Malu Diisytihar Budak Paling Gemuk Di Sekolah, Lelaki ini Berjaya Turun 45kg

Share

Maskulin berbesar hati kerana sekali lagi dapar kongsi pengalaman seorang insan yang berjaya menurunkan berat badan dari 130kg- 85kg dalam masa 2 Tahun! Ikuti kisah lelaki yang bernama Mohamad Hafizee yang berusia 26 tahun ini.

 

Ceritakan sikit kisah anda

 

Saya gemuk sejak kecil lagi. Dari umur 7 tahun lagi badan sudah mula berkembang seiring dengan umur. Ditambah pula ibu bapa saya merupakan pengusaha restoran makanan Thai (kami asal Pattani, Thailand), jadi hidup saya tidak lari dari makanan, makan dan sentiasa makan. Lebih parah, apabila saya sendiri adalah tukang masak di restoran tu, memang makan tu dah sebati dengan gaya hidup saya.

Badan saya makin besar dan terus membesar dengan jayanya. Ketika umur 12 tahun, saya merupakan antara budak yang paling gemuk di sekolah. Tetapi dalam masa yang sama, saya gemar bermain sukan. Walaupun gemuk, saya aktif bersukan seperti bola sepak, ragbi sentuh (pernah mewakili sekolah ketika tahun 4), tarik tali, lontar peluru, lempar cakera, badminton dan bola tampar. Saya pernah mewakili sekolah menegah untuk sukan ping pong dan bola sepak. Tapi itu tidak membuatkan saya kurus. Cuma gemuk yang aktif.

Berat badan saya paling teruk naik ketika berumur 20 tahun. Sebabnya pada ketika tu, saya dah tak aktif bersukan. Saya berhenti 100% dari bersukan dan badan naik secara mendadak, tanpa henti. Satu persatu baju dan seluar sudah tidak boleh di pakai. Disebabkan sukar mendapatkan saiz baju, selama 3 tahun saya memakai baju yang sama.

Sehinggakan ada orang yang mula perli, “kau ni dah tak ade baju lain ke nak pakai?“. Siapa tak malu bila dihina macam tu? Tapi masa tu masih tak ada inisiatif untuk berubah. Kadang kala bila kesedaran tu datang, saya mula diet, itu pun dikutuk!

Antara penghinaan yang paling memalukan adalah saya dipanggil naik ke atas pentas dan kemudian diisytiharkan kepada orang ramai pada Hari Kecemerlangan Sekolah.

Inilah budak paling gemuk di sekolah

Hanya Allah sahaja tahu perasaan saya ketika itu. Serius, malu gila. Orang ramai yang ada di situ gelak tanpa henti. Ingat ni pentas Maharaja lawak gamaknya!

Ikutkan hati masa tu, rasa macam nak tumbuk dan terajang sampai patah riuk orang yang ketawakan saya tu. Tapi saya tahan je. Sampai sekarang saya masih ingat kisah tu walaupun dah 8 tahun berlalu.

 

Bila mula berubah?

 

Jujur, saya menjadikan Arif Sykri , baca juga  “Kau Diet Lah Macam Mana Pun, Gemuk Tetap Akan Gemuk” 

sebagai idola saya ketika dia kongsi kisah kejayaannya dalam diet. Kalau dia mampu, kenapa tidak saya kan? Jadi dipendekkan cerita, tarikh saya mula berubah ialah 26 jun 2015 dan aku mula jaga diet pada 27 jun 2015.

Senaman yang diamalkan

Setelah berhenti bersukan selama 6 tahun, jadi mustahil untuk saya bersukan balik secara drastik seperti dulu. Jadi saya mulakan dengan berjalan kaki di stadium setiap pagi. Berjalan sahaja dalam 5 pusingan. Mujur saya masuk salah satu program yang dianjurkan oleh Kevin Zahri Jom Kurus, jadi dari situ saya mengorak langkah.

Kemudian saya mula berjoging secara perlahan-lahan. Bila penat, berhenti. Dari berat 130kg ke 113kg saya selalu senaman dengan berjalan dan bodyweight training (biasa-biasa sahaja). Setelah saya capai 113kg, saya dah mampu melakukan Freeletics Bodyweight Workout.

Saya banya bermain dengan Bodyweight Training ataupun senaman menggunakan bebanan badan. Style saya bersenam lebih kepada Street Workout.

Antara senaman yang ‘wajib’ ialah:-

1) Push Ups
2) Burpees
3) Squat
4) Plank

Walaubagaimanapun jangan workout setiap hari. Bagi badan anda rehat sebab dia pun penat. Dalam masa yang sama, rajinkan diri cari leboh banyak info dari internet sebab dari situ banyak perkara anda akan dapat dan banyak ilmu anda boleh kutip.

 

Pernah Plateau tak?

 

Jangan takut pada plateau kerana plateau itu bermaksud badan kita tengah nak sesuaikan dengan berat kita yang terbaru. Bayangkan kalau kita tak kena plateau pada sesi penurunan berat badan, mungkin tinggal tulang saja kita dibuatnya. Itu sebab, apa-apa yang Allah cipta pasti ada kebaikannya. Jangan pernah sangsi dengan Allah.

Saya plateau pada berat 113kg selama 3 minggu. Apa yang saya buat ialah ubah cara makan dan cara senaman.

Siapa yang sentiasa menyokong perjuangan anda?

Orang yang paling banyak memberi sokongan ialah ummi saya sendiri. Dia yang selalu belikan barang-barang kelengkapan ‘diet’ untuk saya. Berjaya saya disini adalah disebabkan oleh ibu yang sentiasa menyokong saya. Dia tidak tunjukkan sokongan tersebut dengan kata-kata tapi lebih kepada tujukkan sokongan dengan perbuatan.

Apa pesanan kepada mereka yang struggle nak turunkan berat badan?

1) Kawal pemakanan dan jaga kesihatan

2) Rajinkan diri untuk bersenam

3) Jangan mudah mengalah untuk capai kejayaan

4) Utamakan ilmu dalam gerak kerja

5) Bersabar dalam menjalankan misi anda

6) Tutup aurat ketika bersenam di luar rumah.

7) Sentiasalah berdoa kepada Allah disamping usaha dan tawaka

 

Published by
Maiya Deen