
Ada sesetengah orang makan banyak tapi badan masih kurus. Mungkin kita rasa dia beruntung walaupun makan badan tapi berat tak naik.
Namun perlu kita ingat, badan yang kurus dan miliki berat badan ideal tidak semestinya sihat. Ini kerana, anda yang berbadan kurus walaupun makan banyak mungkin menyimpan lemak tersembunyi pada organ-organ penting tanpa anda sedar.
Public Health Malaysia berkongsi di laman Facebook, TOFI di mana anda nampak kurus di luar tapi gemuk di bahagian dalam tubuh atau dikenali sebagai “Thin Outside, Fat Inside”.
Jom ikuti perkongsian ini.
BACA: 8 Gaya Lelaki Kurus Kena Amalkan Kalau Nak Elak Badan Nampak Sekeping!
TOFI – “Thin Outside, Fat Inside”
Anda pasti kenal mana mana individu yang makan dengan banyak, suka makanan segera dan minuman manis tetapi badan mereka sentiasa maintain kurus.
Tidak perlu cemburu kerana tubuh yang kurus itu, tidak semestinya SIHAT.
Walaupun memiliki berat badan ideal, tanpa disedari, akibat pemakanan dan gaya hidup, lemak mereka tersembunyi bersama organ orang penting di abdomen.
Situasi ini dikenali sebagai TOFI. “Thin Outside, Fat Inside”.
BACA: Senaman Bina Otot & Naikkan Badan Untuk Orang Cikeding Yang Nak Sado!
Hal ini, menjelaskan persoalan mengapa individu yang kurus turut menghidap penyakit penyakit metabolik seperti,
✔️ Kencing Manis
✔️ Darah Tinggi
✔️ Tinggi Kolesterol
✔️ Penyakit jantung dan strok
Jika anda perasan, individu TOFI ini tidak cergas, cepat penat dan kadang kala nampak pucat. Situasi stress dan kurang tidur menyebabkan paras kortisol meningkat dan seterusnya meningkatkan lagi pengumpulan lemak di organ.
TOFI sukar dikesan. Lemak tersembunyi itu hanya boleh dilihat menerusi ujian imbasan MRI atau ujian darah untuk mengesan paras kolesterol, gula dan fungsi organ.
Lebih bahaya, akibat sentiasa langsing, mereka tidak mengawal pemakanan dan tidak menjaga kesihatan. Mereka juga tidak pergi menjalani ujian saringan kesihatan seperti orang lain.
Kesimpulannya, tubuh kurus tidak bermakna anda lolos dari risiko penyakit metabolik. Makanlah dengan kadar sederhana. Kurus bukan lesen untuk tidak menjaga kesihatan.
BACA: Tip Mudah Orang Keding Nak Dapatkan Berat Ideal Dengan Milo & Banana Milk!
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
Asyik Garu Kepala, Kelemumur Punca Lelaki Nampak ‘Pemalas’ Di Mata Wanita

Jenis-jenis kelemumur:
1. Kelemumur disebabkan kulit kepala kering
Kulit kepala menjadi kering hinggakan berkuping putih. Salah satu sebabnya adalah tindakbalas kulit kepala dengan bahan ramuan syampu yang digunakan.
Juga terlalu kerap mencuci rambut hingga menyebabkankan kulit kepala jadi kering.
2. Kelemumur disebabkan berminyak
Pengeluaran minyak sebum berlebihan dirembes pada kulit kepala. Ini berkait dengan cara mencuci rambut tidak betul.
Di mana sel-sel kulit kepala yang mati kemudian bercampur dengan minyak sebum berlebihan menyebabkan kulit kepala menjadi gatal dan berkuping.
3. Kelemumur disebabkan kulat (yis)
Sejenis kulat iaitu Malassazia secara semulajadi memang hidup di kulit kepala. Namun pertumbuhanya adalah terhad.
Tetapi kulat ini akan jadi berkembang membiak apabila ada minyak yang berlebihan di kulit kepala menjadi sebagai sumber makanannya.
4. Kelemumur disebabkan berpenyakit
Berpenyakit serius seperti psoriasis juga menyumbang kepada kelemumur. Ini menyebabkan kulit menjadi sangat kering hingga bersisik. Kulit kepala yang tidak sihat menyebabkan minyak dirembes berlebihan dan menyebabkan kelemumur.
Selain itu, ekzema juga boleh menyebabkan kegatalan dan terjadinya kelemumur di kulit kepala.
Sebelum merawat ataupun mencuba mana-mana petua, kenalpasti dahulu jenis masalah kelemumur anda. Inilah kebanyakannya orang sering gagal dalam merawat masalah kelemumur hingga menjadi lebih teruk kan.
Petua-Petua Merawat Kelemumur dan Rambut Berminyak:
1. Yogurt dan Lada
Yogurt bertindak untuk melembapkan kulit kepala yang bersisik. Manakala lada bertindak sebagai antikulat.
i. Gunakan 2 sudu lada hitam yang dikisar halus
ii. Gaulkan bersama 1 sudu yogurt
iii. Sapu kan di kulit kepala bukannya di rambut. Biarkan selama 1jam.
iv. Basuh dan cuci semula dengan syampu.
2. Cuka Epal
Cuka bersifat asid membantu untuk menghalang pembiakan fungus dan kulat pada permukaan kulit.
Ia membantu merawat kulit kepala yang kering dan mengurangkan kegatalan.
Caranya lebih mudah dan senang.
i. Urut kulit kepala secara lembut dengan cuka. Pastikan betul-betul di kulit kepala ya.
ii. Ataupun semasa mandi, campurkan 1 sudu cuka dalam gayung air dan cuci dan bilas kulit kepala serti biasa.
3. Baking Soda
Membantutkan pembiakan kulat yang aktif.
Baking soda dijadikan sebagai skrub dan diramas pada kulit kepala untuk mengawal pengeluaran minyak sebum.
Baking soda bertindak untuk menyingkirkan sel-sel kulit kepala yang mati dan akan mengeluarkan minyak secara normal kembali.
** Campurkan 1 sudu teh baking soda dalam syampu dan cuci seperti biasa.
4. Aloe Vera (Kulit Lidah Buaya)
Bersifat anti-kulat dan anti-bakteria semulajadi. Aloe vera sangat bagus bertindak untuk membuang sel-sel kulit kepala yang sudah mati sebelum menjadi kupingan kelemumur.
i. Boleh letakkan terus dan gosokkan kulit lidah buaya pada kulit kepala. Terasa sejuk kulit kepala bila lendir-lendir aloe vera menyerap masuk.
ii. Biarkan dalam 15 minit dan kemudian basuh.
Aloe vera bukan sahaja membersihkan kulit kepala tetapi boleh menyembuhkan dan melembapkan. Antara petua yang paling mudah dibuat kan.
Semua petua-petua di atas perlu dilakukan secara konsisten untuk mendapatkan kesan yang cepat.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
Perempuan ‘Turn Off’ Tengok Lelaki Bertahi Mata

Bagaimana tahi mata terbentuk? Tahi mata mengandungi mukus, minyak, sel kulit dan bahan lain yang terkumpul pada tepi mata ketika tidur.
Tahi mata sebenarnya berperanan melindungi, mengeluarkan sisa buangan dan kandungan yang membahayakan daripada permukaan mata. Mata kita sentiasa mengeluarkan air mata yang meliputi bahagian depan permukaan mata.
Apabila kita mengerlip mata, permukaan mata berair dan mukus ini membantu membuang sisa kotoran sebelum ia mengeras atas permukaan mata, berbeza dengan waktu tidur yang mana mata tidak berkerlip. Jadi, kandungan kotor ini terkumpul dan mengeras pada tepi mata, lantas berlakunya tahi mata.
Jangkitan kuman
Tahi mata dengan kuantiti sedikit yang keluar selepas bangun dari tidur adalah normal terutama jika seseorang mengalami jangkitan demam dan selsema. Tetapi, jika jumlah tahi mata adalah banyak dengan warna kehijauan atau kekuningan, penglihatan kabur atau mata sakit dan pedih apabila terkena cahaya, ini mungkin tanda mata mempunyai jangkitan serta perlu mendapatkan pemeriksaan doktor mata.
Malah, individu yang pernah melalui sejarah alahan dan sering menggosok mata pada awal pagi dengan pengeluaran tahi mata berlendir atau melekit juga disarankan mendapat nasihat daripada doktor mata. Jangkitan penggunaan kanta lekap juga boleh menyebabkan pengeluaran tahi mata pada waktu pagi adalah lebih daripada biasa.
Ini disebabkan beberapa faktor, termasuk jangkitan mata disebabkan kuman. Memakai kanta sentuh terlalu lama setiap hari juga akan menyebabkan mata semakin kering dan tidak selesa. Ini antara sebab mata rasa penat dan gatal.
Jangkitan pada mata
Selain itu, keadaan ini juga boleh berlaku disebabkan jangkitan pada bahagian saluran keluar air mata. Apabila saluran keluar air mata tersumbat, kandungan tahi mata semakin terkumpul pada bahagian “lacrimal sac”.Kandungan ini boleh membiakkan jangkitan dan menyebabkan keradangan. Bahagian ini akan nampak bengkak dan sakit dan mata sering berair sekali gus menyebabkan mata bertahi.
Walaupun tiada kaitan dengan faktor genetik, bayi berusia kurang daripada setahun dengan kekerapan mata berair perlu menjalani pemeriksaan untuk memastikan pembentukan saluran air mata keluar dengan betul. Jika kanak-kanak berumur empat dan enam tahun mengalami masalah tahi mata berlendir pada setiap pagi dan sering menggosok mata disebabkan mata gatal, ibu bapa perlu membawa anak mendapatkan rawatan untuk masalah alahan mata ini.
Panduan elakkan jangkitan pada mata
* Mengelakkan menyentuh mata supaya mengurangkan jangkitan daripada merebak.
*Kerap kali mencuci tangan, lebih-lebih lagi terdapat masalah mata merah yang berjangkit
*Jika anda adalah seorang yang sering menggunakan kanta lekap, elakkan terus menggunakan ia dan berjumpa segera doktor.
* Jika mata bertahi dan merah, jangan gunakan bahan kosmetik pada mata seperti maskara dan pensil mata
•Jika mata bertahi disebabkan alahan, elakkan persekitaran tercemar kerana persekitaran bersih tanpa habuk dapat mengurangkan mata yang sensitif, gatal dan berair.
Kaedah penjagaan mata
* Satu antara enam orang dewasa mengalami masalah mata dan peratusan ini meningkat selari dengan usia.
* Antara masalah mata sering berlaku disebabkan penambahan usia adalah, katarak dan glukoma.
Jenis makanan baik untuk mata
1. Bayam
2. Sawi.
3. Oren, tembikai, betik dan pisang ( buah warna terang )
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
Berdepan Masalah Tekanan Darah Tinggi Pada Usia Muda, Lelaki Ini Tekad Turunkan Berat Badan

Dugaan berdepan dengan masalah berat badan berlebihan atau obesiti bukanlah satu perkara yang cukup ringan. Bagi mereka yang sedang atau pernah berdepan masalah ini pasti tahu kesukaran yang dialami.
Masalah berat badan juga cukup sinonim dengan penyakit kronik ‘tiga serangkai’ seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung. Lebih menakutkan jika ia berlaku pada usia yang masih muda.
FIT JOURNEY Maskulin pada kali ini sempat menemu bual seorang lelaki berusia 25 tahun yang pernah berdepan masalah tersebut. Mohamad Fazrin Bin Ahmad Fauzi yang merupakan seorang penjawat awam dan penulis novel separuh masa berkongsi bagaimana dia pernah mengalami masalah tekanan darah tinggi yang berkait rapat dengan masalah berat badan dialaminya suatu ketika dahulu.
Ikuti temu bual bersama jejaka berasal dari Kedah ini untuk mengetahui pengalamannya berdepan cabaran tersebut.
Sebelum turunkan berat badan, bagaimana tabiat pemakanan anda?
Sebelum turunkan berat badan, tabiat pemakanan saya amatlah di luar kawalan. Saya seorang yang sukar mengatakan tidak jika dipelawa untuk makan. Selain itu, saiz hidangan makanan juga lebih untuk seorang makan.
Waktu makan saya juga tidak teratur. Sebelum ini juga ketika sedang aktif dalam dunia penulisan saya sering makan makanan berat pada waktu lewat malam. Ini kerana waktu menulis saya selalunya selepas jam 12 pagi sehingga ke Subuh.

Ketika alami masalah berat badan, apakah masalah kesihatan yang anda alami?
Masalah kesihatan yang saya alami sebelum ini adalah tekanan darah tinggi. Setiap kali ke klinik dapatkan rawatan, saya sering ditegur oleh doktor untuk kawal pemakanan dan kurangkan pengambilan makanan berminyak dan bergaram.
Kata doktor, saya masih terlalu muda untuk mendapatkan ubat bagi mengawal tekanan darah. Jadi, doktor menyarankan saya untuk berjaga-jaga dari awal sebelum keadaan jadi lebih teruk. Selain masalah itu, kedua-dua belah kaki juga sering berasa kebas.

Bagaimanakah perasaan anda ketika berdepan masalah berat ketika itu? Adakah berdepan tekanan perasaan, kurang keyakinan diri atau mudah putus asa?
Ya. Pada waktu itu, tekanan perasaan sememangnya ada. Saya sering fikir, “sampai bilalah aku nak besar macam ni?” Tetapi, ia lebih kepada kurang keyakinan diri. Saya susah dan malu untuk bergaul dengan orang ramai jika dalam kalangan mereka, hanya saya seorang sahaja yang berbadan besar.
Pada ketika itu, saya merasakan diri saya ‘introvert’. Saya banyak menghabiskan masa di rumah dan hanya akan keluar pada waktu malam untuk mengelakkan dipandang orang ramai.

Pernahkah anda jadi mangsa buli atau diejek disebabkan penampilan ketika itu?
Jadi mangsa ejekan? Paling kerap sejak dari bangku sekolah lagi. Untuk pengetahuan semua, saya seorang yang gemar bersukan walaupun berbadan besar. Namun, sukan yang saya pilih merupakan sukan yang tidak perlu banyak bergerak.
Saya pernah terpilih untuk mewakili pasukan sekolah untuk sukan bola tampar disebabkan ketinggian saya. Namun, disebabkan tidak tahan dengan ejekan, saya buat keputusan untuk menarik diri. Selain itu, Ketika ingin menumpang kenderaan milik rakan, saya sering dipersalahkan jika kereta terasa berat untuk memecut. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya.

Apa yang membuatkan anda ingin berubah dan turunkan berat badan?
Perkara yang membuatkan saya ingin berubah dan turunkan berat badan adalah dari segi pemakaian. Saya merupakan seorang yang gemar berfesyen dan memperagakan pakaian ‘OOTD’. Impian saya ketika itu juga adalah ingin menjadi seorang ikon fesyen dan peragawan untuk pereka yang menghasilkan karya HYPEBEAST. Namun, disebabkan kebanyakan peragawan di Malaysia bertubuh ‘fit’. Jadi, saya terpaksa lupakan hasrat saya itu.
Selain itu, pengaruh orang sekeliling juga memainkan peranan penting untuk saya berubah. Untuk pengetahuan anda, saya bekerja dengan angkatan tentera. Saya selalu rasa sedikit kurang keyakinan jika ingin bersemuka dengan mereka yang kebanyakannya bertubuh normal dan ‘fit’.
Perkara pertama anda lakukan untuk turunkan berat badan?
Perkara pertama yang saya lakukan adalah dengan mencuba diet Atkins. Saya ada membuat carian di internet untuk diet yang paling berkesan. Walaupun berisiko tinggi serta tidak bagus untuk kesihatan, saya tetap bertekad untuk cuba. Dalam masa selama sebulan lebih saya berjaya hilangkan 30 kilogram. Kebetulan masa itu bulan puasa, jadi saya hanya bersahur bubur oat, susu kurma dan dua gelas air kosong.
Untuk berbuka pula saya sekadar minum air yang kurang manis dan beberapa keping kuih-muih. Selain daripada itu, saya juga langsung tidak ambil nasi dan hanya makan lauk-pauk tanpa kuah serta sayur-sayuran yang direbus.
Alhamdulillah berjaya walaupun dengan menjaga pemakanan. Namun, langit tidak selalunya cerah. Beberapa kali juga saya gagal hingga satu tahap saya dah putus asa dengan diet Atkins. Sekali saya ambil nasi, berat badan saya akan naik semula dengan mendadak.

Perkara paling sukar dalam usaha nak turunkan berat badan?
Perkara paling sukar dalam usaha untuk turunkan berat badan adalah mentaliti dan pemahaman salah orang sekeliling. Bagi mereka, untuk diet saya perlu menjaga pemakanan setiap hari.
Kena makan ayam, ikan, sayur rebus serta kukus. Tanpa perasa dan minyak. Saya tak nafikan dan saya terima teguran mereka dengan hati terbuka. Namun, sebelum tegur pastikan mereka benar-benar arif tentang ilmu diet dahulu. Pernah sekali saya terasa hati hingga saya langsung tidak makan pada waktu itu. Sudahnya, saya diserang gastrik.
Boleh kongsi apakah rahsia sebenar anda berjaya turunkan berat badan?
Rahsia sebenar saya berjaya menurunkan berat badan tidaklah gah seperti orang lain. Tetapi, sekadar kata-kata motivasi. Apa yang saya amalkan sehingga sekarang adalah dengan kata-kata, “Makan Ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang”.
Kenapa kena berhenti sebelum kenyang? Sebab, kalau terlalu kenyang saya akan jadi seorang yang sangat malas untuk bergerak dan melakukan aktiviti harian. Saya juga selalu berpegang kepada kata-kata, “Kita adalah apa yang kita makan”. Jadi, kalau kita makan dengan kuantiti yang lebih, maka berat badan kita juga akan turut berlebihan.
Jika rasa nak putus asa, apa yang membangkitkan semula semangat anda?
Jika rasa nak putus asa, saya akan cari semula gambar Ketika saya berbadan besar dan bandingkan dengan gambar ketika saya berjaya turunkan berat badan. Saya juga akan sarung semula baju saya ketika saya berjaya turunkan berat badan. Jika rasa sedikit tidak selesa dengan perubahan tubuh, itu bermakna saya perlu tingkatkan lagi usaha untuk menurunkan berat badan.
Boleh kongsi rutin pemakanan dan senaman sekarang.
Rutin pemakanan saya kini hanyalah sekadar makan berat sekali sehari (lengkap karbohidrat, protein dan sayur-sayuran hijau yang mengandungi fiber). Pada waktu malam pula, saya cuma bancuh minuman ‘meal replacement’ yang rendah kalori, mempunyai zat dan nutrien untuk tubuh serta dapat mengenyangkan.
Dari segi senaman senaman pula, saya hanya lakukannya di rumah disebabkan kekangan masa. Saya akan habiskan masa selama dua jam, selalunya selepas pulang dari kerja. Ia bermula dengan berlari setempat untuk tempoh 10 hingga 20 minit. Kemudian, saya akan melakukan senaman tabata 50×3 set. Akhir sekali, saya akan lakukan aktiviti senaman ‘strength training’ untuk membina otot menggunakan dumbbell dan resistance bands.
Tip buat mereka yang ingin turunkan berat badan dan berjaya seperti anda?
Pemakanan merupakan faktor paling utama. Yang kedua, senaman. Kalau anda rasa tidak mampu untuk terus menjaga pemakanan dengan ketat. Mulakan dengan kawal portion. Jika sebelum ini anda makan dua pinggan nasi, boleh tukar kepada sepinggan sahaja. Kalau sudah Berjaya makan sepinggan nasi, boleh tukar kepada separuh, kemudian suku.
Lauk pula, pastikan kuah jangan ‘banjir’ dan sayur pula lebihkan sayuran hijau yang tinggi fiber. Bab senaman, boleh mulakan dengan brisk walk di taman. Kemudian, boleh pelbagaikan lagi senaman dengan menyertai aktiviti senamrobik/Zumba. Bila dah konsisten, barulah anda boleh tingkatkan level senaman anda. Banyakkan buat carian di internet. InsyaAllah, saya doakan anda semua Berjaya! Keep it up.
Terima kasih kepada Mohamad Fazrin kerana sudi berkongsi pengalaman serta tip yang MASKULIN yakin boleh memberikan banyak manfaat kepada anda pembaca kami. Semoga terus berusaha untuk kita sama-sama mendapatkan kesihatan dan kecergasan fizikal dan mental yang terbaik!
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI