Awk chat? (Awak sihat?)
Pekabar sumer? (Apa khabar semua?)
Aq nk g spital. Lmbt ckit msk ofs. (Aku nak pergi hospital. Lambat sikit masuk pejabat.)
Demikianlah sebahagian bahasa basahan yang sering digunakan ketika berkomunikasi melalui pesanan ringkas atau laman sosial. Selain orang dewasa, langgam bahasa ini juga jadi kegemaran anak muda dan remaja. Alasan paling mudah yang mewajarkan mereka menggunakan bahasa sebegini, kerana “mahu cepat” dan “ruang terbatas di layar telefon”.
Apa pun, alasan “mahu cepat” dan “ruang terbatas” sangat tidak tepat. Sebenarnya, golongan yang menggunakan alasan ini sudah terbiasa (buat salah) dan sangat selesa dengan kesalahan itu sehingga tidak rasa bersalah apa-apa lagi apabila mengulangi kesalahan berulang kali.
Satu lagi aspek kesantunan yang semakin terabai hari ini adalah komunikasi bersemuka apabila ada kalangan kita tidak lagi pandai menggunakan bahasa yang sesuai dan sopan dengan individu yang jadi lawan bercakap. Kata “tolong” (apabila kita memohon bantuan orang lain) tidak lagi jadi kebiasaan di mulut. Begitu juga perkataan “terima kasih” (sebagai menghargai bantuan orang lain) tidak lagi jadi amalan.
Adab sopan merangkumi banyak perkara, daripada pakaian yang membalut tubuh sehinggalah bahasa pertuturan. Sopan santun kita sebagai manusia banyak juga ditentukan oleh bahasa yang kita gunakan. Ini termasuklah bagaimana kita menggunakan bahasa dan bagaimana kita berbahasa apabila berkomunikasi dengan orang sekeliling, sama ada komunikasi secara bersemuka atau berperantaraan.
Sekarang ini, kita tidak sahaja berdepan masalah dalam komunikasi bersemuka tetapi juga komunikasi berperantaraan juga sering kali tidak menyenangkan. Anak-anak remaja kadangkala sesuka hati memanggil kawan-kawannya “beruk”, “babi” atau gelaran yang lebih jelek. Dalam laman sosial, kita memaki bagi melampiaskan rasa tidak puas hati. Kita rasa sakit hati kita terubat apabila memaki hamun orang lain. Kadangkala kita menggunakan bahasa dan ejaan yang salah, walaupun dengan orang yang tidak sepatutnya kerana sudah terbiasa dengan cara salah begitu.
Untuk mengubah manusia supaya menjadi lebih berbahasa dan bersopan, bukan kerja sehari dua. Selain kesedaran individu untuk berubah, adab kesopanan harus dijadikan cara hidup dan amalan seharian. Berikut beberapa perkara berkaitan etiket dan kesantunan yang perlu kita ketahui.
Bermula di rumah sendiri, biasakan dengan kalimah seperti “minta tolong” dan “terima kasih” dengan anggota keluarga terutamanya dengan pasangan, adik, anak atau anak saudara. Apabila mahu anak-anak kecil membantu, kita patut biasakan mulut dengan perkataan “tolong” dan akhiri dengan “terima kasih”.
Apabila menegur kesalahan yang dilakukan oleh orang lain, semolek-moleknya elakkan daripada marah. Memang kadangkala kita gagal menahan marah, terutamanya jika melihat kesalahan yang dilakukan berulang-ulang. Namun jika mengikut emosi dengan melampiaskan marah, biasanya akan menyebabkan bahaya yang lain pula. Apabila marah, macam-macam kata yang jelek seperti “bodoh” dan “bangang” boleh keluar, yang mungkin akan mencederakan perasaan orang lain.
Oleh itu, apabila hati rasa marah, kita patut bertenang dahulu. Apabila marah sudah reda, pilihlah masa yang sesuai untuk menegur. Teguran dengan nada yang lemah-lembut, tenang dan terkawal, biasanya akan lebih menusuk ke hati orang yang mendengar.
Santun dan beradab dalam berbahasa harus dipraktikkan. Biasakan menulis dengan bahasa yang betul dan ejaan yang betul hatta dalam pesanan ringkas atau mengemas kini status di laman sosial. Tidak perlu malu apabila menulis dengan bahasa dan ejaan yang betul kerana itu tandanya kita menghormati dan menghargai bahasa sendiri. Patutnya kita rasa malu kalau tidak berbahasa dengan betul kerana itu menunjukkan kita orang yang tidak ambil peduli dan cuai dalam hal yang sangat asas begitu.
Kadangkala orang dewasa sendiri tidak berbahasa dengan betul dan mengabaikan penggunaan ejaan yang betul. Malah ada segelintir guru yang Whatsapp menggunakan ejaan yang kucar-kacir. Jika orang dewasa dan golongan pendidik sendiri tidak pernah membetulkan apa yang salah, terlalu terbiasa dengan segala yang salah, maka adakah kita berharap golongan yang lebih muda dapat membetulkan kesalahan mereka?
Bagi anak-anak muda yang sering mengeja dan berbahasa sesuka hati ini sebenarnya tidak sukar untuk membetulkan mereka. Syaratnya, kita yang berkesedaran perlu terlebih dahulu berbahasa dengan betul apabila berkomunikasi dengan mereka, maka secara perlahan-lahan mereka akan mengikut cara kita. Yang lebih penting juga, pastikan mereka mengikut cara kita, bukan kita terpengaruh dengan cara mereka!
4.Etika & adab komunikasi berperantaraan
Komunikasi berperantaraan (menggunakan mesej, e-mel atau media sosial) memerlukan etika dan adab tersendiri. Apatah lagi jika kita berkomunikasi dengan orang yang lebih tinggi pangkatnya, lebih tua usianya, lebih berpangkat atau kita memerlukan sesuatu pertolongan daripada orang yang kita hubungi. Oleh itu, cara kita berbahasa haruslah santun dan sesuai.
Selalunya dalam komunikasi berperantaraan sering berlaku salah faham kerana bahasa yang digunakan sering tersilap. Bahasa adalah satu-satunya medium perantaraan dalam komunikasi melalui SMS, e-mel atau media sosial. Pemilihan kata yang tidak tepat boleh mendatangkan salah faham. Penggunaan ayat yang kucar-kacir boleh memberikan salah maklumat kepada penerima. Ejaan yang salah memberikan tanggapan bahawa kita orang yang tidak serius ketika melakukan kerja dan boleh menjadi suatu bentuk penghinaan kepada orang yang kita hubungi.
Cubalah kita hayati al-Quran, mukjizat yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad. Bahasa yang terkandung dalam al-Quran adalah bahasa Arab tinggi yang indah, penuh seni dan sangat memberi kesan kepada orang yang membaca dan faham apa yang dibaca. Malah indah dan seninya bahasa yang digunakan dalam al-Quran pernah cuba dibuat oleh orang Arab jahiliah untuk membuktikan bahawa mereka juga mampu menulis sebaik itu, tetapi yang pasti mereka gagal.
Pendek kata, banyak yang dapat diketahui oleh orang lain melalui gaya bahasa yang kita gunakan. Daripada gaya kita menulis, orang dapat menilai keperibadian kita, gaya hidup kita dan sikap kita terhadap kerja kita. Oleh itu, mulai sekarang eloklah kita belajar membetulkan yang salah dan membiasakan yang betul.