Hiburan

Linkin Park Kembali Dengan Penyanyi Baru, Namun Ada Ahli Asal Pilih Tak Sertai Siri Jelajah?

Share

Selepas tujuh tahun mendiamkan diri, band rock legenda Linkin Park akhirnya kembali membuat kemunculan semula.

Band ini yang cukup popular dengan gabungan genre rock, rap, dan metal, berdepan saat-saat getir selepas kehilangan penyanyi utama mereka, Chester Bennington, pada tahun 2017.

Line up asal Linkin Park

Kini mereka kembali dengan kehadiran penyanyi baharu dan bersedia melakukan siri jelajah. Namun, di sebalik kegembiraan ini, satu berita yang mengejutkan peminat setia – salah seorang ahli pengasas memilih untuk tidak menyertai jelajah terbaru mereka.

Pada 5 September yang lalu, Linkin Park membuat persembahan pertama mereka selepas berehat panjang.

Mike Shinoda, ahli kumpulan yang juga penyanyi rap dan gitaris, memperkenalkan Emily Armstrong, penyanyi dari kumpulan Dead Sara, sebagai vokalis baru Linkin Park.

Ternyata, langkah ini satu kejutan besar, memandangkan banyak spekulasi tentang siapa yang bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Bennington.

Selain itu, Colin Brittain, seorang pemain drum yang juga dikenali sebagai penerbit muzik berbakat, turut diumumkan sebagai ahli baru yang akan mengiringi Linkin Park dalam jelajah akan datang.

Dalam pada itu, kumpulan ini juga melancarkan single terbaharu mereka bertajuk The Emptiness Machine – lagu pertama mereka sejak 2017. Lagu ini turut menjadi penanda kepada album baharu mereka, From Zero, yang dijangka keluar pada 15 November.

Tapi di sebalik keghairahan reunion ini, tersebar pula kenyataan mengejutkan dari pemain gitar utama Linkin Park, Brad Delson. Dalam satu hantaran Instagram, Delson mengesahkan bahawa beliau tidak akan menyertai jelajah terbaru kumpulan itu. Pengumuman ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat setia.

Brad Nelson (foto: Rich Furry/Getty Images)

“Saya sangat teruja untuk berkongsi bab baru ini dengan dunia. Membawa visi kami kepada realiti adalah hasil daripada pelbagai liku-liku sepanjang perjalanan kami sebagai sebuah band,” ujar Delson.

Namun, dia menjelaskan bahawa meskipun tidak akan tampil di pentas, dia tetap berperanan aktif di belakang tabir.

“Saya mendapati diri saya lebih berkembang apabila bekerja di belakang tabir – di studio, mencipta muzik baru bersama rakan-rakan kumpulan.

“Walaupun saya tidak akan bersama dalam jelajah ini, saya sangat teruja untuk memperkenalkan Alex sebagai pengganti saya di pentas. Dia seorang pemuzik berbakat dan seorang rakan yang hebat,” tambahnya lagi.

Tetapi Delson menegaskan keputusannya tidak ada kaitan dengan kontroversi yang melibatkan penyanyi baru mereka, Emily Armstrong.

Sebelum ini, Armstrong telah terlibat dalam kontroversi apabila dilaporkan memberi sokongan kepada pesalah serangan seksual yang disabitkan, Danny Masterson.

Namun, Armstrong dengan cepat tampil mempertahankan dirinya, mengatakan bahawa sokongannya hanyalah kepada seorang rakan tanpa mengetahui sepenuhnya situasi sebenar.

BACA: Cabaran Larian 10km, Ini Jadual Latihan Dalam Masa Empat Minggu!

Keputusan Delson untuk menarik diri dari jelajah ini telah mengejutkan ramai peminat, terutamanya mereka yang telah mengikuti perjalanan muzik Linkin Park sejak awal.

Malah, ada yang mencadangkan agar kumpulan ini menukar nama mereka kerana merasakan ia sudah tidak sama tanpa kehadiran ahli pengasas.

Namun, satu perkara yang pasti, Linkin Park masih bernafas dan terus relevan walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan kontroversi.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim