Aq nk g spital. Lmbt ckit msk ofs. (Aku nak pergi hospital. Lambat sikit masuk pejabat.)
Demikianlah sebahagian bahasa basahan yang sering digunakan ketika berkomunikasi melalui pesanan ringkas atau laman sosial. Selain orang dewasa, langgam bahasa ini juga jadi kegemaran anak muda dan remaja. Alasan paling mudah yang mewajarkan mereka menggunakan bahasa sebegini, kerana “mahu cepat” dan “ruang terbatas di layar telefon”.
Apa pun, alasan “mahu cepat” dan “ruang terbatas” sangat tidak tepat. Sebenarnya, golongan yang menggunakan alasan ini sudah terbiasa (buat salah) dan sangat selesa dengan kesalahan itu sehingga tidak rasa bersalah apa-apa lagi apabila mengulangi kesalahan berulang kali.
Satu lagi aspek kesantunan yang semakin terabai hari ini adalah komunikasi bersemuka apabila ada kalangan kita tidak lagi pandai menggunakan bahasa yang sesuai dan sopan dengan individu yang jadi lawan bercakap. Kata “tolong” (apabila kita memohon bantuan orang lain) tidak lagi jadi kebiasaan di mulut. Begitu juga perkataan “terima kasih” (sebagai menghargai bantuan orang lain) tidak lagi jadi amalan.
Adab sopan merangkumi banyak perkara, daripada pakaian yang membalut tubuh sehinggalah bahasa pertuturan. Sopan santun kita sebagai manusia banyak juga ditentukan oleh bahasa yang kita gunakan. Ini termasuklah bagaimana kita menggunakan bahasa dan bagaimana kita berbahasa apabila berkomunikasi dengan orang sekeliling, sama ada komunikasi secara bersemuka atau berperantaraan.
Sekarang ini, kita tidak sahaja berdepan masalah dalam komunikasi bersemuka tetapi juga komunikasi berperantaraan juga sering kali tidak menyenangkan. Anak-anak remaja kadangkala sesuka hati memanggil kawan-kawannya “beruk”, “babi” atau gelaran yang lebih jelek. Dalam laman sosial, kita memaki bagi melampiaskan rasa tidak puas hati. Kita rasa sakit hati kita terubat apabila memaki hamun orang lain. Kadangkala kita menggunakan bahasa dan ejaan yang salah, walaupun dengan orang yang tidak sepatutnya kerana sudah terbiasa dengan cara salah begitu.
Untuk mengubah manusia supaya menjadi lebih berbahasa dan bersopan, bukan kerja sehari dua. Selain kesedaran individu untuk berubah, adab kesopanan harus dijadikan cara hidup dan amalan seharian. Berikut beberapa perkara berkaitan etiket dan kesantunan yang perlu kita ketahui.
Ads
Tolong & terima kasih
Bermula di rumah sendiri, biasakan dengan kalimah seperti “minta tolong” dan “terima kasih” dengan anggota keluarga terutamanya dengan pasangan, adik, anak atau anak saudara. Apabila mahu anak-anak kecil membantu, kita patut biasakan mulut dengan perkataan “tolong” dan akhiri dengan “terima kasih”.
Elak marah, gunakan perkataan yang baik
Apabila menegur kesalahan yang dilakukan oleh orang lain, semolek-moleknya elakkan daripada marah. Memang kadangkala kita gagal menahan marah, terutamanya jika melihat kesalahan yang dilakukan berulang-ulang. Namun jika mengikut emosi dengan melampiaskan marah, biasanya akan menyebabkan bahaya yang lain pula. Apabila marah, macam-macam kata yang jelek seperti “bodoh” dan “bangang” boleh keluar, yang mungkin akan mencederakan perasaan orang lain.
Ads
Oleh itu, apabila hati rasa marah, kita patut bertenang dahulu. Apabila marah sudah reda, pilihlah masa yang sesuai untuk menegur. Teguran dengan nada yang lemah-lembut, tenang dan terkawal, biasanya akan lebih menusuk ke hati orang yang mendengar.
Jadikan amalan
Santun dan beradab dalam berbahasa harus dipraktikkan. Biasakan menulis dengan bahasa yang betul dan ejaan yang betul hatta dalam pesanan ringkas atau mengemas kini status di laman sosial. Tidak perlu malu apabila menulis dengan bahasa dan ejaan yang betul kerana itu tandanya kita menghormati dan menghargai bahasa sendiri. Patutnya kita rasa malu kalau tidak berbahasa dengan betul kerana itu menunjukkan kita orang yang tidak ambil peduli dan cuai dalam hal yang sangat asas begitu.
Kadangkala orang dewasa sendiri tidak berbahasa dengan betul dan mengabaikan penggunaan ejaan yang betul. Malah ada segelintir guru yang Whatsapp menggunakan ejaan yang kucar-kacir. Jika orang dewasa dan golongan pendidik sendiri tidak pernah membetulkan apa yang salah, terlalu terbiasa dengan segala yang salah, maka adakah kita berharap golongan yang lebih muda dapat membetulkan kesalahan mereka?
Bagi anak-anak muda yang sering mengeja dan berbahasa sesuka hati ini sebenarnya tidak sukar untuk membetulkan mereka. Syaratnya, kita yang berkesedaran perlu terlebih dahulu berbahasa dengan betul apabila berkomunikasi dengan mereka, maka secara perlahan-lahan mereka akan mengikut cara kita. Yang lebih penting juga, pastikan mereka mengikut cara kita, bukan kita terpengaruh dengan cara mereka!
Ads
4.Etika & adab komunikasi berperantaraan
Komunikasi berperantaraan (menggunakan mesej, e-mel atau media sosial) memerlukan etika dan adab tersendiri. Apatah lagi jika kita berkomunikasi dengan orang yang lebih tinggi pangkatnya, lebih tua usianya, lebih berpangkat atau kita memerlukan sesuatu pertolongan daripada orang yang kita hubungi. Oleh itu, cara kita berbahasa haruslah santun dan sesuai.
Selalunya dalam komunikasi berperantaraan sering berlaku salah faham kerana bahasa yang digunakan sering tersilap. Bahasa adalah satu-satunya medium perantaraan dalam komunikasi melalui SMS, e-mel atau media sosial. Pemilihan kata yang tidak tepat boleh mendatangkan salah faham. Penggunaan ayat yang kucar-kacir boleh memberikan salah maklumat kepada penerima. Ejaan yang salah memberikan tanggapan bahawa kita orang yang tidak serius ketika melakukan kerja dan boleh menjadi suatu bentuk penghinaan kepada orang yang kita hubungi.
Cubalah kita hayati al-Quran, mukjizat yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad. Bahasa yang terkandung dalam al-Quran adalah bahasa Arab tinggi yang indah, penuh seni dan sangat memberi kesan kepada orang yang membaca dan faham apa yang dibaca. Malah indah dan seninya bahasa yang digunakan dalam al-Quran pernah cuba dibuat oleh orang Arab jahiliah untuk membuktikan bahawa mereka juga mampu menulis sebaik itu, tetapi yang pasti mereka gagal.
Pendek kata, banyak yang dapat diketahui oleh orang lain melalui gaya bahasa yang kita gunakan. Daripada gaya kita menulis, orang dapat menilai keperibadian kita, gaya hidup kita dan sikap kita terhadap kerja kita. Oleh itu, mulai sekarang eloklah kita belajar membetulkan yang salah dan membiasakan yang betul.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Memang banyak je wangian kereta yang di jual di pasaraya. Tapi sesetengah dari kita mungkin tidak suka bau-bauan yang agak memeningkan daripada bahan kimia, lebih-lebih lagi apabila ada anak kecil atau bayi.
Berikut kami kongsikan beberapa cara hilangkan bau kereta dengan menggunakan bahan pewangi daripada sumber semulajadi.
5 CARA HILANGKAN BAU KERETA MENGGUNAKAN BAHAN SEMULAJADI
Selain menggunakan ‘air-freshener’ atau bahan pewangi yang dijual di pasaran, anda boleh menggunakan beberapa cara hilangkan bau kereta secara semulajadi. Selain menjimatkan, anda tidak perlu risau kesan bahan kimia. Berkesan!
1. ARANG
Sebelum anda mewangikan kereta, perkara pertama yang mungkin anda perlu pertimbangkan adalah meneutralkan bau busuk, hapak, atau kepam yang dah sedia ada dalam kereta. Contohnya, kalau ada bau durian, bau bangkai, atau bau muntah – tentu kita perlu hilangkan bau ini terlebih dahulu, bukan? Kalau tiba-tiba disembur pewangi, boleh jadi lebih pening dengan kombinasinya.
Oleh itu, anda boleh mengambil beberapa ketul arang untuk menyahkan bau kurang enak tersebut. Cara pertama, letakkan arang dalam bekas ‘tupperware’ dan biarkan terbuka di lantai kereta. Cara kedua, bungkuskan arang dengan tisu atau beg kain dan letak berhampiran kawasan yang berbau. Memang ada dijual yang siap macam dalam gambar di bawah ini. Tapi, kalau buat sendiri bukannya susah. Jimat dan berbaloi!
2. SODA PENAIK
Kalau tak ada arang, soda penaik atau ‘baking soda’ adalah satu lagi cara hilangkan bau kereta yang berkesan.
Anda boleh meletakkan satu bekas ‘tupperware’ yang berisi soda penaik ke dalam kereta seperti arang di atas. Satu lagi cara, kalau anda berhasrat nak cuci dan vakum kereta, taburkan dulu soda penaik ini ke atas lantai kereta atau bahagian yang berbau kuat. Biarkan 2-3 jam untuk ia menyerap bau. Kemudian, boleh vakum. Selalu juga orang gunakan teknik ini untuk menghilangkan bau hancing pada tilam kerana ia efektif untuk menyerap bau.
3. SERBUK KOPI / TEH
Sebagai alternatif, anda boleh cuba cara hilangkan bau kereta dengan menggunakan serbuk kopi atau teh. Kedua-dua bahan ini berkesan menyerap aroma yang kurang sedap dalam kereta. Boleh rujuk cara di bawah ini. Senang saja. Nak guna uncang teh / kopi terus pun boleh.
Mungkin lebih ramai suka gunakan kopi kerana baunya pun harum, segar biji mata! Tapi seeloknya, kalau guna serbuk kopi, pilihlah jenis serbuk kopi yang selalu dibuat kopi ‘o’, bukan jenis ‘instant’ seperti Nescafe apa-apa yang 3-in-one ya. Serbuk kopi ‘instant’ senang larut kalau terkena air. Nanti habis berwarna perang dan rosak pula kain uncang yang digunakan ini.
4. DAUN PANDAN
Bila bau busuk dalam kereta dah hilang, bolehlah tambah keharuman menggunakan daun pandan. Seperti yang kita tahu, daun pandan mempunyai aroma yang wangi dan menyegarkan, sebab itulah ia digunakan sebagai bahan asas dalam bunga rampai. Siapa yang ada daun pandan di belakang rumah, keratkan 2-3 helai dan ikatkan. Kemudian letakkan di bawah tempat duduk atau di mana-mana ruang dalam kereta.
Kalau nak lebih berkesan, hiriskan daun pandan kecil-kecil dan letakkan dalam beg kain yang berlubang-lubang. (Macam ‘goodie bag’ yang selalu dapat dari rumah kenduri kahwin). Kemudian, gantungkan dalam kereta. Memang harum semerbak! Tapi, jangan lupa menggantikannya dalam tempoh 2-3 minggu. Bila dah kering dan layu, baunya pun akan hilang sekali.
5. LEMON / LIMAU KASTURI
Kalau ada sebarang tumpahan, basuhkan seperti biasa. Kemudian, perahkan lemon atau limau kasturi pada bahagian yang tak hilang baunya. Biarkan seketika sebelum membilas seperti biasa. Jus lemon atau limau kasturi juga boleh dibuat ‘spray’ kereta semulajadi. Perahkan pati lemon tadi dengan sedikit air dan campurkan sedikit cuka kerana ia boleh melawan kulat dan bau hapak. Kemudian, ‘spray’ pada bahagian dalaman kereta.
Sumber: siraplimau.com
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Panas baran, ‘kepala angin’ atau ‘naik hantu’ yang disebabkan kesukaran menangani perasaan marah menyebabkan seseorang itu hilang malu, sanggup bertindak di luar batasan dan tidak mustahil boleh mencederakan orang lain.
Perasaan marah yang tidak terkawal boleh memusnahkan apa saja. Perkara sekecil kuman pun boleh jadi besar! Kemarahan yang tidak terkawal boleh membawa kesan kepada kesihatan dan hubungan anda. Maka, anda perlu atasinya agar tidak merebak lebih teruk sikap panas baran dalam diri.
1. Ambil masa bersendirian
Bila anda rasa ingin meletup, cuba ambil masa bersendirian, jauh daripada orang sekeliling selama 10 hingga 15 minit, cuba tenangkan diri. Tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan.
2. Bila rasa tenang luahkan
Sebetulnya penting untuk anda tenang, tidak kisahlah dalam apa jua situasi sekalipun perlu anda rasa tenang. Hal ini kerana, jika anda tidak tenang nescaya anda rasa panas dan tidak tenteram, anda jadi kusut dan tidak tentu hala. Bila sudah tenang, luahkan apa yang terpendam dalam hati.
3. Senaman ringkas
Jika anda rasa panas naik perlahan-lahan, cuba pergi berjalan atau berlari, atau luangkan masa lakukan aktiviti fizikal kegemaran anda, jika perlu ke gim. Aktiviti fizikal merangsang pelbagai bahan kimia otak yang boleh menyebabkan anda berasa lebih bahagia dan lebih tenang.
4. Fikir sebelum cakap
Kita selalu dengar perumpamaan ‘fikir sebelum cakap’, hal ini penting kerana takut nanti anda menyesal tak sudah pula, kalau boleh fikirkan dulu apa yang anda ingin katakan, jangan main serkap jarang.
5. Cuba selesaikan masalah seboleh mungkin
Sebagai contoh jika bilik abang anda terlalu kotor, cuba tidak memasuki atau datang ke bilik tersebut, jika pinggan mangkuk langsung tidak dibasuh, ringankan tulang membasuhnya. Kiranya lebih baik anda selesaikan terus masalah anda daripada mengamuk. Sentiasa ingatkan diri bahawa mengamuk hanya mengeruhkan suasana sahaja. Tetapi kalau dah kerap sangat mereka melakukan kesilapan yang sama, lebih baik bersemuka tapi kena ada caranya, jangan serkap jarang okay.
6. Sentiasa gunakan ‘I Statement’ bila selesaikan masalah
Sebelum menuding jari kepada orang lain yang hanya keruhkan suasana – baik gunakan ‘I statement’ dalam ayat anda. Sebagai contoh, ‘Awak langsung tak buat kerja rumah’ tukar kepada ‘Saya kecewa awak tinggalkan meja begitu sahaja tanpa tawarkan bantuan pada orang lain’. Cuba gunakan ‘I Statement’ sebaik mungkin.
7. Jangan berdendam
Walau susah sekalipun cuba untuk maafkan individu tersebut. Jangan berdendam kerana ianya hanya akan menyakitkan hati anda sahaja. Jika anda maafkan individu tersebut, ia mengkin suatu pengajaran di masa hadapan jika berdepan dengan masalah sebegini lagi. Anda boleh sentiasa beringat!
8. Latih diri lakukan kemahiran tenangkan diri
Sebagai contoh, bila rasa panas sahaja cuba katakan ‘take it easy’, ‘mengucap Ashtagfirullah’, tarik nafas dalam, urut dada atau anda boleh cuba dengar muzik yang tenang dan nyaman. Orang kata senaman seperti yoga baik untuk ketenangan diri, jadi cuba amalkan.
9. Minta bantuan
Jika tidak boleh juga, hadirkan diri ke kaunseling ataupun terapi bagi baiki masalah panas baran anda. Yang paling penting, sentiasa berdoa pada-Nya.
10. Perlu ada sifat sense of humor
Anda perlu ada sifat sense of humor agar hidup tidak stress. Gunakan humor untuk membantu anda menghadapi apa yang membuatkan anda marah. Cuba elakkan sindiran, ia hanya akan menyakitkan perasaan dan membuat keadaan lebih teruk.
Kawal amarah okay!
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Seorang lelaki yang siapkan makanan untuk ditunjukkan pada seorang wanita menandakan bahawa dia tahu bagaimana untuk menunjukkan kemampuannya. Dia juga menunjukkan pada pasangannya bahawa dia mampu untuk memberikan perhatian yang lebih.
TAHUKAH KAWAN-KAWAN BAHAWA LELAKI YANG PANDAI MEMASAK TERNYATA LEBIH SEKSI BERBANDING MEREKA YANG TIDAK RETI MEMASAK?
Tak perlu masak benda yang berat dan try hard sangat masak, cuba resepi yang simple-simple pun okay je macam nasi goreng. Rakyat Malaysia dan nasi memang tidak boleh dipisahkan!
Nah senaraikan 5 resipi nasi goreng ‘rare’ tapi sedap yang korang boleh try masak nanti!
1. Nasi Goreng Western
Bahan-bahan :
500 gram nasi putih
3 batang sosej ayam/dihiris nipis
2 biji telur
3 ulas bawang putih
80 gram sayur campuran
3 sudu makan mentega
Garam secukup rasa
Cara memasak :
1. Cairkan mentega dan tumiskan bawang putih sehingga kekuningan.
2. Pecahkan telur dan biarkan masak seketika.
3. Masukkan sosej yang dihiris nipis dan biarkan masak.
4. Masukkan nasi bersama sayur campur dan bahan perasa. Gaul rata dan biarkan masak sehingga nasi garing.
5. Angkat dan hidangkan.
2. Nasi Goreng Telur Masin
Bahan-bahan :
500 gram nasi putih
80 gram isi ayam
1 biji telur masin
100 gram kangkung
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
Minyak masak secukupnya
Garam secukup rasa
Cara memasak :
1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih dan bawang merah sehingga kekuningan.
2. Kemudian masukkan isi ayam dan pecahkan telur masin. Biarkan telur masak seketika.
3. Masukkan nasi putih bersama kangkung dan perasa secukupnya.
4. Gaul rata dan angkat.
3. Nasi Goreng Bunga Kantan
Bahan-bahan :
500 gram nasi putih
80 gram isi ayam
2 batang bunga kantan dihiris nipis
100 gram kangkung
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
Minyak masak secukupnya
Garam secukup rasa
Cara memasak :
1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih dan bawang merah sehingga kekuningan.
2. Kemudian masukkan telur dan biarkan masak seketika.
3. Masukkan nasi putih bersama bunga kantan dan kangkung.
4. Masukkan perasa secukupnya, gaul rata dan angkat.
4. Nasi Goreng Yong Chow
Bahan-bahan :
500 gram nasi putih
80 gram sayur campuran
100 gram isi ayam
80 gram kek ikan (fish ball)
60 gram bebola ikan
2 biji telur
1 sudu teh minyak bijan
5 sudu makan minyak masak
Garam secukup rasa
Cara memasak :
1. Panaskan minyak dan masukkan isi ayam, kek ikan serta bebola ikan. Biarkan masak seketika.
2. Kemudian pecahkan telur dan kacau sehingga kering.
3. Masukkan nasi putih bersama sayur campur dan kacau sehingga sebati.
4. Tambahkan perasa dan akhir sekali masukkan minyak bijan.
5. Angkat dan hidangkan.
5. Nasi Goreng Sambal Belacan
Bahan-bahan :
500 gram nasi putih
150 isi ayam
80 gram sambal belacan
80 gram kubis bulat
5 batang kacang botol
2 biji telur
3 ulas bawang putih
5 sudu makan minyak masak
Garam secukup rasa
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan pecahkan telur. Kacau rata.
2. Masukkan sambal belacan bersama isi ayam dan kacau sehingga masak.
3. Apabila ayam sudah sebati dan masak, masukkan nasi putih beserta sayuran.
4. Perasakan dengan garam secukup rasa dan biarkan nasi sedikit garing.
5. Angkat dan sedia dinikmati.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Jangan silang kaki bila duduk, pantang larang penting orang tekanan darah rendah. Bagi mereka yang mengalami tekanan darah rendah atau hipotensi, menjaga gaya hidup dan tabiat harian sangat penting untuk mengelakkan simptom seperti pening, mudah penat, atau lebih teruk lagi, pengsan secara tiba-tiba.