Negara kita kini berdepan dengan kondisi yang semakin kritikal dengan penularan wabak Covid-19. Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan langkah drastik untuk menguruskan situasi Covid-19.
Antara langkah yang diambil ialah Perintah Kawalan Pergerakan. Perintah ini meliputi beberapa larangan seperti:
1. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.
2. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.
Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan.
3. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.
4. Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.
5. Penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan
6. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.
Kesemua langkah Perintah Kawalan Pergerakan ini dilakukan bagi mencapai misi merendahkan kadar jangkitan. Dan kesemuanya melibatkan social distancing. Tapi apakah yang anda faham tentang social distancing?
Mengikut definisi adalah istilah yang merujuk kepada tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa atau individu untuk mengurangkan dan merendahkan kadar merebaknya sesetengah penyakit dan wabak.
Untuk memastikan matlamat social distancing ini tercapai setiap apa jua program melibatkan jumlah orang yang ramai perlu dibatalkan.
Ini bagi memberi peluang kepada sistem kesihatan untuk lebih bersedia menjaga pesakit yang sedia ada dan kes baru pada jumlah yang tidak terlalu tinggi.
Selain membatalkan acara besar, setiap individu juga boleh membantu dengan tinggal di rumah. Bekerja di rumah juga merupakan salah satu bentuk social distancing yang sangat baik.
Jika terpaksa keluar, pastikan diri berada 1 hingga 2 meter daripada individu lain. Batalkan sebarang mesyuarat secara terbuka dan lakukan secara online.
Semoga kita semua dilindungi dan sama-sama berganding bahu membanteras penyebaran wabak Covid-19.