Berkhatan membabitkan pemotongan penghujung kulit kulup zakar atau kulit yang me­nutup penghujung zakar. Prosedur ini biasa dilakukan kepada kanak-kanak lelaki sebelum baligh, seolah-olah menggambarkan persediaan atau keraian sebelum baligh.

Lelaki Kulup Berisiko Hidap Barah Prostat

Sebenarnya, prosedur ini diamalkan bagi menjaga kebersihan anggota kemaluan lelaki. Ini kerana penyakit barah zakar jarang kelihatan kepada lelaki berkhatan dan masalah salur reproduktif pasangan perempuan seperti jangkitan dan kanser pangkal rahim jarang berlaku apabila pasangan lelaki berkhatan.

 Berdasarkan sejarah, amalan berkhatan kuno dianggap amalan ritual atau bercorak keagamaan. Ia bermula di Mesir dan sebahagian besar negara di benua Afrika dan juga diamalkan oleh bangsa Mayan, Aztec, Inca dan Polynesia.Ia turut dilakukan kepada wanita yang mana sebahagian besar membabitkan penduduk Afrika serta Mesir.

Berkhatan untuk perempuan membabitkan pemotongan ‘klitoris’ atau bibir kecil dan keseluruhan bibir besar. Berbalik kepada berkhatan untuk lelaki, cara pemotongan kulit penghujung zakar mengikut kemudahan yang ada atau yang biasa dilakukan oleh Tok Mudim atau orang yang ditauliahkan untuk membuat prosedur itu. Kebiasaannya penghujung kulup zakar dipotong dan kulit yang terdedah dicelup dengan minyak untuk menghentikan pendarahan. Luka kulit akan reda dalam tempoh seminggu atau dua.

IKLAN

Sebelum kulit kulup dipotong, kepala zakar akan dilucut keluar daripada penghujung kulup dan jika sukar akan dibantu dengan merendam dalam minyak. Kini, ada pelbagai cara moden untuk prosedur berkhatan. Ia boleh dilakukan ketika kanak-kanak lelaki itu masih bayi. Cara pemotongan moden ini membabitkan pengunaan alat penyepit atau klam, di mana kulit penghujung zakar diklam serta dipotong. Klam itu ditanggalkan selepas seminggu atau akan tertanggal secara sendiri.

Berkhatan perlu dilakukan mengikut keadaan zakar kerana kulit kulup perlu dipotong secara seimbang supaya tidak menimbulkan masalah di kemudian hari. Jarang wujud keadaan yang mana kecederaan berlaku akibat prosedur berkhatan secara moden. Berkhatan secara tradisional sudah ketinggalan zaman dan tidak harus dikekalkan kerana banyak masalah berlaku akibat prosedur itu seperti kecacatan kulit, parut tebal, infeksi dan kecacatan kepada zakar.

IKLAN

Berkhatan juga mampu mengurangkan risiko penyakit kanser terutama kanser zakar, prostat, serta kanser serviks (pangkal rahim) dan payudara kepada wanita. Telah dibuktikan bahawa kuman yang dinamakan Human Papilloma Virus (HPV) adalah antara faktor pencetus kanser serviks di kalangan wanita. Kuman ini didapati berlindung di bawah kulit hujung zakar dan dipindahkan kepada wanita semasa persetubuhan. Terdapat kajian menunjukkan jika semua lelaki berkhatan, maka sebanyak 20 peratus kadar kejadian kanser serviks boleh dielakkan. Virus sama juga boleh mencetuskan kanser payudara.

Kajian pemerhatian turut menunjukkan risiko kanser zakar rendah di kalangan mereka yang berkhatan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berkhatan pada umur kurang dari satu tahun. Hasil dari kajian ini, ramai orang bukan Islam juga mengamalkan khatan. Kajian di beberapa negara Eropah menunjukkan lelaki yang berkhatan mempunyai kadar risiko kanser prostat dua kali lebih rendah. Kejadian kanser ini ada hubung kait dengan penyakit kelamin di mana lelaki berkhatan mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat penyakit tersebut.

IKLAN

Minda kanak-kanak lelaki perlu dipersiapkan terlebih dahulu sebelum prosedur dapat dilakukan dengan mudah dan selamat. Berilah asuhan agama yang mendalam kepada mereka. Terangkan kenapa berkhatan digalakkan dalam agama Islam. Beritahu mereka kelebihan berkhatan. Membawa kanak-kanak lelaki ke majlis kenduri berkhatan adalah cara yang baik. Ia memberi idea kepada kanak-kanak tersebut betapa pentingnya berkhatan. Kadang kala, kita perlu menjanjikan benda kesukaan mereka seperti alat permainan komputer atau basikal jika mereka bersetuju berkhatan. Ianya bukanlah rasuah tetapi sekadar pemudah cara.

Andai anak lelaki anda bersetuju untuk berkhatan, maka bawalah mereka berjumpa doktor atau mereka yang bertauliah. Anak anda perlu diperiksa oleh doktor bagi mengetahui tahap kesihatan dan juga bagi menghindarkan komplikasi prosedur tersebut. Doktor perlu mengetahui dan memastikan zakar anak anda normal, anak anda tiada penyakit hemofilia (penyakit gangguan pembekuan darah), tidak mengambil ubat yang boleh mengakibatkan pendarahan seperti aspirin atau warfarin, tidak menghidap penyakit jantung reumatik dan penyakit lain seperti kencing manis, sawan, asma dan alahan. Kanak-kanak yang mempunyai masalah sebegini akan dirujuk kepada doktor pakar bedah bagi menentukan kaedah berkhatan yang sesuai dan selamat.

 

Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.

KLIK DI SEENI