‘Maskulin Who’s Your Bro’, sebuah rancangan realiti hasil kerjasama Astro dan Nu Ideaktiv Sdn Bhd, akan mula disiarkan di saluran Astro Ria mulai 29 November 2024, setiap Jumaat jam 9 malam.
Program ini dihasilkan untuk mengajak penonton melangkaui had fizikal dengan membawa perspektif baru dalam genre realiti TV, mempersembahkan naratif universal tentang keberanian, kepimpinan dan kekuatan mental.
Rancangan yang menampilkan 12 peserta lelaki berusia antara 24 hingga 39 tahun terdiri daripada pelbagai latar belakang berbeza yang dipasangkan dalam duo akan diuji ketahanan diri dan emosi maskuliniti mereka melalui cabaran yang ekstrem.
Program ini bertujuan untuk menjelaskan semula konsep maskuliniti dengan mengetengahkan hubungan persaudaraan yang kuat, ketahanan emosi dan persaingan yang sihat.
Setiap episod ‘Who’s Your Bro’ berdurasi 60 minit, dengan keseluruhan 10 episod penuh cabaran. Duo terbaik akan berpeluang membawa pulang hadiah utama RM30,000.
Setiap pasangan diuji dengan cabaran fizikal dan mental yang menguji daya tahan, kecerdasan dan kerjasama mereka.
Dari kekuatan fizikal yang luar biasa hingga strategi tajam, program ini menggabungkan persaingan sengit, dinamika hubungan dan transformasi peribadi peserta.
Lima lokasi menarik di seluruh Malaysia akan menjadi tempat cabaran, dengan setiap episod menyajikan pengalaman unik yang menggabungkan aksi mendebarkan dengan elemen strategi dan hubungan interpersonal.
Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari berkata, “kami sangat teruja untuk memperkenalkan Maskulin Who’s Your Bro kepada penonton.
“Rancangan ini membawa naratif baru dalam dunia realiti TV dengan mengeksplorasi kekuatan emosi, ketahanan diri, dan bagaimana hubungan brotherhood dapat memacu perubahan. Misi kami adalah untuk menunjukkan bahawa kekuatan maskuliniti datang daripada sokongan antara satu sama lain dan keberanian untuk mengatasi cabaran hidup.”
Beliau menambah, “kami yakin rancangan ini akan merentasi sempadan budaya dan generasi. Dengan produksi yang penuh dedikasi dan penyampaian yang tidak klise, kami berharap Maskulin Who’s Your Bro mampu mencetuskan perbualan tentang maskuliniti moden.”
Manakala, Ketua Bahagian New Gen dan Men & Hobbies Nu Ideaktiv, yang juga Editor Pengurusan Maskulin, Fiezreen Ahmad, turut menyebut “rancangan ini adalah refleksi jenama Maskulin yang sentiasa menyokong kesihatan fizikal, kestabilan mental dan solidariti sosial selama 24 tahun.”
Mengulas lebih lanjut, beliau menyatakan “Maskulin Who’s Your Bro mampu menyampaikan nilai maskuliniti yang sebenar dengan kisah perjuangan, kesilapan yang diatasi bersama dan bagaimana sokongan antara sahabat dapat membawa perubahan besar.
“Kerjasama kami dengan Media Hiburan, Gempak, dan Remaja sebagai Rakan Digital, serta Borak seeNI sebagai Rakan Media, akan memastikan rancangan ini mencapai audiens yang lebih luas.”
Idlan dan Fiezreen sepakat bahawa rancangan ini merupakan manifestasi sinergi sempurna antara kandungan premium Astro dan wawasan strategik Maskulin.
“Kolaborasi ini bukan hanya mengubah norma, tetapi juga membuka ruang untuk perbincangan lebih mendalam tentang semangat persaudaraan lelaki. Bersama-sama, kami mencipta platform yang meraikan kekuatan emosi dan fizikal secara holistik,” ujar mereka.
Sebagai tambahan kepada program TV, Maskulin Who’s Your Bro juga akan menawarkan kandungan digital eksklusif melalui platform-platform seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
“Who’s Your Bro Digital Special” akan memaparkan sisi santai peserta di luar arena pertandingan, menunjukkan aktiviti harian mereka, personaliti unik dan emosi yang jarang dilihat.
Selain itu, program ini juga akan memberi perhatian kepada kesedaran kanser prostat melalui episod khas digital dan acara lapangan yang akan datang, menambah dimensi lebih mendalam kepada pengalaman penonton.
Maskulin Who’s Your Bro turut disokong oleh Media Hiburan, Gempak, dan Remaja sebagai rakan digital, sementara program Borak seeNI berperanan sebagai rakan media rasmi yang akan menyampaikan maklumat terkini mengenai rancangan ini.
Untuk maklumat lanjut tentang ‘WHO’S YOUR BRO’ boleh layari www.maskulin.com.my/whosyourbro/!
#SiapaBroSiapaLawan