Anda tidak perlu bimbang untuk merentas negeri kerana kini sudah ada cara yang membolehkan mereka yang terkandas di kampung merentas negeri untuk ke kediaman masing-masing menggunakan Aplikasi Gerak Malaysia.
Anda boleh memohon Aplikasi Gerak Malaysia ini bermula 26 April 2020 hingga 29 April 2020 menggunakan ‘Application Store’ seperti ‘Google Play Store’, ‘Apple App Store’ dan ‘HUAWEI AppGallery’.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam satu siaran media PDRM berkata aplikasi mudah alih dalam talian itu dapat mengelakkan orang ramai daripada terpaksa keluar rumah untuk membuat permohonan di balai polis, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan dan penularan wabak COVID-19.
“Melalui aplikasi ini, kod QR (kod respon pantas) unik yang dijana akan diimbas dan diperiksa oleh anggota bertugas di sekatan jalan raya sekali gus memudahkan pergerakan pemohon.
“Perlu diingatkan permohonan permit pergerakan ini bagi mereka yang sebelum ini terkandas di kampung halaman, sebaik sahaja PKP diumumkan pada 18 Mac lalu dan ingin pulang ke kediaman sendiri atau tempat bekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, semasa pendaftaran kali pertama, pengguna perlu memasukkan butiran peribadi seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat, nombor telefon peranti yang digunakan serta alamat e-mel.
Pengguna juga perlu memberi kebenaran kepada aplikasi ini untuk mengakses lokasi GPS (Sistem Kedudukan Sejagat), bagi mengesahkan lokasi semasa pemohon seterusnya meluluskan permit pergerakan.
“Permohonan melalui aplikasi ini juga dapat membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengenal pasti jumlah mereka yang bakal terbabit dan menyediakan jadual perjalanan bagi memastikan kelancaran operasi.
Mereka yang sudah memohon hendaklah mengemas kini permohonan pada tarikh dibenarkan berlepas supaya kod QR dapat dijana secara automatik,” katanya.
Sebelum ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan siaran media menetapkan jadual perjalanan iaitu 1 Mei 2020 – Perak, Johor, Kelantan; 2 Mei 2020 – Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang serta 3 Mei 2020 – Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.
Namun dalam laporan BERNAMA, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa tarikh pergerakan kepada mereka yang berada di kampung untuk pulang ke destinasi masing-masing bukan bermula pada 1 Mei ini.
Ismail Sabri berkata terdapat kekeliruan mengenai tarikh pergerakan tersebut apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kenyataan bahawa 1 sehingga 3 Mei adalah tarikh perjalanan dibenarkan bermula.
“Sebenarnya seperti yang saya sebutkan bahawa sehingga 1 Mei itu adalah pendaftaran melalui temu janji di balai polis.
“Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia dan sesiapa yang tidak mempunyai aplikasi tersebut boleh melaporkan ke balai-balai polis berdekatan melalui temu janji,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata selepas mendapat data dan maklumat daripada permohonan orang ramai itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan PDRM akan membincangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk menetapkan tarikh pergerakan tersebut.
Ismail berkata kerajaan tidak hanya melihat isu pergerakan merentas negeri membabitkan mereka yang kini di kampung dan ingin pulang ke destinasi masing-masing sahaja tetapi turut melihat kekangan lain dalam isu tersebut.
Katanya banyak perkara yang perlu diperhalusi sebelum membuat keputusan kerana masalah pergerakan itu bukan seperti isu membawa pulang pelajar di kampus ke kampung halaman masing-masing.
“Ia bukan kes yang jelas dan mudah tetapi melibatkan perkara yang besar seperti melibatkan kepulangan dari kampung ini, isunya banyak misalnya mereka yang tiada kenderaan untuk pulang, satu kenderaan lima orang misalnya (ia melanggar akta) kerana akta menetapkan iaitu satu pemandu sahaja. Jadi ini adalah antara perkara yang perlu diperhalusi,” katanya.
Selain itu Ismail Sabri berkata kerajaan juga mengambil maklum masalah yang dihadapi individu yang terkandas di bandar dan mahu pulang ke destinasi masing-masing.
Jelasnya ia susulan terdapat orang ramai bercuti di bandar sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Bagaimanapun Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada PDRM yang telah mencadangkan beberapa SOP yang dibawa ke mesyuarat bersama MKN dan KKM.
“Selepas mereka mencadangkan SOP tersebut, perkara itu perlu dibawa ke mesyuarat khas menteri-menteri untuk diluluskan. Selepas itu barulah tarikh pergerakan ditetapkan,” katanya.