Tabiat ‘selfie’ dilihat semakin menjajah minda golongan muda yang kini sudah mampu untuk menggenggam sekurangnya sebuah telefon pintar. ‘Selfie’ merujuk pada gambar diambil sendiri dengan menggunakan telefon atau webcam dan dimuat naik di media sosial. Atas kemudahan dan kegilaan ini, ramai yang sudah mula ‘berselfie’ sesuka hati tanpa memikirkan batas dan adab tertentu. Maskulin senaraikan etika yang perlu anda ikuti.
1- JAGA PEMAKAIAN
Buat mereka yang gila menangkap gambar selfie dan mengeposnya di laman sosial, soal pemakaian adalah paling penting. Tiada salahnya sekiranya anda memuat naik pelbagai gambar sendiri dengan pelbagai ekspresi dan emosi, tetapi janganlah pula sampai mendedahkan perincian tubuh mahupun aurat yang tidak sewajarnya didedahkan. Jagalah nama baik keluarga dan diri anda sendiri. Ini kerana pendedahan tersebut boleh menyebabkan gambar anda itu diguna pakai oleh pihak tertentu untuk kepentingan yang lain. Awas!.
2- JANGAN TERLAMPAU ‘SYOK SENDIRI’
Budaya ‘selfie’ kini telah mulai meresap ke dalam jiwa semua. Atas obsesi ini, ramai daripada kita yang gemar menangkap gambar ‘selfie’ dalam keadaan dan situasi apa saja sekalipun; walaupun tiada apa yang perlu ditunjuk dan dikongsi, sehingga dikecam seperti ‘syok sendiri’. Ya tiada salahnya, malah itu hak anda sendiri. Tetapi anda diingatkan supaya janganlah sampai melampaui batas. Ini kerana ia boleh menimbulkan kejengkelan buat mereka yang melihat gambar anda setiap masa.
3- KAWAL JULAT SELFIE
Sudahlah memuat naik gambar selfie dengan bermacam-macam ragam, malah ditambah pula dengan julat muat naik yang tiada henti-henti, sehinggakan gambar selfie mencecah ratusan hanya dalam masa sehari. Hentikan!
Anda bukanlah sesiapa. Oleh itu, kawallah julat kemasukan gambar selfie anda ke laman-laman sosial. Bukan itu saja, pastinya anda tidak mahu dikecam orang seolah anda tiada kerja untuk dibuat. Berpada-padalah ketika ber ‘selfie’, jangan sampai orang menyampah.
4- FIKIRKAN LOKASI
Lokasi di mana anda ‘berselfie’ juga perlulah dipertimbangkan sebaik mungkin. Janganlah ikut rentak sendiri dan main ‘snap’ saja. Ini kerana ada lokasi-lokasi tertentu yang tidak wajar sama sekali untuk anda berselfie. Contohnya di kubur mahupun lokasi-lokasi ‘panas’ yang boleh menimbulkan kemarahan serta kontroversi. Ditambah pula dengan riak dan ekspresi yang tidak sopan mahupun beretika. Oleh itu, cubalah kawal obsesi dan kegilaan anda berselfie.
5- JANGAN GANGGU KETENTERAMAN
‘Selfie’ juga sebenarnya boleh menggugat ketenteraman awam. Ini adalah fakta. ‘Group selfie’ atau selfie berkumpulan sering diambil oleh mereka yang berada dalam kumpulan. Bagi memotret kenangan bersama, ‘selfie’, berkumpulan adalah satu-satu kaedahnya. Tetapi, ia tidak semena boleh menimbulkan kekacauan dan hingit bingit yang boleh menganggu ketenteraman awam. Jika ingin ber‘selfie’ secara berkumpulan sekalipun, kawal adab dan tingkah.
6- ELAK ‘SELFIE’ UNTUK BERMEGAH
Ini pula kerenah tertentu yang gemar memuat naik gambar ‘selfie’ dengan tujuan bermegah dan menunjuk-nunjuk. Menangkap ‘selfie’ dengan kereta mahal, pakaian berjenama, kasut dibeli dari luar negara dan lain-lain. Sekiranya sekali dua, masih boleh diterima. Tetapi jika setiap kali anda melakukan ini, sudah pasti ia akan menimbulkan rasa tidak senang. Silap hari bulan, anda pasti sudah tidak lagi diikuti (unfollow).
PATUT TAHU
1-Di Thailand, budaya menangkap ‘selfie’ yang ternyata begitu popular di kalangan remaja menyebabkan Jabatan Kesihatan Mental negara itu telah mengeluarkan amaran kepada generasi muda yang terlalu obses dengan selfie.
2- ‘Spornoseksual’ merujuk kepada kaum lelaki yang bertubuh sasa dan tegap yang obses dan tidak henti atau tanpa silu menunjukkan perincian tubuh badan mereka dalam foto berbentuk selfie, dan dikongsi di laman-laman sosial.
3- Berdasarkan Muzium Nasional yang berlokasi di Washington, D.C., Library of Congress, foto selfie tertua diambil oleh Robert Cornelius pada tahun 1839. Berdasarkan teknologi yang berlaku pada masa itu, Cornelius terpaksa menahan posisi dirinya selama 3 hingga 15 m1nit saat untuk mendapatkan gambar yang baik dan tidak bergetar.
4- Kamus Besar Bahasa Inggeris Oxford, telah merasmikan istilah “selfie” ke dalam koleksi perbendaharaan kata pada tahun 2013. Oxford mempercayai perkataan “selfie” pertama kali diciptakan oleh seorang lelaki mabuk yang berasal dari Australia.
5- Bermula Januari 2013, jumlah perkataan #selfie saja adalah sebanyak 34,924,648 manakala #selfies sebanyak 3,692,570 diikuti #selfiesunday berjumlah 2,025,077.
6- Bandar raya London kini bukan lagi dikenali sebagai antara kota paling sibuk dan besar, sebaliknya dianggap sebagai pusat “selfie” dunia. Menurut analisis daripada pakar media sosial London menjadi bandar raya paling banyak menjadi latar untuk seseorang melakukan “selfie”.
7- Tingkah laku ‘selfie’ yang mula popular pada tahun 2013 ini sebenarnya sudah lama bermula sejak aktifnya MySpace kira-kira sembilan tahun lalu.
Gambar sekadar hiasan