MINI Cooper S Countryman Edisi Terhad Yang ‘Super Limited’

Share

Sehingga kini jenama automotif MINI masih lagi relevan di hati penggemar kereta di Malaysia. Antara model popularnya ialah MINI Cooper S Countryman. Istimewanya kali ini MINI Malaysia menampilkan model MINI Cooper S Countryman Edisi Terhad.

Jelas Pengarag Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl, “Sejak MINI Cooper S Countryman Sports diperkenalkan pada tahun 2018, ia memegang takhta sebagai salah sebuah model paling popular kami.

“Kami berbesar hati memperkenalkan dua versi baharu iaitu MINI Countryman Sports dengan Blackline Package serta MINI Countryman Sports dengan Panoramic Sunroof. Ini menunjukakkan komitmen kami untuk meluaskan portfolio kami buat para peminat MINI Countryman di Malaysia”.

MINI Countryman Sports dengan Blackline Package tampil dengan iras sporty lagi bergaya dan bersama elemen-elemen krom seperti komponen gril hadapan dan jata MINI yang kini tersedia dalam warna Piano Black yang menawan. Varian eksklusif ini juga hanya dihadkan kepada 38 unit sahaja di Malaysia.

Manakala MINI Countryman Sports dengan Panoramic Sunroof pula memperkayakan sensasi kebebasan yang benar-benar mengujakan untuk diamati ketika jentera ini dipandu. Kedua-dua varian MINI Countryman Sports ini bakal dikuasakan oleh enjin MINI TwinPower Turbo dua liter yang mampu menjana 192 kk dengan nilai tork berjumlah 280 Nm.

BERKUASA TINGGI

Hebatnya jentera ini, ia dilengkapi enjin empat silinder berkapasiti dua liter dengan MINI TwinPower Turbo yang berkuasa tinggi. Sekali gus mampu menjana 192 kuasa kuda dengan puncak 280 Nm.

Ia juga mampu melakukan pecutan abad dalam masa 7.5 saat serta dan kelajuan masksimum mencecah 225 km/j. Ia digandingkan dengan Transmisi Automatik ‘Dual Clutch Sports’ Tujuh Kelajuan yang membekalkan keupayaan penukaran gear yang pantas, menyelesakan dan berbekalkan efisiensi teroptimum.

Transmisi dwiklac ini juga membolehkan fungsi mula/henti enjin digunakan untuk mengoptimumkan penggunaan bahan api ketika kenderaan ini tidak bergerak.

Di samping itu, fungsi pacuan neutral (coasting) disediakan sebagai standard dalam mod pemanduan MID dan GREEN; lantas membolehkan jentera ini menyelusur pada kelajuan melahu (idling) untuk mengurangkan penggunaan bahan api, di mana rangkaian pemacu (drivetrain) dipisahkan ketika kelajuan diperlahankan.

DALAMAN SOFISTIKATED

Dari segi reka bentuk kedua-dua versi ini menampilkan sofistikasi dengan tema hitam yang dikekalkan olehnya. Material bumbung dilitupi dengan Antrasit, serta Kerusi Sport pula bermaterialkan Leather Cross Punch yang mewah dalam warna Carbon Black. Sentuhan sofistikasi yang terakhir ditawarkan melalui Permukaan Interior John Cooper Works dalam warna Piano Black.

Jentera baharu ini dilengkapi dengan Tuil Pemilih Elektronik yang akan kembali ke posisi asalnya selepas pertukaran dibuat antara mod memandu, neutral dan mengundur.

Mod Sport boleh diaktifkan dengan menggerakkan tuil pemilih ke arah kiri dalam mod memandu, ia membekalkan stail pemanduan yang lebih sporty serta membenarkan intervensi manual.

MINI Cooper S Countryman Sports ini juga menawarkan Sistem Bunyi Harman Kardon 12 Pembesar Suara Berprestasi Tinggi dengan DSP Amplifier dan teknologi Kelas D, ia menjana kuasa akustik yang tulen dengan 360 watt.

SISTEM NAVIGASI

Model terkini MINI ini hadir dengan Sistem Navigasi MINI 8.8 inci skrin sentuh, konsol sentral, atau kawalan suara.

Ia hadir dengan kad SIM 4G yang terintegrasi. Pengguna boleh menghubungkan iPhone tanpa sambungan wayar pada kenderaan ini. Dan menggunakan MINI Visual Boost untuk akses pelbagai ciri telefon pintar tersebut melalui Apple CarPlay.

Kenderaan ini juga dilengkapi dengan MINI Connected yang terkini, ia menawarkan pelbagai perkhidmatan digital seperti Panggilan Kecemasan Pintar (Intelligent Emergency Call), MINI TeleServices dan Servis Jarak Jauh (Remote Services). Fungsi ini membolehkan perancangan mobiliti diintegrasikan dengan lancar dalam rutin digital harian pengguna.

MINI Countryman Sports dengan Blackline Package dan MINI Countryman Sports dengan Panoramic Sunroof kini disediakan di semua pusat pengedaran MINI bertauliah di seluruh negara.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim