Mohon maaf; amalan yang boleh jadi mudah dan boleh jadi sukar. Ada yang sukar untuk memohon maaf kerana merasakan perbuatan itu menjatuhkan nama baiknya. Ada yang mudah benar memohon maaf tetapi itu sekadar permainan yang langsung tidak memberikan kesan dalam hati. Hari ini dia mohon maaf, sekejap lagi dia tanpa rasa berdosa, dia ulangi kesalahan yang sama.
“Saya minta maaf,” kadangkala tidak lagi menjadi ucapan yang diungkapkan dengan hati penuh ikhlas. Malah ada ketika diucapkan secara main-main kerana mengikut kebiasaan keadaan. Umpamanya pada hari raya, ucapan “minta maaf” jadi sangat sinonim, tetapi selalunya hanya di mulut, tidak benar-benar berbekas di hati.
“Saya maafkan,” juga boleh jadi mudah dan boleh jadi sukar. Ada yang sukar memaafkan kesalahan orang lain kerana dia belum berupaya melupakan kesalahan orang berkenaan terhadapnya. Ada juga yang hanya mulut saja memberi maaf tetapi dalam hati, terus kekal menyimpan marah dan mencari peluang membalas dendam.
Apakah makna di sebalik ‘memohon maaf’ dan ‘memaafkan’ itu? Berikut antara perkara yang boleh kita renungkan bersama-sama.
1.Hanya Allah tempat kita bergantung. Sebagai manusia, kita wajib memohon keampunan daripada Allah. Tiada manusia yang maksum (terpelihara daripada salah dan dosa) kecuali Rasul dan Nabi. Lalu antara tanggungjawab kita terhadap Allah adalah memohon ampun serta berharap rahmat Allah kerana kasih sayang Allah itulah yang akan meluruskan perjalanan kita di muka bumi.
Memohon ampun dengan Allah juga tanda rasa rendah diri kita sebagai hamba kepada Allah yang mencipta kita. Itu juga tanda kesyukuran kita terhadap segala kurniaan-Nya. Hubungan baik manusia dengan Allah secara tidak langsung akan memberikan kita rasa tenang, damai dan nikmat sebagai hamba-Nya. Ini selaras dengan firman Allah, “Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisa: 25)
2.Amalan memohon maaf menyerlahkan keperibadian seseorang Muslim. Andai kita sudah biasa memohon ampun dengan Allah, tentu tidak susah jika kita harus memohon ampun maaf sesama manusia. Tidak perlulah berfikir siapa yang bersalah atau siapa lebih banyak dosa, amalan memohon maaf sesama manusia tidak harus disukar-sukarkan. Memang benar, ‘maaf’ selalunya jadi ungkapan yang mudah diucapkan tetapi payah diamalkan. Sebab itulah al-Quran menjelaskan bahawa amalan meminta dan memberi maaf, amat terpuji yang melayakkan Muslim mendapat ganjaran besar di sisi Allah.
Hubungan dengan Allah tentunya tidak akan sempurna andai hubungan dengan manusia tidak beres. Lalu bermaaf-maafan sesama manusia turut dituntut agar perjalanan kita bertemu Allah dapat berjalan lancar. Ini selaras dengan firman Allah, “Terima kemaafan dan suruhlah dengan perkara yang baik serta berpalinglah (jangan dihiraukan) daripada orang yang jahil.” (Surah al-‘Araf, 199)
3.Sikap pemaaf adalah amalan Rasulullah. Jika kita tinjau sejarah Islam, tentu kita rasa terharu mengenangkan betapa besarnya ujian yang menimpa Rasulullah. Peringkat awal usaha dakwah Islamiah yang dibawa Nabi Muhamad, menerima dugaan yang amat besar; dicerca, dihina, dipukul, malah baginda hampir dibunuh. Rasulullah dijadikan musuh oleh sebilangan individu yang tidak mahu menerima Islam, walaupun mereka tahu bahawa Muhammad bin Abdullah itulah sebaik-baik manusia yang dikenali mereka.
Namun Rasulullah tidak berdendam dengan mereka.
Dalam peristiwa pembukaan Kota Mekah umpamanya, Rasulullah berlapang dada memaafkan semua orang dengan menawarkan keselamatan pada mereka andainya mereka memeluk Islam. Walaupun orang kafir Quraisy berkelakuan jahat pada Rasulullah tetapi baginda membalas dengan kebaikan.
Jadi, apa salahnya jika kita mencontohi sikap pemaaf Rasulullah ini? Sememangnya kita manusia digalakkan mencontohi keperibadian Rasulullah kerana baginda diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik, seperti katanya, “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak.” (Hadis riwayat Ahmad)
4.Jangan malu dan segan akui kesilapan dan memohon maaf. Apabila kita buat salah terutamanya pada orang lain, tentu kita pernah rasa bersalah. Namun kadangkala rasa malu untuk mengaku kesalahan menyebabkan amalan meminta maaf tidak dapat dilaksanakan.
Apabila rasa malu yang tidak kena tempat ini dibiarkan merajalela dalam diri, kita akan mula berada dalam zon selesa. Malah apabila terlalu biasa buat salah, kita tidak lagi rasa ada keperluan untuk meminta maaf. Malah kesilapan berulang yang kita lakukan menjadikan hati gelap dan menghilangkan rasa penyesalan.
Oleh itu, sebagai manusia, kita perlu biasakan diri dengan mempunyai rasa bersalah kerana rasa itu akan menjadikan kita lebih berhati-hati dalam setiap perbuatan. Orang yang sukar memohon maaf adalah orang yang sombong dan bongkak terhadap Allah dan sesama manusia. Selalunya dia menganggap dirinya betul dan tidak memerlukan orang lain, sedangkan dia terlupa dirinya adalah hamba Allah yang bergantung hidup kepada kasih sayang Allah.
Selagi pencerobohan tidak membabitkan kesucian agama yang kita junjung, sebaliknya hanya pencerobohan yang bersifat peribadi atau individu, kita terus digalakkan untuk memberikan kemaafan. Itu juga sebagai tanda menghargai kasih sayang yang Allah anugerahkan kepada manusia.
6.Mohon maaf mengetepikan nafsu mementingkan diri sendiri. Antara memohon maaf dengan memberikan kemaafan, mungkin ramai yang sukar untuk memohon maaf. Orang yang memohon maaf selalu dianggap sebagai orang yang bersalah dan berdosa. Disebabkan itu ramai yang keberatan memohon maaf kerana tidak mahu dirinya dipandang salah. Atau dengan kata lain, dia keberatan melepaskan kepentingan diri sendiri apabila dia memohon maaf dengan orang lain.
Apabila dua orang berselisih faham kerana mempertahankan pandangan masing-masing, selalu yang berlaku, mereka saling menunggu siapa dahulu yang akan memulakan kata maaf. Amalan memohon maaf sebenarnya tidak akan menjatuhkan maruah individu, malah boleh meningkatkan lagi rasa hormat.
8.Memohon maaf dan memberikan kemaafan elemen perpaduan masyarakat. Sememangnya kita manusia tidak terlepas daripada berbuat kesalahan atau tersinggung dengan perbuatan orang lain. Apabila kita berlapang dada untuk memohon maaf dan memberikan kemaafan, insya-Allah, Allah akan membuka pintu rahmat atau kasih sayangnya. Hubungan sesama manusia akan lebih lancar dan apabila hubungan sesama manusia lancar, pasti lancar juga hubungan kita dengan Allah.