Tak salah jika MASKULIN katakan bahawa Paracetamol merupakan ubat yang paling kerap disebut dan digunakan oleh rakyat Malaysia dalam seharian.
Sakit kepala? Mesti cari Panadol, salah satu jenama ubat yang mempunyai kandungan Paracetamol. Demam? Ya, pasti kita akan cari Paracetamol. Lepas makan pasti InsyaAllah demam akan kebah.
Namun pernahkah anda dengar akan cakap-cakap atau khabar angin mengatakan memakan Paracetamol tak baik untuk badan dan kesihatan?
Kemudian wujud juga mitos pil paracetamol ini tak hadam dalam perut untuk satu tempoh lama seperti 5 tahun.
Sebenarnya ubat apa sekalipun jika anda makan dengan penuh tanggungkawab dan mendapat saranan doktor pasti ia tidak memudaratkan.
Sebelum mempercayai semua fakta dan auta tentang paracetamol, baca penerangan yang pernah dikongsi oleh pegawai farmasi, Mohd Dziehan Mustapa mengenai paracetamol ini di Facebook. Perkongsian beliau turut dilakukan oleh seorang lagi doktor yang cukup popular di laman media sosial, Doktor Rafidah Abdullah.
Ikuti perkongsian beliau di bawah.
Satu pertanyaan berbunyi, ADA ORANG TANYA, BETUL KE MAKAN PARACETAMOL (UBAT DEMAM) NI AKAN ROSAK HATI?
Jawapannya : YA, jika makan lebih daripada yang disarankan.
Dos yang disarankan (demam biasa)?
Jawapan: Dewasa: 1g (500mg tab x 2biji) setiap 6 jam
[Max dos:4g sehari]
Kanak-kanak: Rujuk lampiran sebab kanak-kanak dos ikut berat badan begitu juga max dos dalam sehari.
Dos yang bagaimana boleh merosakkan hati?
Jawapan: Dos minimun yang boleh menyebabkan kesan toksik paracetamol adalah:
Dewasa: 7.5-10g dalam 1 dos (1 pengambilan)
Kanak-kanak (1-6tahun): 200mg/kg dalam 1 dos (1 pengambilan)
Habis tu kenapa ada orang kata makan paracetamol 8 biji sehari boleh rosak hati?
Jawapan: Mungkin orang itu bukan Ahli Farmasi atau Doktor Perubatan . Atau mungkin juga orang itu salah faham. Kita (dewasa) makan paracetamol ikut dos yang disarankan adalah 1g iaitu 500mg tablet x 2biji sebagai 1 dos (1 pengambilan).
Dos (dewasa) min yang boleh menyebabkan kesan toksik adalah 7.5-10g iaitu 500mg x 15 biji hingga 20 biji sebagai 1 dos (1 pengambilan). Mana ada orang yang makan 15-20 biji paracetamol sebagai 1 dos atau 1 pengambilan? Kecuali individu itu ada niat lain jika makan banyak begitu.
Habis tu En. Dziehan kalau makan paracetamol 2 biji setiap 6 jam tidak menyebabkan kesan toksik pada hati kita?
Jawapan: TIDAK. Sebab ikut dos yang disarankan. Badan kita bukan macam TONG atau BALDI. Ubat yang kita makan tidak berkumpul dalam badan kita. Setiap ubat akan melalui proses metabolisma dan dikumuhkan keluar daripada tubuh kita. Untuk paracetamol ia di-matabolisma oleh enzim hati kita dan dikumuhkan keluar daripada badan kita melalui urin (air kencing).
Berapa lama proses ini berlaku?
Badan kita ambil masa 1-3jam (elimination half life) untuk mengurangkan kepekatan paracetamol dalam darah kepada 1/2 daripada kepekatan asal yang diserap oleh tubuh.
Hmmmm nampak tak…inilah ilmu yang kita panggil sebagai ‘pharmacokinetics’. Ahli farmasi belajar subjek ini. Sebab itu kami lebih memahami perkara-perkara berkaitan Ubat-ubatan ?
Maka setakat makan 2 biji (1g) paracetamol tidak menyebabkan kerosakan hati. Dalam 1-3 jam kepekatan 1g paracetamol yang diserap oleh tubuh akan menjadi separuh kerana proses metabolisma. Kesan toksik berlaku apabila ubat berada dalam kepekatan tinggi dalam tubuh dalam satu jangka masa yang tertentu dan kekuatan ubat tersebut.
Maka sekarang CLEAR tak berkaitan FITNAH PARACETAMOL yang digembar gemburkan kononnya beri kesan toksik kepada hati pada dos biasa. Ingat, SALAH INFORMASI itu…saya dah terangkan paling ringkas yang boleh berdasarkan informasi yang sahih.
Pegawai Farmasi Anda
Mohd Dziehan Mustapa
Medical Mythbusters Malaysia (M3)
**Mohon share posting ini untuk manfaat semua
#BukanDrMuda
#AhliFarmasiBerdaftar