Gaya Hidup

Mat Redho, Dari ‘Fear Factor’ Kepada Menjadi Game Master ‘MASKULIN Who’s Your Bro’

Share

Mat Redho, seorang figura yang dikenali ramai dalam dunia hiburan dan cabaran ekstrem, kini memegang peranan penting dalam program Who’s Your Bro sebagai Game Master.

Berbeza dengan penyertaan beliau dalam program-program seperti Fear Factor dan Real Man Wira Merah di mana beliau pernah menjadi peserta, kali ini peranan Mat Redho adalah berbeza.

Peranan Mat Redho Sebagai Game Master

Dalam ‘Who’s Your Bro’, Mat Redho bukan sahaja memimpin cabaran tetapi juga terlibat secara langsung dalam setiap aspek penggambaran.

“Sebagai Game Master, saya perlu turun padang waktu shooting, mengumumkan keputusan peserta, memberi penerangan tentang peraturan serta menyerahkan tugasan kepada peserta,” ujar Mat Redho.

Selain itu, beliau turut berperanan sebagai komentator bersama dengan barisan komentator lain seperti Hariz Hamdan, Siti Khadijah dan Dr. Say.

“Kami semua memberikan ulasan dan analisis yang membantu menambah intensiti dalam setiap cabaran, sambil memberi pandangan tentang prestasi peserta,” tambahnya.

Mentaliti Peserta Adalah Cabaran Terbesar dalam Who’s Your Bro

‘Who’s Your Bro’ penuh dengan cabaran yang tidak hanya menguji kekuatan fizikal tetapi juga ketahanan mental peserta.

Menurut Mat Redho, cabaran terbesar yang dihadapi dalam penggambaran adalah masalah mentaliti dalam kalangan peserta.

“Dalam hati peserta, kadang-kadang ada perasaan membuak-buak dan membara dengan ahli sendiri, terutama apabila ada salah faham atau tekanan,” katanya.

Mat menjelaskan bahawa dalam pertandingan berpasukan, ada kalanya peserta lebih suka menyalahkan rakan pasukan mereka apabila kesilapan berlaku.

Bagi Mat, cabaran individu lebih menarik kerana ia memberi kebebasan kepada setiap peserta untuk bertanggungjawab terhadap diri mereka sendiri.

Foto : Boom! Malaysia

Cabaran Hardcore dan Ekstrem Seperti Fear Factor dan Wira Merah

Sebagai seseorang yang berpengalaman dalam cabaran ekstrem, Mat Redho pernah menyertai Fear Factor, Ninja Challenge League, SASUKE Vietnam dan Wira Merah.

Pengalaman ini memberinya pandangan yang berharga tentang bentuk cabaran yang diperlukan dalam ‘Who’s Your Bro’.

Namun, beliau menjelaskan bahawa cabaran dalam Who’s Your Bro lebih berbeza kerana ia menggabungkan pelbagai elemen cabaran dalam satu program.

“Ada cabaran yang memerlukan peserta merangkak, bermain air dan mengatasi ketakutan. ‘Who’s Your Bro’ menggabungkan elemen-elemen yang sangat mencabar dan cabaran-cabaran ini tidak semua orang boleh buat. Ada yang mungkin boleh buat, tetapi mereka perlu mengambil masa,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyentuh tentang elemen kelajuan dalam ‘Who’s Your Bro’

. “Cabaran dalam Who’s Your Bro lebih intensif. Ia melibatkan masa dan kelajuan setiap peserta diberi masa tertentu untuk menyelesaikan tugas. Jika kalah, balik! Kalau menang, menang!” tambah Mat.

Menurut Mat Redho, keunikan ‘Who’s Your Bro’ terletak pada kombinasi cabaran-cabaran yang ada dalam program lain tetapi lebih intensif.

Jika anda pencinta cabaran ekstrem, ‘Who’s Your Bro’ adalah program yang wajib ditonton untuk melihat siapa yang benar-benar mampu mengatasi segala rintangan yang ada dan siapa yang akan pulang dengan tangan kosong.

Untuk maklumat lanjut tentang ‘WHO’S YOUR BRO’ boleh layari www.maskulin.com.my/whosyourbro/!

 

Published by
Darwisy Farain