Sesuatu kandungan di media sosial mampu membawa impak yang besar kepada masyarakat. Kini, masyarakat juga berlumba-lumba untuk menjadi seorang pencipta kandungan (content creator). Oleh itu, tidak hairanlah mengapa kini para pencipta kandungan turut diraikan dalam sebuah acara berprestij seperti Anugerah Tiktok Malaysia 2023 bulan lalu.
Jika kita membuka aplikasi media sosial, pasti kita akan menemui pelbagai jenis kandungan yang menarik. Namun, adakalanya kandungan itu hanyalah bersifat menarik semata-mata tanpa mempunyai intipati yang berilmiah.
Melalui perkara itu, terbuktilah yang pencipta kandungan juga perlu mempunyai ilmu demi menghasilkan kandungan-kandungan yang berkualiti serta memberi nilai yang baik kepada penonton.
Menurut seorang pempengaruh dan doktor selebriti, Dr Say Shazril atau nama sebenarnya, Muhammad Shazril Shaharuddin, kandungan berilmiah oleh individu profesional perlu diperbanyakkan disamping kita berhibur dengan kandungan jenaka semata-mata.
View this post on Instagram
“Yes bila kita perlukan hiburan, kita ada. Tapi bila kita nak cari something yang berilmiah, yang profesional, yang dapat kita gunakan dengan elok itu agak kurang dekat Malaysia ni.
“Jadi bila kita tengok dah semakin bertambah content-content yang profesional, yang ada maksud, saya sangat berpuas hati,” katanya ketika ditemui Maskulin di majlis pelancaran koleksi BAJUU by Wardrobe di ibu negara minggu lalu.
SETUJU DENGAN KHAIRUL AMING
Mengulas lanjut, Dr Say turut bersetuju dengan kenyataan yang dibuat pempengaruh terkenal, Khairul Aming di Anugerah Tiktok Malaysia 2023.
Dalam ucapan kemenangannya sebagai Creator of The Year, Khairul menekankan kepentingan pendidikan meskipun mahu meneruskan minat sebagai seorang pencipta kandungan.
“Saya suka sangat bila Khairul Aming menang Tiktok Awards hari itu, dia memetik akan kepentingan pendidikan. So bagi saya, sama juga. Kalau boleh kita utamakan education in whatever that we do,” katanya.
Tambah Dr Say, tahap pemikiran seseorang itu berbeza jika mereka dilengkapi ilmu pengetahuan dan perkara itu akan jelas terzahir melalui percakapan dan penulisannya.
Beliau berkata demikian melalui pengalamannya sendiri sebagai seorang doktor yang bertemu dengan pelbagai ragam pesakit setiap hari.
Oleh itu, Dr Say berpesan kepada para pencipta kandungan untuk jangan pernah berhenti mencari ilmu pengetahuan yang baru agar kandungan yang dihasilkan mampu memberi nilai tambah kepada masyarakat.
“Saya tak adalah nak suruh, mungkin yang dah terberhenti belajar untuk kembali belajar. Tapi sentiasalah mencari ilmu untuk memperbaharui diri kita supaya content-content kita pun jadi lebih menarik, dapat memberi value kepada orang. Itu yang paling penting”.
Selain memberi nilai tambah kepada masyarakat, ia juga penting untuk memastikan diri untuk kekal relevan sebagai pencipta kandungan, katanya lagi.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI