Sebut sahaja Amazon pastinya cukup ramai yang mengenali jenama ini. Apa tidaknya ia kini berada ditangga ketiga jenama paling berharga di seluruh dunia.
Jadi tidak hairanlah logonya juga cukup dikenali ramai dan sentiasa muncul di skrin komputer dan juga peranti pintar milik kita semua. Tapi tahukah anda maksud di sebalik logo jenama Amazon?
Segalanya bermula dengan pengasasnya yang kini merupakan manusia ketiga terkaya di dunia iaitu Jeff Bezos. Mengimbas kembali penubuhan syarikat ini pada tahun 1994, Jeff Bezos merancang untuk mencipta kedai buku terbesar di dunia.
Bermula dari situ dia mula mencari idea untuk memberikan nama dan logo yang sesuai. Pada awalnya, Jeff Bezos dikatakan ingin menamakan syarikatnya dengan nama ‘Cadaver’, seperti dijelaskan oleh penulis teknologi terkenal, Brad Stone menerusi bukunya, ‘The Everything Store’.
Namun selepas melihat beberapa kemungkinan Jeff Bezos membukan halaman kamus pada seksyen huruf ‘A’. Di situ dia tertarik dengan perkataan ‘Amazon’. Jelas Brad lagi, nama Amazon itu sendiri cukup hebat kerana ia bukan sahaja sungai terbesar di dunia malah berkali ganda lebih besar dari sungai seterusnya.
Ia merupakan nama yang dilihat cukup sesuai buat syarikatnya dan berharap untuk menjadikan platform buku di atas talian mampu memberikan tawaran besar secara simbolik seperti sungai tersebut.
Bak kata orang, ‘the rest is story’. Sejak penubuhannya Amazon kini menjadi gergasi dunia dengan mengembangkan tawaran produk pelbagai kategori. Malah boleh dikatakan apa sahaja jenis produk terlintas di fikiran pasti ada di Amazon.
Lihatlah pula pada logonya. Sekali imbas ramai akan ingat terdapat bentuk senyuman di bawah logo ‘Amazon’. Namun tahukah anda ia adalah anak panah yang merujuk daru huruf ‘a’ ke huruf ‘z’?
Ia melambangkan pengguna mampu mencari apa sahaja produk tersenarai dari A sampai Z.
Sekarang anda tahu!