Lelaki Maut Leher Dihempap Barbel Lebih 100 kg Rupanya Bersenam Seorang Diri

Share

Seorang lelaki berusia 27 tahun maut akibat lehernya dihempap barbel dengan pemberat lebih 100kg ketika sedang melakukan senaman bench press.

Memetik laporan The Straits Times, kejadian berlaku di sebuah gim di daerah Henan, China dan mangsa dikenal pasti sebagai Xiao Hou.

Dalam sebuah klip video berdurasi 29 saat yang tular di media sosial baru-baru ini, kelihatan Xiao sedang melakukan senaman tersebut tanpa diawasi sesiapa (spotter

).

Xiao yang sedang dalam posisi baring di bangku itu baru sahaja menurunkan barbel ke dadanya untuk kiraan pertama namun gagal untuk menolaknya semula.

Barbel itu langsung berguling dari dada dan menghimpit lehernya, dan dia kemudian dilihat bergelut untuk melepaskan diri selama kira-kira 25 saat.

Dia juga dilihat cuba menanggalkan tali pinggang angkat berat yang dipakainya namun mula mengalami kekejangan yang kuat dan menjadi lemas.

MANGSA BERSENAM SEORANG DIRI

Laporan terkini memberitahu yang kejadian berkenaan berlaku pada 3 Julai lalu, demikian dimaklumkan pemilik gim terbabit yang dikenali sebagai Encik Zhao.

Menurut Zhao, Xiao merupakan bekas jurulatih kecergasan di gim terbabit selama empat tahun.

Meskipun sudah bekerja di tempat lain, Xiao sering singgah ke gim tersebut pada waktu makan tengahari untuk bersenam memandangkan dia masih menyimpan satu salinan kunci pendua untuk memasukinya sebelum waktu gim beroperasi.

Tambahnya, Xiao sedang bersenam berseorangan tanpa kehadiran sesiapa di gim tersebut pada hari kejadian dan langsung digegaskan ke hospital.

Bagaimanapun, Xiao gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.

Zhao yang juga bersahabat dengannya menyifatkan yang Xiao memang seorang yang obses bersenam sehinggakan tidak pernah terfikir untuk mencari kekasih.

Published by
Ruszaini Ruslan