Makin Peka Tentang Kesihatan, Nazir Razak Dedah Pengalaman Selepas Pulih Kanser Prostat

Mendengar sahaja kanser prostat pasti cukup menggerunkan untuk kaum lelaki, namun tidak ramai yang mengambil pusing tentang penyakit ini.

Memandangkan ia berkait rapat dengan organ pembiakan maka sikap malu untuk menjalani pemeriksaan mahupun mendapatkan bantuan perlu diubah agar kanser prostat ini dapat dicegah dari awal.

Siapa sangka kehadiran penyakit yang tidak diduga ini telah mengubah cara hidup Datuk Seri Nazir Tun Razak untuk lebih peka tentang kesihatan diri.

Semuanya bermula ketika beliau menjalani pemeriksaan prostat sebagai syarat awal pembelian insurans sehinggalah beliau didiagnosis sebagai pesakit kanser prostat.

“Alhamdulillah, saya sangat bertuah kerana penyakit barah saya dikesan dengan awal sekitar bulan Oktober 2018. Saya tidak mengalami sebarang simptom dan mendapat tahu secara tidak sengaja.

“Saya menjalankan ujian saya di London dan memberitahu doktor saya ketika itu untuk menjadualkan pembedahan saya selepas saya pulang dari bercuti.

“Betapa sihatlah saya rasa pada masa itu sehingga boleh bercuti dengan keluarga!” ujar beliau dalam temu bual yang dijalankan MASKULIN sempena Kempen ‘To Combat Against Prostate Cancer’.

Berhenti rokok dan ubah gaya hidup positif

Bukan mudah untuk menerima hakikat bergelar pesakit kanser, apatah lagi penyakit ini boleh meragut nyawa. Selain melakukan pemeriksaan dan menjalankan rawatan, sokongan ahli keluarga sangat penting dalam memberi semangat untuk pesakit melawan kanser prostat ini.

“Apabila saya mendapat tahu yang saya menghidap kanser prostat, saya serta keluarga saya risau kerana ia diketahui bahawa kanser mampu meragut nyawa pada bila-bila masa, dan saya juga khuatir jika sesuatu tidak baik berlaku semasa prosedur pembedahan.

IKLAN

“Tetapi keluarga saya memberi semangat terutamanya isteri dan anak-anak saya yang meyakinkan saya bahawa prosedur tersebut akan berjalan lancar dan saya akan cepat sembuh.

“Abang-abang saya Nizam dan Johari serta keluarga mereka melawat saya di London. Tidak lupa juga rakan-rakan saya seperti Tan Sri Tony Fernandes, Datuk David Chua, Datuk Haris Onn dan Datuk Kamaluddin Badawi,” ujar beliau.

Makin Peka Tentang Kesihatan, Nazir Razak Dedah Pengalaman Selepas Pulih Kanser Prostat
Foto: Koleksi Datuk Seri Nazir Tun Razak

Disebabkan kanser prostat ini, Datuk Seri Nazir Razak berhenti merokok dan lebih kerap bersenam selepas pulih. Jika sebelum ini beliau terlalu fokus pada kerjayanya di CIMB sehingga mengabaikan kesihatan, tetapi kini beliau lebih memandang serius tentang kesihatan diri.

Untuk rutin pemakanan, beliau cuba untuk mengambil makanan yang lebih berkhasiat dan mengurangkan makanan yang berlemak tinggi. Tidak dilupakan, aktiviti senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu tidak kira di rumah ataupun di luar apabila bermain golf.

Jumpa doktor jika ada simptom ini

“Jangan melengahkan masa lagi. Jika anda mempunyai gejala seperti kerap membuang air kecil, sukar untuk membuang air kecil ataupun mempunyai nafsu berahi (libido) yang rendah, anda harus berjumpa dengan doktor secepat mungkin. Walaupun anda tidak mengalami apa-apa gejala, anda harus menjalani pemeriksaan prostat yang berkala selepas umur 50 tahun dan ke atas.

Mereka yang mempunyai sejarah kanser prostat dalam keluarga terdekat juga merupakan golongan yang berisiko tinggi dan wajar menjalani pemeriksaan prostat yang berkala dengan doktor.

IKLAN
Makin Peka Tentang Kesihatan, Nazir Razak Dedah Pengalaman Selepas Pulih Kanser Prostat
Foto: Koleksi Datuk Seri Nazir Tun Razak

“Amerika Syarikat di mana ujian prostat kerap dilakukan, kemungkinan golongan lelaki mendapat kanser prostat adalah 10%. Ingat, hanya lelaki berisiko mendapat kanser prostat, dan mampu diselamatkan jika dikesan dan dirawat dengan awal.

“Penting untuk pesakit mendapatkan nasihat doktor sekiranya mengalami simptom kanser prostat. Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal yang menyeluruh termasuk digital rectal examination (DRE) dan ujian darah Prostate Specific Antigen (PSA) sebagai penyiasatan awal Kanser Prostat.

“Sekiranya keputusan ujian-ujian tersebut adalah ‘luar biasa’, pesakit akan dirujuk kepada pakar Urologi untuk pemeriksaan lanjut termasuk ujian biopsi kelenjar prostat,” terang Datuk Seri Nazir Tun Razak.

Peluang sembuh paling tinggi jika dikesan awal

Menurut Datuk Seri Nazir Tun Razak lagi, kanser prostat adalah antara kanser yang mempunyai peluang sembuh yang paling tinggi jika dikesan dan dirawat awal.

“Data dari kajian-kajian kanser prostat menunjukkan bahawa lebih 90% pesakit kanser prostat pada peringkat awal dapat hidup sekurang-kurangnya 10 tahun selepas menerima rawatan. Sebaliknya, jika kanser ini dikesan pada peringkat yang lewat, hanya sekadar 30% pesakit yang akan hidup lebih daripada 5 tahun.

“Berdasarkan pengalaman saya, selepas prosedur biopsi tersebut mengesahkan bahawa ketumbuhan saya sudah menjadi barah, doktor cadangkan saya untuk menjalankan pembedahan secepat mungkin. Selepas pembedahan tersebut, alhamdulillah saya pulih dengan sepenuhnya dalam beberapa bulan”

Tabung Amanah Kanser Urologi

Tabung Amanah Kanser Urologi yang ditubuhkan pada tahun 2015 di bawah naungan Fakulti Perubatan, Universiti Malaya ini dianggotai oleh pakar perubatan dan wakil orang awam.

IKLAN

Tabung ini bertujuan untuk mengumpulkan dana yang akan disalurkan kepada pelbagai inisiatif pencegahan kanser urologi termasuklah rawatan, kesedaran kepada orang awam dan juga penyelidikan.

Tabung amanah ini memainkan peranan dalam:
(i) Mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai kanser urologi terutamanya kanser prostat.
(ii) Meningkatkan pengesanan awal kanser prostat.
(iii) Memberikan bantuan kewangan kepada pesakit kanser prostat di Malaysia.

Kempen ‘Combat Against Prostate Cancer’

“Kanser prostat adalah salah satu kanser yang paling kerap dihidapi oleh golongan lelaki di Malaysia. Lebih daripada 60% kes kanser prostat di Malaysia dikesan lewat pada tahap yang serius. Oleh itu, visi kami adalah untuk mengurangkan peratusan itu kepada 30% menjelang 2025.

“Untuk mencapai matlamat ini, kempen ‘onlymencan’ ini dianjurkan dalam bulan November ini untuk meningkatkan kesedaran kanser prostat di kalangan rakyat Malaysia terutamanya golongan lelaki agar kanser prostat dapat dikesan dan dirawat pada peringkat awal.”

Dua kumpulan yang akan disasarkan:
(i) Lelaki berusia 50 tahun ke atas kerana mereka adalah golongan yang paling berisiko untuk mendapat barah prostat.
(ii) Ahli keluarga lelaki-lelaki tersebut seperti isteri serta anak-anak mereka kerana mereka dapat meyakinkan suami ataupun ayah mereka untuk menjalani ujian.

“Saya rasa memiliki kesedaran mengenai kanser prostat adalah sangat penting. Kanser prostat adalah salah satu kanser yang lebih mudah dirawat dan kadar pulih pesakit kanser prostat yang dirawat awal juga adalah tinggi, hanya jika dikesan awal,” kata ahli lembaga Tabung Amanah Kanser Urologi ini.

Makin Peka Tentang Kesihatan, Nazir Razak Dedah Pengalaman Selepas Pulih Kanser Prostat
Foto: Koleksi Datuk Seri Nazir Tun Razak

* Artikel ini diterbitkan dengan kerjasama Datuk Seri Nazir Tun Razak sempena Kempen ‘Combat Against Prostate Cancer’.

Subscribe dan tonton video di Youtube MASKULIN

Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.

KLIK DI SEENI