Bayangkan anda dalam perjalanan untuk close deal projek bernilai jutaan ringgit. Bila sudah sampai, segalanya tidak menjadi kerana ada elemen ‘turn off’ yang anda tidak sedar. Ianya adalah kerana gigi anda kuning atau berkarat.
Walaupun kita tahu senyum itu sedekah, namun apalah guna senyuman manis jika ia adalah barisan gigi yang tidak dijaga dengan rapi.
Oleh itu, MASKULIN cuba bantu anda dengan menyenaraikan senarai pendek bahan semulajadi yang boleh digunakan untuk memutihkan gigi.
Menguyah epal, lobak atau daun saderi dikatakan boleh memutihkan gigi kerana teksturnya adalah berserat. Mengunyah makanan ini juga boleh menghilangkan sisa makanan yang terselit di celah-celah gigi selain berfungsi sebagai snek yang sihat untuk tubuh.
Baking soda merupakan petua memutihkan gigi paling popular kerana ia bersifat boleh menghakis namun tidak begitu ketara. Caranya amat mudah iaitu bancuh dua sudu teh baking soda dengan sedikit ubat gigi dan berus gigi seperti biasa lalu bilasnya dengan air.
Garam mampu menambah sumber mineral pada gigi dan sekaligus menyerlahkan lagi warna putihnya. Caranya, sapu garam pada gigi seperti penggunaan baking soda di atas. Kemudian berus dan bilasnya seperti biasa. Walaupun bertindak sebagai antibakteria, elak bubuh garam pada bahagian gusi kerana ia boleh menyakitkannya.
Selain rokok dan minuman bersoda, kopi juga merupakan musuh ketat gigi anda. Hal ini bukanlah bermaksud anda perlu mengelakkannya 100% namun anda mungkin boleh mengehadkan kuantiti pengambilannya setiap hari. Ini kerana minuman dan makanan bergula boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria Streptocuccus Mutans, iaitu bakteria utama penyebab plak dan gingivitis yang merosakkan gigi serta menjejaskan keputihannya.
Jangan pandang rendah kepada rutin memberus gigi dengan flos. Ubat gigi dapat membantu mengeluarkan kotoran daripada gigi manakala penggunaan flos dapat mengeluarkan sisa makanan dengan berkesan. Sesetengah makanan yang terlekat di celah gigi tidak dapat dibersihkan dengan sempurna menggunakan berus gigi sekali gus jika terbiar lama, ia boleh menghasilkan bakteria dan plak gigi.