Nama seorang ahli strategi digital, Rayyan Haries, 27, yang aktif sebagai sukarelawan mungkin cukup tidak dikenali di negara sendiri, Malaysia.
Namun setelah dia berhijrah ke Greece, dia menemui sesuatu yang dia rasa, dia harus melakukannya iaitu memasak untuk pelarian Syria.
Ceritanya bermula sewaktu dia terlihat gambar seorang budak lelaki Syria, Alan Kurdi yang masih kecil tenggelam ketika cuba melintasi Laut Aegean untuk melarikan diri dari Turki ke Yunani.
Melihat Alan Kurdi sebaya dengan anak saudaranya, sejak dari itu Rayyan nekad mahu datang ke Greece untuk melakukan kerja-kerja sukarelawan.
Rayyan telah membantu ramai pelarian dan bekerja secara sukarela di tapak bencana sudah lebih 4 tahun walaupun dia sering berhadapan dengan pelbagai halangan sepanjang perjalanannya.
Namun begitu, Rayyan yang selama memang gemar berada di dapur dan menyelaras trak makanan di pulau Lesvos Yunani mula dikenali selepas digaPictures menghasilkan sebuah dokumentari yang melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Pavlos Avagianos.
Menurut Avagianos, dia bertemu Rayyan di kampung kecil Skala Skamnias dan Rayyan dikatakan sentiasa menyediakan sup untuk ribuan pelarian.
Perkara pertama yang menarik perhatian Avagianos adalah melihat senyuman lebar Rayyan dan gayanya yang gemar menyanyi ketika memasak. Rayyan bagaikan memberi orang ramai harapan serta keberanian.
Ketika ditanya Mashable, Rayyan memberitahu dia terbang dari Malaysia semata-mata membuka dapur kecil di situ untuk memberi makan kepada golongan pelarian (Syria).
Ini kerana bagi Rayyan, mereka telah menghadapi keadaan yang sangat menyakitkan akibat peperangan dan walaupun tak mampu memberi perkara lain, Rayyan hanya mahu masak untuk mereka.
Antara menu yang dihidangkan Rayyan adalah makanan Timur Tengah, teh panas dan kadangkala resepi fusion Malaysia dan menurut Rayyan, dia mempercayai “food is hope”.
Rayyan berkata, mereka tidak mempunyai banyak duit atau sumber-sumber untuk menjadikan dapur kami kalis musim sejuk apatah lagi dapur berkualiti tinggi namun mereka punyai hati yang kuat dan semangat untuk terus menjamu makanan.
Dalam sebuah laman web GoGetFunding, Rayyan memberitahu mereka sedang menunggu kehadiran kontena kerana stok makanan yang ada boleh menjamu 5,000 orang sahaja untuk setiap hari dan cuma tinggal yang itu sahaja.
Rayyan telah melalui banyak halangan semasa menjadi sukarelawan. Antaranya, dia pernah terperangkap di Nepal sewaktu gempa bumi kedua melanda selain pernah ditolak untuk pelanjutan visa apabila dia mahu tinggal di sesebuah negara dengan lebih lama.
Pada mulanya, ibu bapanya teragak-agak untuk membiarkannya menjadi sukarelawan di negara-negara seperti itu, tetapi tidak lama kemudian, mereka datang dan kini menyokong sepenuhnya kerja yang dilakukannya.