Merawat Kaki Yang Melecet & Lepuh Akibat Aktiviti Larian

Share

Setiap orang yang aktif berlari boleh dikatakan hampir pasti akan berdepan dengan masalah kaki melecet dan lepuh.

Bila berlakunya lepuh ia memang satu kondisi yang sangat menjengkelkan. Bukan sahaja sakit malah boleh buat aktiviti larian dan harian seterusnya menjadi tidak selesa.

Punca berlakunya lepuh adalah disebabkan berlakunya pergeseran di antara kaki atau jari kaki dengan permukaan kasut dan stoking. Apa juga keadaan yang melibatkan kaki anda bergeser boleh menyebabkan lepuh.

PUNCA LEPUH

Antara punca yang boleh meningkatkan risiko lepuh ialah pemilihan kasut yang tidak kena dengan saiz, melakukan larian pecutan dan berhenti dengan tiba-tiba serta kondisi abnormal kaki seperti bunionsdan hammertoes.

Lepuh yang teruk boleh dirawat namun ia merencatkan sebarang perkembangan aktiviti larian anda dalam beberapa tempoh sehinggalah ia sembuh.

Selain itu jika kaki anda berada dalam kasut yang memerangkap suhu dan sentiasa lembap ia juga boleh meningkatkan risiko berlakunya lepuh.

Apabila pergeseran berlaku badan kita akan memberi tindak balas dengan mengeluarkan cecair di bawah permukaan kulit. Jika serius ia juga boleh menyebabkan saluran darah kecil pecah lantas menyebabkan lepuh yang berdarah.

MERAWATNYA

Jika anda mengalami sais lepuh yang besar dan menyakitkan anda harus pecahkannya serta buang cecair gelembung tersebut. Jika tidak dilakukan ia akan pecah sendiri dan menyebabkan anda lebih rasa sakit.

Untuk mengeringkannya, mula-mula anda harus pastikan tangan berada dalam keadaan bersih. Selepas itu dapatkan jarum yang telah disterilkan dengan alkohol swab.

Jangan sesekali memanaskan jarum yang ingin digunakan dengan api. Ia boleh menyebabkan partikel karbon terperangkap dalam kulit yang menyebabkan luka bertambah teruk.

Apabila lepuh sudah dipecahkan perlahan-lahan keringkan dan buang cecair dengan memicitnya secara perlahan-lahan. Akhiri dengan membalutnya dengan rapi bagi mengelakkan jangkitan bakteria.

Dan jika saiz lepuh itu kecil, biarkan sahaja ia begitu. Kulit anda akan bertindak sebagai pelindung kaki di bawah persekitaran yang lebih steril. Lagipun saiznya kecil dan jika dipecahkan ia akan menyebabkan masalah lain yang tidak sepatutnya berlaku.

Perlu diingatkan jika lepuh berlaku di bawah kuku anda perlu dapatkan rawatan daripada ahli perubatan yang lebih pakar.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim