Makan

Mengapa Kita Rasa Mengantuk Selepas Makan Nasi Kandar?

Share

Setiap kali kita menikmati hidangan nasi kandar atau nasi lemak, pasti ada satu perasaan yang biasa dirasai selepas itu — rasa mengantuk yang begitu kuat.

Bukan sahaja perut kenyang dengan juadah enak tersebut, tetapi mata juga seakan-akan ingin terpejam, dan badan terasa lesu. Mengapa ini berlaku?

Menurut Pakar Pemakanan, Dr. Fatimah Eliana, dalam artikel yang diterbitkan oleh mStar pada tahun 2019, fenomena ini ada kaitannya dengan cara tubuh kita memproses makanan.

“Apabila kita makan terlalu banyak, organ pencernaan terpaksa bekerja lebih keras, membuatkan kita berasa mengantuk,” jelas Dr. Fatimah.

Foto: Astro Awani

Tambahnya, organ seperti jantung dan otak perlu bekerja lebih aktif semasa proses pencernaan. Lalu menyebabkan sedikit kekurangan oksigen di dalam tubuh dan mencetuskan rasa mengantuk.

Proses pencernaan memerlukan tenaga, dan tubuh kita mendapat tenaga daripada makanan.

Apabila kita makan, sistem pencernaan akan memecahkan makanan dan memprosesnya menjadi tenaga. Semasa proses ini, tubuh akan menghasilkan beberapa bahan kimia seperti cholecystokinin (CCK), glukagon, dan amylin yang meningkatkan rasa kenyang.

Gula dalam darah akan meningkat, menggalakkan pengeluaran insulin yang membantu pemindahan gula dari darah ke sel untuk tenaga.

Selain itu, proses pencernaan juga menyebabkan peningkatan hormon serotonin, yang terkenal kerana kesannya yang menenangkan dan boleh menyebabkan rasa mengantuk.

Satu lagi hormon yang dikaitkan dengan tidur adalah melatonin. Walaupun proses pencernaan tidak secara langsung membebaskan melatonin, makanan tertentu boleh mempengaruhi tahap hormon ini dalam badan.

Mengurangkan Rasa Mengantuk Selepas Makan

Bagi mengelakkan rasa mengantuk selepas makan, Dr. Fatimah menyarankan agar kita mengurangkan pengambilan makanan berkarbohidrat tinggi.

Bergerak aktif selepas makan juga boleh membantu. Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita perlu bersukan berat; berjalan kaki selepas makan juga sudah memadai.

Memilih tempat makan yang sedikit jauh boleh memaksa kita untuk berjalan selepas makan, yang membantu mengalirkan darah dengan lebih baik ke otot dan mengurangkan rasa mengantuk.

“Paling baik selepas makan berjalan supaya karbohidrat yang kita makan sampai ke otot, lemak dan otak, dan sel otot serta sel lemak tidak mengalami kekurangan oksigen,” tambah beliau.

Fenomena mengantuk selepas makan ini dikenali sebagai “postprandial somnolence” atau lebih popular disebut sebagai “food coma.”

Ia adalah reaksi semula jadi tubuh terhadap proses pencernaan makanan, terutama sekali makanan yang kaya dengan karbohidrat seperti nasi kandar dan nasi lemak.

Maka, tidak hairanlah jika selepas menikmati hidangan kegemaran ini, kita akan berasa seakan-akan ditarik untuk merebahkan diri.

BACA: Makan Daging Terlalu Banyak? Ini Langkah Berjaga-Jaga Perlu Diberi Perhatian

Mengerti mekanisme di sebalik fenomena ini mungkin boleh membantu kita membuat pilihan yang lebih bijak tentang apa yang kita makan dan bagaimana kita menghabiskan waktu selepas makan.

Bercakap tentang nasi kandar bermula 5 hingga 8 September 2024, ‘RASA Layan Curry Fiesta X Havoc Festival’ akan diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia.

Acara yang berlangsung selama empat hari, bermula 11.00 pagi hingga 12.00 tengah malam ini menghimpunkan pengusaha makanan dengan pelbagai hidangan berasaskan kari.

Ia juga menyaksikan lebih daripada 200 booth makanan viral turut mengambil bahagian. Selain itu, pelbagai program seni, hiburan, dan aktiviti kekeluargaan disusun untuk menarik pengunjung.

Dianjurkan bersama Havoc Food Festival program yang dibawakan majalah Rasa dan Nu Ideaktiv ini akan dirasmikan oleh YB Datuk Aaron Ago Anak Dagang, Menteri Perpaduan Negara.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim