Selepas dua tahun lamanya menyepi akibat pandemik Covid-19, acara berkisarkan automotif dengan tema ‘Kustom & Counter Culture’ paling popular di Malaysia iaitu Art of Speed 2022 kembali berlangsung dengan cukup meriahnya.
Kerinduan yang dirasai oleh ribuan peminat automotif terutamanya dari segmen kustom telah dilunaskan dengan penganjuran yang MASKULIN lihat cukup berjaya pada tahun ini.
Berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS) pelbagai pameran dan persembahan meliputi motosikal kustom, kenderaan radikal, pameran restorasi dan pelbagai budaya kustom telah dipertontonkan dengan segala macam idea.
Pertama kali melangkah ke dewan acara, MASKULIN berasa cukup teruja melihatkan sambutan yang cukup luar biasa. Di bahagian luar sahaja ramai yang setia beratur panjang untuk menebus tiket yang terlebih dahulu dibeli secara online.
Walaupun kehadiran cukup ramai namun secara keseluruhannya penganjuran AOS 2022 cukup lancar sekali. Bermula dengan kawalan trafik, tempat letak kenderaan yang teratur serta kemudahan bas transit ke dewan utama membuatkan pengunjung tidak perlu menghadapi banyak kesukaran.
Seperti edisi terdahulu antara yang paling menarik perhatian pastinya penyertaan dari tetamu luar negara yang cukup berpengaruh dalam komuniti kustom.
Di antara yang paling menyerlah ialah Emi Suganuma, “Sunny” Yano & Michi “NATQQ” dari MOONEYES (Jepun), Scott Johnson dari Mama Tried Motorcycle Show (AS), Warren Heir Jr. dari Flat Out Friday (AS), Mil dari Millart (Indonesia), pembuat model skala diecast dari AKARA, Aekak Kitdusitpong (Thailand) dan ramai lagi.
Dalam kategori Art of Speed Invitational Bike Build Off 2022 yang berlangsung tahun ini menyaksikan ramai tujuh tahun ini, menyaksikan tujuh pembina khas bersaing merebut hadiah wang tunai RM10,000 (pemilihan juri) & wang tunai RM5,000.00 (pilihan awam).
Kemenangan dari pihak juri menyaksikan KATECTURE dari Kuching, Sarawak yang terdiri dari Mohammad Nasir bin Morni, Umar Sulaiman, Hafiq bin Kamaluddin, Amin Ridzuan dan Hafiz Yem. Manakala pilihan awam pula menyaksikan Mohamad Aidzam bin Alias dari MOTO BURUK GARAGE, Pulau Pinang diumumkan sebagai pemenang.
Di antara pameran yang paling popular sepanjang dua hari penganjuran ini ialah dari Hot Wheels. Merea tampil dengan kemunculan istimewa Monster Truck Bone Shaker bersaiz sebenar. Selain itu, pengunjung juga berpeluang mengabadikan foto mereka bersama latar belakang blister Hot Wheels saiz sebenar.
Manakala di Dewan C pula tarikan utama terarah kepada pameran dari NoEqual.coyang kembali dengan NEAT Fest dengan paparan kolektif kenderaan terpilih dari seluruh negara dengan nama, ‘Garage Life’. Hail Bintage pula menyaksikan pameran pakaian kerja vintaj yang mempunyai nilai sentimental cukup tinggi di kalangan penggemar.
Selain itu, di antara tarikan baharu pada pengajuran AOS 2022 ialah penambahan dewan di Dewan D iaitu gaya hidup perkhemahan iaitu ‘Off The Grid’. Ia merupakan konsep baharu dalam budaya outdoor yang kini semakin popular.
Kustom & Koffee Talk bersama NoEqual.co di wawancara oleh Qhalis Najmi berlangsung di dalam Dewan A bersama panel dari luar negara seperti Scott Johnson dari Mama Tried Motorcycle Show dan Warren Heir Jr. dari Flat Out Friday. Forum ini membincangkan topik-topik terkini di dalam industri permotoran.
Turut kembali untuk AOS 2022 adalah Festival Sound Circus menampilkan barisan artis dan bad yang cukup berpengaruh. Nama-nama seperti Hujan yang tampil sebagai persembahan utama dengan band-band lain seperti Sekumpulan Orang Gila, Flop Poppy, SweetAss, Iqbal M., Balok People dan ramai lagi memeriahkan acara yang cukup mantap.
Penganjuran Art of Speed Malaysia (AOSM) turut disokong oleh Tourism Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang telah dilancarkan YB Dato’ Sri Hajjah Nancy Shukri dengan slogan ‘Cuti-cuti Malaysia 2022’ dalam usaha meningkatkan pelancongan domestik.
Semoga penganjuran AOS akan terus bertahan dan diadakan setiap tahun dengan skala yang mungkin lebih besar dan gempak. Tahniah MASKULIN ucapkan kepada penganjur di atas kejayaan luar biasa penganjuran edisi tahun ini.
Nantikan paparan eksklusif MASKULIN menerusi AUTO RACUN di AOS 2022 di platform YouTube, Facebook, Instagram dan TikTok tidak lama lagi!