Lelaki Hanya Perlu Tomato Untuk Kekal Muda

Share

Masalah pigmentasi pada kulit adalah perkara biasa dalam kalangan kita, namun kehadirannya kerap tidak menyenangkan kerana bagi yang menghidapinya ia menjejaskan penampilan dan keyakinan diri kerana menyebabkan kulit kelihatan tidak sihat. Gangguan pigmentasi berkait rapat dengan bilangan pigmen pada kulit iaitu melanin yang dibentuk oleh sel dinamakan melanocytes (melanosit). Melanin juga sumber yang memberi seseorang itu kulit warna semula jadi.

Peningkatan bilangan melanin menyebabkan kulit bertambah gelap dan keadaan ini dinamakan hipermelanosis atau hiperpigmentasi, manakala kekurangan atau kehilangan melanin menyebabkan kulit lebih cerah dinamakan hipomelanosis atau hipopigmentasi.

Rambut juga mengandungi melanocytes dan kehilangan pigmen menyebabkan rambut berwarna putih. Gangguan pigmentasi pada kulit seperti melasma atau jeragat, vitiligo atau kemusnahan melanocytes, panau (tinea versicolor), perubahan pigmen (akibat kulit cedera atau terbakar), kulit berkerak dan kehitaman (Acanthosis Nigricans) dan tompokan tanda lahir (Cafe-au-Lait Macules). Punca gangguan pigmentasi disebabkan pelbagai faktor seperti masalah autoimun, tindak balas kepada ubat, jangkitan kulat, genetik, ketidakstabilan tahap hormon dan pendedahan kepada cahaya matahari.

Masalah pigmentasi yang kerap berlaku adalah melasma yang menyebabkan warna kulit lebih gelap, bertompok keperangan atau tidak sekata. Masalah ini juga lebih kerap dialami wanita dan hanya 10 peratus kes membabitkan lelaki disebabkan melasma biasanya berkaitan perubahan tahap hormon ketika kehamilan, pengambilan pil kontraseptif oral untuk mencegah kehamilan, terapi penggantian hormon dan gangguan endokrin.

Melasma mudah dikenal pasti melalui ciri tompokan perang muda atau perang kelabu pada bahagian kulit dahi, pipi, bibir atas, hidung dan dagu, manakala ujian biopsi menunjukkan peningkatan pigmen pada epidermis dan dermis dijalankan bagi mencari punca lain gangguan pigmentasi. Pakar kulit percaya, punca utama permulaan dan penularan melasma ialah pendedahan kepada cahaya ultra ungu (UV) matahari. Namun, melasma yang berlaku ketika usia remaja disebabkan faktor genetik dan menjadi lebih buruk akibat pendedahan berlebihan kepada cahaya matahari.

Malangnya, melasma tidak boleh disembuhkan, sebaliknya ia ha­nya boleh dirawat atau dikurangkan menerusi kaedah paling asas iaitu perlindungan daripada cahaya UV. Melindungi kulit dengan cara ini mampu mencegah melasma sedia ada menjadi semakin buruk, di samping mencegah melasma baru daripada terbentuk. Walaupun melasma berjaya dirawat, pendedahan kepada cahaya UV tanpa perlindungan boleh menyebabkan gangguan pigmentasi ini menyerang semula. Bagi melindungi kulit daripada cahaya UV, kita mungkin boleh menyapu krim pelindung, memakai payung atau topi ketika di luar rumah dan rawatan kosmetik lain termasuk pengambilan suplemen.

Seiring dengan perkembangan teknologi, rawatan untuk melasma kini lebih selamat dan berkesan, contohnya penggunaan karotenoid tidak berwarna yang diekstrak daripada tomato putih yang diubah suai bukan secara genetik. Karotenoid adalah pigmen organik yang ditemui dalam kloroplas dan kromoplas tumbuh-tumbuhan serta organisma fotosintetik termasuk bakteria dan kulat. Karotenoid juga puncawarna kuning, oren dan merah pada kebanyakan sayuran dan buahan seperti lobak, tomato, labu dan jagung. Pigmen organik yang biasa ditemui adalah beta karotina yang memberi warna oren pada lobak dan lycopene yang memberi warna merah pada tomato biasa.

Tomato putih mengandungi kepekatan tinggi karotenoid tidak berwarna iaitu phytoene dan phytofluene yang boleh memutihkan kulit, sebaliknya karotenoid oren atau merah pada tomato biasa mampu mengubah warna kulit kepada perang atau lebih gelap jika diambil dalam jumlah yang banyak. Phytoene dan phytofluene adalah bahan pencerah semula jadi paling cekap dan terbukti secara saintifik mendatangkan manfaat kepada kulit dengan bertindak sebagai pelindung daripada kerosakan disebabkan cahaya UV dan foto oksida.

Karotenoid ini juga menghalang sintesis melanin bagi mencegah tompokan pigmentasi dan mengurangkan kehadiran melanin dalam sel termasuk parut akne, jeragat, hitam bawah ketiak dan tanda penuaan. Kandungan antioksida dalam pigmen ini juga mencegah kerosakan akibat radikal bebas dan antiradang.“Kajian menunjukkan karotenoid tidak berwarna ini selain mengandungi antioksida dan antiradang, ia juga menyerap sinaran UVA dan UVB. Oleh itu, pigmen ini menyekat pembentukan melanin dan mengurangkan melanin sedia ada dalam sel. Data juga menunjukkan karotenoid tidak berwarna yang diambil secara oral akan memekat dalam kulit menyebabkan kulit semakin cerah.

Kesan pencerahan kulit bukan setakat di bahagian muka yang terjejas melasma, malah ia turut memutihkan keseluruhan tubuh. Walaupun manfaat utama karotenoid tidak berwarna adalah untuk mencerahkan kulit, tetapi kandungan antioksida juga mencegah pembentukan radikal bebas yang menjadi punca utama penuaan.

10 langkah mudah untuk mengekalkan kecantikan menggunakan tomato:

1. Bagi yang berhadapan masalah jerawat, cubalah petua ini. Lenyekkan tomato dan sapu pada seluruh wajah terutama di bahagian berjerawat, biarkan ia kering pada wajah selama 30 hingga 40 minit. Kemudian bilas dengan air suam, lakukan dua kali seminggu.

Tomato dapat menyejukkan kulit dan menyerap lebihan minyak pada wajah, hasilnya jerawat mengecut dan kulit menjadi licin.

2. Tomato juga membantu mengurang dan memudarkan bintik hitam pada wajah. Hanya potong tomato kepada dua bahagian dan ambil separuh daripadanya, sapukan pada wajah bermasalah. Jika dilakukan secara konsisten, bintik gelap semakin pudar dan kulit bertambah cerah.

3. Campurkan sedikit air perahan tomato di dalam putih telur dan sapu pada wajah, biarkan ia kering. Selepas itu, bilas wajah dengan jus lemon atau limau nipis. Akhir sekali bilas wajah dengan air suam. Kombinasi bahan ini membantu untuk mengecilkan liang pori kulit wajah.

4. Bagi mengatasi kulit kering, campurkan air perahan tomato dengan yogurt asli. Jadikan bahan ini sebagai pupur dan sapu pada seluruh wajah. Biarkan ia kering kira-kira 30 minit kemudian bilas dengan air suam. Ia membantu kulit lembap dan berseri.

5. Campuran jus tomato dan madu baik untuk mengatasi masalah ton kulit tidak sekata. Sapu bahan ini pada wajah, biarkan ia kering. Bilas dengan air suam yang dicampur dengan perahan limau nipis. Hasilnya, kulit cerah sekata.

6. Amalkan makan buah tomato pada waktu pagi kerana ia membantu menyingkirkan lemak di dalam tubuh. Jus tomato juga disarankan sebagai minuman harian bagi golongan yang mahu menurunkan berat badan.

Minum jus ini 15 minit sebelum makan, ia membuatkan anda berasa kenyang.

7. Bagi mereka yang mempunyai kulit kering dan bersisik, kembalikan kelembapan kulit dengan melenyek tomato dan lumur pada seluruh tubuh ketika mandi. Biarkan ia kering, kemudian bilas dengan air bersih. Lakukan seminggu sekali untuk melihat hasilnya.

8. Bagi merawat rambut kering dan bercabang, lumur jus tomato pada rambut dan balut dengan tuala selama 15 hingga 20 minit. Ia membantu rambut sihat dan bersinar.

9. Untuk masalah kelemumur pula, lenyek tomato dan sapu pada kulit kepala. Lakukan selama 15 hingga 20 minit, kemudian bilas dengan air bersih.

10. Bagi menghilangkan lingkaran hitam di bawah mata, lekapkan hirisan tomato yang disalut dengan yogurt asli pada mata. Ia mengurangkan kesan gelap dan membuatkan kulit cerah

Published by
Kim Rahim