Ketum (Mitragyna speciosa) atau dikenali dengan nama kratoum, thom atau biak-biak adalah tumbuhan hijau tropika yang biasa terdapat di Thailand dan semenanjung Malaysia.
Tumbuhan ini dipercayai mempunyai nilai untuk ubatan dan digunakan secara tradisional untuk melegakan batuk, cirit-birit dan kesakitan.
Ketum juga dikunyah, dijadikan rokok atau direbus untuk dijadikan minuman sebagai penambah tenaga sebelum bekerja di bawah bahang mentari.
MENGAPA BILA AMBIL KETUM RASA TENAGA BERTAMBAH DAN TIDAK TERASA PENAT?
Ketum sebenarnya mempunyai molekul kimia yang digelar mitragynine. Alkaloid aktif ini adalah sejenis molekul seperti opioid (indole-based opioid-like) yang bersifat agonis separa pada reseptor opioid. Daun ketum kering mengandungi sebanyak 1-6% mitragynine berbanding beratnya.
Menariknya, walaupun mitragynine adalah agen agonis separa bagi reseptor opiat, kompaun ini bersifat stimulan (pada dos yang rendah) ia dikatakan meningkat kesedaran dan kepekaan. Kompaun ini juga meningkatkan degupan jantung dan tekanan darah. Sebab itu ia diambil untuk ‘pecah peluh’. (kerana degupan jantung tinggi, tekanan darah juga meningkat, badan akan rasa lebih hangat dan berpeluh).
Ia juga menimbulkan persepsi untuk menyingkirkan keinginan terhadap makanan dan tidur. Mytraginine juga menyingkirkan ‘rasa letih’ dan membolehkan kita bekerja tanpa rasa penat.
Pada dos yang tinggi ia akan menyebabkan keadaan depressan seperti opioid morphine, jadi ia boleh digunakan sebagai penahan sakit dan anti diarea. Orang yang mengambil ketum pada dos yang cukup tinggi, akan menyebabkan hilang kesedaran dan keadaan ‘stupor’. Jadi pengambilan ketum sangat bergantung pada dos dan keadaan toleran seseorang.
APA ITU OPIOIDS?
Molekul opioid adalah molekul kimia yang mampu menambat pada reseptor opioid dalam otak dan memberi kesan seperti morphine. Seperti opioid lain, mitragynine menambat pada reseptor opioid µ dan menghasilkan kesan analgesik dan mengurangkan pergerakan usus besar. Sebab itulah ketum digunakan untuk tujuan rawatan tradisional.
Ketum juga menghasilkan 7-hydroxymitraginine dalam jumlah yang kecil berbanding mitragynine. Namun kompaun ini adalah opiat yang lebih poten berbanding mitragynine.
BENARKAH TIADA KAJIAN TERHADAP KEBAIKAN KETUM?
Pelbagai kompaun menarik telah ditemui dan dikaji dari pokok ketum.
Contohnya kompaun-kompaun alkaloid seperti ajmalicine, mitraphylline, mitragynine pseudoindoxyl, dan Rhynchophylline.
Kompaun ajmalicine yang juga ditemui pada tumbuhan Kemboja cina (Catharantus roseus), Akar tikus (Rauvolfia serpentina) telah digunakan sebagai ubat darah tinggi (dipasarkan dengan jenama Circolene, Cristanyl, Duxil, Duxor, Hydroxysarpon, Iskedyl, Isosarpan etc).
PERLUKAH PENAMBAHAN BAHAN-BAHAN LAIN (UBAT NYAMUK, UBAT GEGAT, AIR BERKARBONAT, MINYAK LINTAH ETC) UNTUK MENDAPAT KESAN STIMULAN KETUM?
Tidak.
Kompaun alkaloid dalam ketum sudah cukup untuk menghasilkan kesan tersebut.
Namun ada juga pengguna dan penjual mencampurkan bahan lain seperti paracetamol, ubat batuk, akar seruntun, buah pinang (sebagai contoh) untuk menghasilkan ‘rasa’ dan kesan yang diinginkan.
KESAN-KESAN PENGAMBILAN KETUM
Seperti pengambilan opiate lain, pengambilan ketum juga boleh menyebabkan ketagihan.
Ramai yang menyangka ‘ketagihan’ seperti yang selalu digambarkan oleh drama dan filem – menggigil dan berpeluh-peluh, mengamuk dan hilang akal. Benar, tetapi ketagihan juga merangkumi kebergantungan kita pada bahan tersebut. Contohnya,kalau tak ambil ketum akan terasa letih, mengantuk. Malah keinginan yang kuat terhadap ketum juga adalah salah satu tanda-tanda ketagihan.
KETUM JUGA BOLEH MENGAKIBATKAN KETIDAKSELESAAN, MENGGIGIL, DEPRESI, KESAKITAN OTOT DAN MENURUNKAN KEINGINAN SEKS.
Pengambilan yang berlebihan dengan dos yang tinggi juga akan menyebabkan delusi, keletihan melampau, depresi pernafasan, perubahan sikap, pengambilan sifat-sifat yang agresif, psikosis, halusinasi dan ketakutan.
Penggunaan yang kronik menunjukkan pengurangan fungsi kognitif otak. Menjejaskan fungsi memori dan pembelajaran. Ekstrak dari ketum juga menunjukkan kecenderungan untuk mengakibatkan ketoksikan pada hati, buah pinggang dan paru-paru.
SUMBER : RootOfScience