MINI Convertible Sidewalk Edition, Edisi Tampil Dengan Karisma Ekspresif

Share

Namanya masih gah di dalam persana industri automotif global. Walauun berdepan dengan pelbagai cabaran namun MINI masih kekal relevan dan menjadi pilihan terutama di kalangan eksekutif muda di kota-kota besar seluruh dunia. Di antara model yang sering menjadi dambaan dan pujaan ramai ialah versi convertible.

Terbaru mereka memperkenalkan MINI Convertible Sidewalk Edition. Pengenalan semula ini juga bersempena meraikan Sidewalk Edition 2007 yang asal iaitu generasi MINI Convertible yang sulung.

Jelas Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Noezl, MINI Convertible telah diuar-uarkan di Malaysia sejak tahun lalu.

Mereka mambayangkan keterujaan untuk menaik taraf lagi segmen pemanduan ‘open-top’ yang mengujakan ini dengan MINI Convertible Sidewalk Edition. Jentera yang diangkat sebagai lambang gaya dan kespontanan, varian edisi terhad ini membawa pemanduan di bawah sinaran matahari ke aras yang baharu.

MINI Sidewalk Edition mengekalkan tradisi edisi-edisi ‘Sidewalk’ dan varian eksklusif ini hanya terhad kepada 20 unit sahaja di Malaysia. Warna eksterior, reka bentuk bumbung fabrik (soft-top), penggayaan rim serta kemasan interior yang dirumus khas untuk MINI Convertible Sidewalk Edition menyerlahkan lagi karisma luar biasanya. Eksterior yang tampak serba ekspresif dan ambien yang memukau di ruang interior menzahirkan sebuah pengalaman yang bersifat emotif dan istimewa daripada MINI.

REKAAN EKSPRESIF

Bumbung MINI Yours Soft-top Sidewalk menawarkan perlindungan daripada hujan dan matahari, serta ia boleh dibuka menggunakan kuasa elektrik dalam masa 18 saat sahaja walaupun ketika kereta ini sedang bergerak pada tahap kelajuan setinggi 30 km/j.

Jalur bonet serba sporty dihiasi dengan corak geometri, ia mempersembahkan sentuhan yang unik pada penampilan MINI Convertible yang ikonik ini. Set roda aloi ringan 17 inci dengan penggayaan Scissor Spoke 2-tona yang melengkapi MINI Convertible Sidewalk Edition juga merupakan ciri rekaan yang khusus bagi model ini.

Di bahagian dalaman pula ia menampilkan MINI Yours Leather Lounge Sidewalk menggunakan material antrasit, digandingkan dengan sulaman berkontras dalam warna Petrol dan Energetic Yellow. Efek warna Petrol tersebut juga menghiasi trim pintu, termasuk alas kaki berwarna serasi yang hadir dengan lingkaran warna Petrol dan sulaman Energetic Yellow sebagai standard bagi varian ini.

Stereng sport yang mempersembahkan jata Sidewalk serta sulaman berkontras dalam warna Petrol menyerlahkan lagi kelasakan jentera MINI Convertible Sidewalk Edition ini, berserta trim kokpit yang dihiasi dengan penuh gaya dalam kemasan warna Petrol.

MINI Convertible Sidewalk Edition juga menampilkan lampu hadapan LED, lampu LED kabus di depan dan belakang, pakej pencahayaan interior dengan 12 warna cahaya ambien, termasuk MINI Driving Modes, penyaman udara automatik, tempat duduk penumpang hadapan yang boleh dilaras ketinggiannya serta pakej kompartmen simpanan.

KEKUATAN ENJIN

Jentera istimewa ini dilengkapi enjin MINI TwinPower Turbo empat silinder 2 liter berserta transmisi automatik Steptronic tujuh kelajuan dengan dwi-klac. MINI ini mampu menjana output maksimum berjumlah 192 kk dan tork berjumlah 280 Nm. Ia juga boleh memecut dari 0 sehingga 100 km/j dalam masa 7.1 saat sahaja. Kelajuan nmaksimum pula pada 230 km/j dengan mengguna pakai bahan api berjumlah 5.7 liter setiap 100 km.

MINI Convertible Sidewalk Edition terbaharu ditawarkan dengan warna eksterior Deep Laguna – diperkenalkan buat julung kalinya melalui varian eksklusif ini. MINI Convertible Sidewalk Edition akan ditawarkan dalam jumlah unit yang terhad di pusat pengedaran MINI bertauliah yang terpilih di seluruh negara, serta MINI Online Shop mulai 15 Julai 2020.

Buat anda kaki-kaki kereta sekalian boleh dapatkan aksesori kereta dengan harga cukup murah di sini ya!

Published by
Farizul Izwany Ibrahim