Sebuah lakonan yang baik mempunyai kuasa untuk menyentuh jiwa dan hati penonton, demikian perkara yang disedari oleh Zahiril Adzim tatkala menonton lakonan Allahyarham Sudirman Haji Arshad suatu ketika dahulu.
Zahiril Adzim yang kini sudah berlakon dalam pelbagai jenis drama dan filem berkongsi perkara itu ketika tampil sebagai MASKULIN Man Of The Moment Edisi Julai 2024.
Ketika masih kecil, Zahiril masih ingat menonton filem Kami, khususnya ketika babak di mana watak Tookoo sedang bersedih bersendirian di dalam sebuah bas.
Dia kagum bagaimana lakonan itu mampu membuatnya turut bersedih, dan dari saat itulah timbulnya minat Zahiril untuk menceburi dunia lakonan.
Selepas tamat persekolahan, Zahiril pada awalnya menyambung pengajian dalam bidang rekaan grafik namun mengambil keputusan untuk berhenti di pertengahan jalan.
Kemudian dia disyorkan oleh rakan-rakannya untuk menceburi bidang seni lakonan pula, maka Zahiril menyambung pengajian di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) yang kini dikenali sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
“Saya ambil Diploma Teater, memang tujuan saya masuk itu memang saya nak cari ilmu tentang lakonan sebab masa itu saya rasa pelakon ini adalah satu kerjaya profesional,” ujar Zahiril.
“Jadi untuk menjadi seorang pelakon saya perlu ada satu kelulusan. Saya mendekati lakonan ini sebagaimana orang mendekati nak jadi doktor, arkitek, jurutera. Kena ada kelulusan”.
Menjelang tamatnya pengajian di akademi itu, Zahiril sudah mula menghadiri pelbagai ujibakat untuk mencari peluang berlakon.
Selepas penolakan demi penolakan, Zahiril akhirnya berjaya membuat kemunculan pertamanya di hadapan kamera menerusi drama bersiri Kami pada tahun 2008.
“Sampailah saya pergi ujibakat Red Communication, baru saya dapat diambil sebagai antagonis, masa itu saya jadi watak sampingan lah,” kongsinya.
Sebagai seorang pelakon, Zahiril mengakui yang dia bersifat selektif dalam memilih naskah untuk dilakonkan
“Saya akan tengok watak, jalan cerita, siapa pengarah dan pasukan produksi. Tapi jalan cerita dan watak yang paling saya titik beratkan,” katanya.
Jelasnya, segala tawaran lakonan dan hal-hal bayaran diuruskan oleh isterinya, Shera Aiyob yang juga berperanan sebagai pengurusnya.
Selepas itu, barulah Zahiril akan mula membaca naskah yang telah diterima melalui Shera.
Zahiril akan menolak dari melakonkan naskah tersebut jika dia kurang berminat selepas membacanya.
Di antara pelbagai jenis watak lakonannya, Zahiril mengganggap lakonannya sebagai Uda menerusi filem Pekak pada 2015 meninggalkan kesan yang begitu mendalam sehingga ke kehidupan peribadinya.
Zahiril masih ingat bagaimana dia perlu mengambil masa selama lebih kurang dua minggu untuk memulihkan keadaan dirinya.
Bahkan, dia yang perlu memasuki set penggambaran bagi filem Juvana selepas itu terpaksa menghubungi pihak produksi untuk memohon penangguhan.
Menurut Zahiril, dia banyak menghabiskan masa berseorangan demi mendalami watak Uda, seorang lelaki cacat pendengaran yang penyendiri.
Sebagai seorang individu yang sempurna deria pendengarannya di dunia nyata, Zahiril akui sukar untuk memahami dan mendalami watak itu.
Oleh itu, pengarah filem berkenaan memberikan Zahiril satu bunyi dengungan untuk membantu Zahiril mendalami watak seorang lelaki pekak.
“Sepanjang permulaan penggambaran saya dengar itu (dengungan) sahaja… Saya tutup deria pendengaran saya sepanjang dua minggu yang pertama. Pergi set pun saya tak bercakap dengan sesiapa,” kongsinya.
Malah, seluruh warga produksi turut memberi kerjasama dengan tidak berkomunikasi secara lisan dengan Zahiril sepanjang berada di set penggambaran.
Bagaimanapun tanpa disedari, kesan daripada kehidupan sebagai lelaki pekak itu berlanjutan dalam hidup Zahiril selama beberapa minggu walaupun selepas tamatnya penggambaran.
Maka Zahiril memutuskan untuk keluar berjalan dan berjumpa dengan rakan-rakannya demi menghubungkan kembali dunia sosialnya.
Setiap pelakon mempunyai cara tersendiri untuk mendalami watak. Bagi Zahiril sangat penting untuknya membuat kajian sendiri demi memahami watak yang diberi.
“Kena betul-betul tahu watak itu, faham latar belakang watak, benda-benda yang tiada dalam skrip, kitalah sebagai pelakon kena cari sendiri,” ujarnya.
“Sebaik sahaja kita sudah faham, watak itu milik kita. Tiada siapa lagi berhak untuk kacau watak kita”.
Bahkan pengarah pun perlu merujuk kepada pelakon jika mahu membuat perubahan pada watak berkenaan, demikian pendapat Zahiril.
“Kalau saya rasa tak boleh, maka tak boleh. Sebab ini saya punya, saya yang buat kajian,” tegasnya.
Zahiril Adzim tampil sebagai MASKULIN Man Of The Moment Edisi Julai 2024. Untuk video temu bual penuh, tonton di saluran YouTube MASKULIN.
BACA: Safuwan Baharudin: Impian & Cabaran Mengetuai Skuad Gergasi Merah