalam dunia permotoran, MotoGP dan Kejuaraan Dunia Superbike (WSBK) adalah dua daripada siri perlumbaan motosikal yang paling terkenal.
Walaupun kedua-duanya menampilkan perlumbaan motosikal berkelajuan tinggi, terdapat beberapa perbezaan ketara antara kedua-dua kejohanan ini. Ia sama ada dari segi motosikal, format perlumbaan dan juga peraturan.
Mungkin ramai di antara anda tidak tahu dan menganggap kedua-duanya sama sahaja. Anda sebenarnya silap kerana MotoGP dan WSBK ada perbezaan yang ketara.
Berikut MASKULIN kongsikan apakah perbezaan utama di antara dua siri perlumbaan motosikal paling popular di dunia.
MOTOSIKAL
Secara umumnya, MotoGP dianggap sebagai puncak teknologi perlumbaan motosikal di dunia. Motosikal yang digunakan adalah merupakan – bermaksud ia direka khusus untuk perlumbaan dan tidak tersedia untuk dibeli oleh orang awam.
Monster Energy Yamaha MotoGP
Ia dibina dengan teknologi terkini dan bahan-bahan terbaik, menjadikan motosikal ini amat ringan dan kuat. Manakala motosikal WSBK pula adalah berdasarkan model yang diproduksi dan boleh dibeli dan serta digunakan oleh orang ramai.
Walaupun motosikal ini diubahsuai secara besar-besaran untuk perlumbaan, mereka masih mempunyai banyak komponen yang sama dengan motosikal jalanan biasa.
Kawasaki Racing Team WorldSBK
FORMAT PERLUMBAAN
MotoGP biasanya mengadakan satu perlumbaan utama pada hari Ahad dengan beberapa sesi latihan dan satu sesi kelayakan pada hari-hari sebelumnya.
WSBK pula hadir dengan format sedikit berbeza, di mana terdapat dua perlumbaan utama: satu pada hari Sabtu dan satu lagi pada hari Ahad, serta satu perlumbaan pendek yang dikenali sebagai ‘Superpole Race’ pada hari Ahad pagi.
Ads
Ini memberi penonton lebih banyak aksi dan peluang kepada pelumba untuk mengumpul mata.
PERATURAN
Siri MotoGP dikawal selia oleh Fédération Internationale de Motocyclisme (FIM) dengan peraturan yang sangat ketat.
Ini termasuklah spesifikasi teknikal yang teliti tentang apa yang dibenarkan dalam hal reka bentuk motosikal, bahan bakar dan elektronik.
Pada sisi lain, WSBK lebih fleksibel dalam beberapa aspeknya. Sebagai contoh ia membolehkan penggunaan beberapa teknologi yang mungkin tidak dibenarkan dalam MotoGP, seperti sistem suspensi elektronik.
Ads
Ini menjadikan WSBK lebih dekat dengan pengalaman memandu motosikal jalanan.
PELUMBA DAN PASUKAN
Pembalap di MotoGP sering kali dianggap sebagai elit dalam dunia permotoran motosikal, dengan beberapa pembalap yang paling berbakat dari seluruh dunia berlumba dalam kejohanan ini.
Sebaliknya, WSBK juga mempunyai pembalap yang sangat berbakat, tetapi sering kali mereka adalah pembalap yang bergerak dari kejohanan kebangsaan atau yang ingin menunjukkan kemampuan mereka untuk melangkah ke MotoGP.
ROKiT BMW Motorrad WorldSBK Team
PENGARUH TEKNOLOGI DAN KOS
Kerana MotoGP menggunakan motosikal prototaip, kos untuk mengembangkan dan penyelenggaraan motosikal ini sangat tinggi.
Ini juga menjadikan kejohanan ini sebagai medan uji untuk teknologi baru dalam bidang motosikal.
WSBK pula, walaupun masih mahal, ia adalah lebih murah berbanding dengan MotoGP kerana menggunakan motosikal berdasarkan produksi yang lebih dekat dengan apa yang digunakan oleh pengguna biasa.
Walaupun kedua-dua MotoGP dan WSBK menawarkan aksi perlumbaan yang mendebarkan, ia sebenarnya berbeza dari segi jenis motosikal digunakan, format dan tahap teknologi.
Bagi MASKULIN kedua-duanya mempunyai tarikan tersendiri dan pastinya peminat motosikal sebenar akan mengikuti perkembangan kedua-duanya sekali!
Jangan lupa untuk subscribe YouTube Maskulin untuk pelbagai content menarik seperti video di bawah!
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Memiliki kenderaan atau kerera sendiri kini sudah menjadi sebagai satu keperluan yang sangat penting. Apatah lagi jika anda sudah berkeluarga. Kereta sememangnya menjadi medium pengangkutan yang sangat penting.
Dalam mencari kereta di pasaran sebenarnya terpulang sama ada anda ingin membeli kereta baru atau pun terpakai.
Antara pilihan terbaik untuk anda yang mungkin berkira-kira memiliki kereta ialah dengan membeli kereta terpakai. Malah membeli kereta secondhand kadangkala boleh menguntungkan jika anda pandai melakukan tawar-menawar dalam urusan jual beli. Akan tetapi usah tertipu dengan harga yang terlalu murah atau tidak masuk akal.
Jika ada tawaran harga murah anda perlu memeriksa dan melakukan checklist penting sebelum membelinya. Berikut MASKULIN kongsikan beberapa perkara yang harus anda lakukan sebelum membeli kereta terpakai.
IKUT BAJET
Antara tujuan utama anda beli kereta terpakai semestinya sebab ia lebih murah, bukan? Jadi perkara pertama anda perlu lakukan ialah tetapkan bajet sendiri dahulu. Sebagai contoh kalau bajet anda hanyalah kereta Myvi terpakai janganlah pula senaraikan BMW sebagai opsyen lain.
KIRAAN PINJAMAN
Besar kemungkinan anda akan melakukan pinjaman bank untuk membeli kereta. Jadi amatlah penting anda tahu untuk mengira apakah bayaran bulanan yang perlu dibayar. Sebagai contoh ambil harga kereta, harga deposit, kadar faedah dan tempoh pinjaman.
Untuk mengetahui berapakah paras harga semasa kereta terpakai yang ingin dibeli anda boleh melakukan tinjauan secara online. Laman sesawang seperti MotorTrader, Carlist atau Mudah boleh beri gambaran tentang range harganya. Dan perlu anda ingat untuk tak melakukan survey pertama di kedai kereta terpakai. Risau nanti anda ‘terpukau’ dengan kata-kata manis jurujual.
USIA KERETA 5 TAHUN KE BAWAH
Ini adalah untuk opsyen yang lebih selamat. Maksudnya di sini kereta tersebut berusia tidak lebih lima tahun sejak ia mula digunakan. Mungkin ada banyak kereta 5 tahun ke atas masih dalam kondisi baik tetapi cara ini secara tak langsung kurangkan risiko anda berdepan kerosakan lain di masa akan datang.
ELAK JADI MANGSA ‘SCAM’
Bila dapati ada kereta idaman yang ditawarkan untuk dijual pastinya anda akan berasa sangat teruja. Namun jangan tergopoh-gapah terlebih dahulu. Jika terlalu murah pasti ada yang tak kena. Sudah banyak kes menunjukkan kereta yang dijual terlalu murah pernah kemalangan teruk atau bertukar pemilik 3 atau 4 orang. Atau mungkin juga mileage yang sangat tinggi.
Salah satu kelebihan melakukan tinjauan kereta secara online ialah anda boleh berinteraksi secara terus dengan pemiliknya. Ini kerana mereka akan jawab segala pertanyaan anda. Selain itu anda juga boleh melakukan ‘nego’ dengan lebih baik.
JADUAL SERVIS
Jika anda bertemu dengan pemiliknya, mintalah buku jadual servis. Menerusi buku tersebut anda boleh lihat bagaimana ia diselenggara sepanjang kereta tersebut digunakan sebelum ini.
PERIKSA LUAR & DALAM
Walaupun anda membeli kereta terpakai seelok-eloknya periksalah kondisi luaran dan dalamannya. Jika ada perkara perlu diperbaiki anda boleh minta pemiliknya memperbaikinya dahulu. Ataupun anda boleh minta pengurangan harga berdasarkan kerosakan itu.
PERIKSA KELENGKAPAN & PERALATAN
Sila pastikan segala kelengkapan dan peralatan berfungsi dengan baik seperti:
Lampu tinggi dan rendah, signal, kabus, lampu kabin (di siling) dan amaran (hazard light)
Tiada kabel sambungan elektrik reput atau terputus
Tiada komponen material getah yang tertanggal, melecur, melepuh, haus dan rosak
Tiada bahanasing dalam radiator. Buka penutup dan lihat air radiator sama ada keruh atau jernih.
Tiada bahanasing dalam minyak enjin. Tarik indikator minyak enjin dan lihat rupa minyak (cair, pekat, ada serbuk besi, dan lain-lain).
Peringkat 2, hidupkan enjin dan pastikan:
Semua indikator pada panel meter menyala dan terpadam (seperti beg udara, suhu, enjin, ABS, dan lain-lain).
Lihat asap yang keluar daripada ekzos. Jika keluar sedikit percikan air dan asap tidak berwarna atau biru sedikit itu bermakna enjin kereta dalam keadaan sihat.
Tekan minyak pada 3,000rpm, 4,000rpm dan 5,000rpm. Setiap tahap dibuat secara ligatan (rev) enjin, iaitu tekan hingga mencapai tahap rpm diperlukan dan terus lepaskan pedal minyak. Meter rpm untuk enjin yang baik akan turun sekata bersama deruman lancar (tidak tersekat atau terbatuk).
PANDU UJI
Tidak kira sama ada anda berunding dengan pemilik terus atau penjual kereta terpakai, anda sebenarnya ada hak untuk meminta dibenarkan memandu uji kereta yang mahu dibeli. Memandu uji di sini bukanlah setakat menghidupkan enjin dan menekan pedal minyak. Kereta pilihan anda itu mesti bergerak. Pada tahap ini telinga anda memainkan peranan penting, termasuk deria lain. Apa yang anda perlu lakukan ialah:
Cuba membrek secara perlahan dan kecemasan. Dengar jika ada sebarang bunyi aneh keluar.
Cari selekoh dan belok. Dengar jika ada keluar bunyi ketika memusing stereng.
Redah kawasan tidak rata. Sama juga, dengar jika ada sebarang bunyi aneh di bahagian tayar atau dalam kabin.
Pandu dalam pelbagai halaju (60-110kmj). Pasang telinga dan rasai jika ada bunyi angin, gegaran enjin atau stereng, dan sistem suspensi.
Gerakkan setiap takah gear. Jika manual, pastikan setiap takah gear (1-5/6) dapat ditukar lancar. Jika Auto, pandu kereta dalam tetapan D4, D3 atau D2, termasuk R. Pastikan setiap takah gear dapat ditolak atau ditarik masuk dengan lancar dan tidak tersekat atau tersentap.
Semoga perkongsian ini memberikan manfaat untuk anda. Jangan lupa subscribe YouTube MASKULIN ya!
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Di negara kita motosikal kini dianggap sebagai antara kenderaan yang penting dalam kehidupan seharian ramai orang. Sama ada ia dijadikan kenderaan utama atau kedua, motosikal mempunyai peranan cukup penting dalam komuniti kita. Jadi buat anda sebagai pemilik motosikal amat pentting jika anda sekurang-kurangnya tahu servis basic.
Jangan pula anda menjadi rider yang selalu beranggapan asal motosikal boleh bergerak, itu sudah memadai. Kalau sentiasa dengan mentaliti begitu nampak gayanya motosikal anda memang tak lamanya nak tersadai akibat rosak. Dan apabila rosak kos untuk meperbaikinya juga akan menjadi sangat mahal.
Ramai yang leka dan buat-buat tak tahu akan kepentingan rutin servis secara berkala dan berjadual. Terdapat 5 jenis rutin servis yangs ering dipandang remeh oleh penunggang motosikal.
SELANGGARA SISTEM BREK
Tanpa sistem brek yang baik dan sempurna anda boleh berdepan risiko kemalangan yang boleh meragut nyawaa. Jadi anda harus sentiasa peka dengan kondisi brek. Antara komponen yang perlu diberi perhatian ialah brek dram, brek pad dan brek cakera kerana ada tempoh tertuntu untuk pastikan ia tidak haus.
Antara masalah brek dram kerap berlaku ialah ia mengeluarkan bunyi nyaring motosikal bergerak. Jika brek belum haus, kemungkinan besar bunyi tersebut disebabkan debu-debu yang bersisa dalam dram atau brek dimasuki air. Bila ke bengkel anda boleh minta mekanik periksa dan cuci menggunakan semburan angin mampat.
PELINCIR
Bila bercakap tentang motosikal semestinya ia lengkap dengan pelbagai komponen seperti hendal, tongkat, suspensi dan pelbagai bentuk skru serta nat. Kesemua komponen yang dilihat ringkas ini sebenarnya sangat penting. Anda boleh menjaganya dengan sentiasa meletakkan pelincir. Jika dibiar lama ia boleh berkarat dan sekaligus menyebabkan sukar dibuka serta boleh jadi reput.
Jangan sesekali anda biarkan rantai pacu menjadi terlalu longgar atau ketat. Antara yang kerap dibiarkan ialah rantai pacu yang longgar. Tahukah anda bahawa rantai pacu yang longgar boleh jejaskan prestasi motosikal. Jadi tak guna kalau motosikal cantik dan berkuasa besar tapi bab rantai pun tak boleh nak jaga.
Selain itu anda juga perlu memastikan rantai sentiasa diletakkan pelincir khas untuk rantai. Cuba elak guna minyak hitam terpakai atau pelincir lain yang bukan dikeluarkan untuk kegunaan rantai pacu.
MINYAK HITAM
Ini antara servis basic yang boleh dikatakan semua orang tahu. Menyelenggara minyak hitam bukan sekadar tuang dan tukar saja ya. Apatah lagi jika motosikal anda guna pelincir sintetik dengan tempoh penukaran lebih lama. Periksalah kondisi minyak hitam sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk anda perhatikan sebarang tanda yang mungkin oleh memberi indikasi keadaan enjin.
Tanpa tayar yang sempurna perjalanan anda dari poin A ke poin B boleh mengakibatkan anda berdepan risiko tinggi kemalangan. Namun begitu masih ramai yang mengabaikan kepentingan penjagaan tayar. Untuk pastikan tayar sentiasa berada dalam keadaan baik anda perlu pastikan tekanan tayar sentiasa berada pada tahap optimum.
Tayar yang tidak mempunyai angin mencukupi boleh menyebabkan motosikal sukar dikawal terutama apabila berada di kawasan selekoh. Pastikan anda periksa tekanan tayar sekurang-kurangnya seminggu sekali. Pam angin di dalam tayar dengan tekanan yang ditetapkan. Tahap tekanan boleh dirujuk seperti biasa yang terdapat pada tayar.
Semoga perkongsian ini boleh memberikan manfaat kepada anda terutamanya yang memiliki motosikal. Selamat menunggang dengan selamat.
Ikuti channel YouTube MASKULIN untuk video-video menarik tentang gaya hidup lelaki.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Rata-rata kereta moden yang dihasilkan pengeluar pada masa kini pastinya dilengkapi dengan engine control unit atau ECU. MASKULIN yakin rata-rata daripada anda yang memiliki kereta pastinya pernah mendengar tentang komponen ini.
Tapi ada kemungkinan besar juga anda tidak berapa arif tentang apakah fungsi sebenarnya dalam sisten enjin kereta anda.
Secara asasnya, ECU bertindak sebagai unit kawalan elektronik yang berfungsi sebagai pusat kawalan atau sistem komputer elektrik utama. Fungsi-fungsi penting dalam kereta anda kini kebanyakannya dikawal menerusi ECU.
Kredit: autotechdrive.com
Jadi peranannya cukup penting bagi memastikan kereta boleh bergerak dengan lancar dan selamat. Dalam pada masa yang sama ia juga turut berfungsi untuk uruskan nisbah bahan api dan udara serta pemasanan enjin.
ECU juga mengumpul maklumat dari pelbagai sensor di dalam kereta dan memprosesnya bagi mengira serta menala percikan dan bahan api sesuai untuk kuasa, prestasi dan kemampuan sebenar kereta anda.
Foto kredit: gomechnic dot.in
Disebabkan itulah bila ECU rosak ia boleh buat anda sakit kepala kerana kereta akan tidak boleh dihidupkan dan pelbagai lampu indikator akan menyala. Berikut beberapa petanda yang boleh anda perhatikan yang mungkin menunjukkan ECU kereta bermasalah atau rosak.
PETANDA
Enjin kereta makin lama makin jadi lemah atau semput bila dipandu
Indikator atau lampu enjin mula menyala
Prestasi sebenarn enjin terjejas dan mula menurun
Kereta jadi lebih kuat makan minyak
Enjin tidak dapat dihidupkan seperti biasa
Selepas mendapati petanda-petanda di atas amat penting juga untuk anda tahu apakah punca yang boleh menyumbang kepada kerosakan berlaku terhadap ECU. Berikut 5 punca kerosakan yang boleh anda berikan perhatian sebaiknya.
PUNCA
Bateri kereta selalu kong
Jumper kereta dengan cara yang salah
Starter kereta rosak
Ada kakisan di ECU
Voltan rendah
Semoga perkongsian kali ini boleh memberikan manfaat kepada anda dalam penjagaan kereta. Jom subscribe YouTube MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah!
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Guna kereta lama lebih 15 tahun, ini tip penting kena tahu. Ramai dalam kalangan kita masih memandu kereta yang telah berusia lebih 10 hingga 15 tahun. Seiring dengan usia, kenderaan lama pastinya tidak lari daripada mengalami masalah.