Akibat sikap tidak bertanggungjawab dengan menunggang motosikal melawan arus, seorang penunggang motosikal yang lain telah mengalami kemalangan dan kehilangan nyawa.
Sebuah video telah tular semalam menunjukkan satu kemalangan yang cukup menyayat hati bagaimana seorang penunggang motosikal Ducati telah mengalami kemalangan akibat terjatuh dari jejambat Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE).
Dalam kejadian yang berlaku pada 1.05 tengahari tersebut, mangsa telah mengelak sebuah motosikal lain yang memandu melawan arus. Susulan daripada itu dia dilihat hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh penghadang jejambat dan terjatuh ke bawah.
Mangsa yang mengalami cedera parah dipercayai maut di lokasi kejadian. Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat selepas hasil siasatan awal diperoleh daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Ampang Jaya.
Terdahulu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 12 saat memaparkan motosikal melawan arus tular di media sosial. Fenomena pengguna jalan raya yang seakan tidak ada akal dengan melawan arus ini bukanlah satu perkara baharu.
Rata-rata pengguna laman media sosial mengutuk keras sikap tidak bertanggungjawab penunggang motosikal yang melawan arus dan seterusnya menjadi punca mangsa hilang kawalan motosikalnya.
Sama ada penunggang motosikal atau pemandu kereta ia dapat dilihat berlaku setiap hari. Malah lebih mengharukan kemalangan maut melibatkan kes kemalangan akibat pemanduan melawan arus ini sering kita dengar.
Namun amaran keras pernah dilontarkan oleh Plis DiRaja Malaysia (PDRM) terhadapmana-mana pemandu atau penunggang motosikal yang melakukan kesalahan melawan arus trafik.
Memetik satu perkongsian di FB rasminya, PDRM berkata, mana-mana pemandu dan penunggang yang melakukan kesalahan melawan arus trafik termasuk yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 42(1), Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.
Sekiranya didapati bersalah, pengguna jalan raya boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 serta tidak melebihi RM15,000. Seseorang yang disabitkan di bawah seksyen ini juga hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun dari tarikh sabitan.
Ingatlah ya, corak pemanduan anda mampu mengubah segalanya. Usahlah ambil ringan dan tidak peduli keselamatan orang lain dan diri sendiri semata-mata nak cepat dengan memandu melawan arus.
Jangan jadi ‘pembunuh’!
Salam takziah MASKULIN ucapkan kepada keluarga mangsa. Semoga di masa akan datang hukuman lebih keras dikenakan terhadap pemandu atau penunggang motosikal tidak bertanggungjawab seperti kejadian ini. Sama-sama kita ambil iktibar ya.