Lelaki Yang Sudah Mencapai Usia 40-an Lebih Mudah Marah?

Share

lingkungan usia 40 hingga 60 tahun kerap dikaitkan dengan krisis pertengahan usia. Walaupun mungkin ada memandangnya dari sudut negatif, ia sebenarnya sebahagian proses kematangan normal.

Semua orang akan melalui detik perubahan emosi dalam hidup. Namun, bagaimana anda menangani perubahan itu yang akan mempengaruhi hidup? Ada lelaki berjaya mengharunginya dengan baik.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bagi sesetengah lelaki, krisis pertengahan usia sangat merumitkan hingga membawa kepada tekanan perasaan atau mungkin perceraian.

Jika wanita mengalami putus haid, lelaki pula kerap tersepit dalam permasalahan pada usia pertengahan. Ada penyelidik melihatnya sebagai andropaus, namun sebenarnya lebih pada keupayaan seseorang lelaki itu menangani masalah yang dihadapinya.

Perkara paling asas ialah menjaga pemakanan dan bersenam, selain berada dalam persekitaran positif. Lelaki dengan emosi tidak stabil mula berfikiran negatif.

Dia membandingkan kejayaan dirinya dengan rakan, sekali gus memberi tekanan dan mula berasakan kehidupannya akan berakhir tanpa sebarang pencapaian.

Perubahan hormon

Keadaan ini diburukkan lagi dengan perubahan hormon yang mempengaruhi bukan saja fizikal tetapi keinginan seksual dan dihimpit permasalahan peribadi dengan pasangan. Hormon testosteron bukan saja mempengaruhi keinginan seksual, tetapi apabila parasnya menurun ia juga menjejaskan pemikiran dan tubuh badan.

Krisis pertengahan umur dalam kalangan lelaki juga boleh dilihat pada perubahan fisiologi. Menghampiri usia 40 tahun, hormon testosteron menyebabkan perubahan fizikal yang boleh dilihat. Antaranya jika dulu tegap tetapi sekarang sudah gemuk dan buncit.

Fungsi seksual juga berkurangan, sekali gus mempengaruhi sosiologi. Perubahan biologi dilalui oleh semua lelaki dan wanita tetapi perubahan itu tidak sama.

Hal ini berkait dengan isu paling asas, menjaga pemakanan dan mengawal berat badan dan berada dalam suasana persekitaran yang kondusif. Ada kala tekanan perasaan pada pekerjaan ditambah dengan masalah kesihatan akan menyebabkan lelaki hilang kawalan dalam hidupnya.

Ada juga lelaki yang berkeinginan memulakan hubungan baru kerana melihat kehidupan sosialnya semakin stabil dan anak-anak juga sudah meningkat dewasa.

Lelaki yang berdepan dengan krisis pertengahan umur kerap tidak menyedari masalah sebenar. Isteri atau ahli keluarga rapat boleh membantunya. Perubahan sikap dan mood boleh memberi petunjuk masalah sebenar dialami.

Jika dikaitkan dengan masalah andropaus, perlu dirujuk kepada doktor. Mengambil terapi gantian hormon antara rawatan yang ditawarkan perubatan moden. Namun, keupayaan mengawal diri, bersenam dan menjaga kesihatan adalah antara langkah paling asas dan utama.

Simptom krisis pertengahan usia
·Berasa tidak bahagia dengan hidup atau gaya hidup.

·Bosan dengan mereka yang berada di sekelilingnya dan bidang yang dulu menarik minatnya.

·Mempersoalkan pilihan yang tidak dibuat dalam hidup dan mengapa mereka tidak memilih sebaliknya.

·Marah pada pasangan dan rasa terikat dengannya.

·Tidak berupaya membuat keputusan hala tuju hidup mereka.

·Keinginan menjalin perhubungan baru (Ramai lelaki usia ini menyalah tafsirkan keinginan ini dengan mula mencari alasan berkahwin dengan anak dara. Lebih parah jika memilih anak dara seusia anak sulungnya atau perbezaan umur melebihi 10 tahun atau 15 tahun ke atas).

 

sumber: lelakisihat.com

Published by
webadmin