Perniagaan menggunakan platform e-dagang seperti Lazada kini menjadi lubuk rezeki yang cukup lumayan buat usahawan tempatan.
Baru-baru ini, mereka meraikan pencapaian luar biasa penjual-penjual berprestasi tinggi di platformnya di Lazada Seller Summit 2024. Acara yang julung kali diadakan itu berlangsung di One World Hotel.
Pada acara ini, lebih 40 penjual dan usahawan pelbagai kategori seperti fesyen & kecantikan, rumah & kehidupan, elektronik, dan barangan runcit diiktiraf atas pertumbuhan dan kejayaan mereka.
Majlis cukup meriah ini turut diserikan dengan kehadiran lebih 1,000 penjual dari seluruh Malaysia. Lebih istimewa ia dirasmikan oleh Menteri Digital Malaysia, YB Tuan Gobind Singh Deo.
Selain daripada penyampaian anugerah, penjual-penjual juga terlibat dalam pelbagai program sepanjang hari yang merangkumi pembentangan yang bermaklumat dan perbincangan panel interaktif.
Topik utama seperti strategi pemasaran digital, pengoptimuman logistik, dan taktik penglibatan pelanggan dibincangkan secara mendalam. Secara tidak langsung memberikan peserta strategi berguna, amalan terbaik, dan pengetahuan untuk meningkatkan perniagaan dalam landskap kompetitif.
Para peserta juga berpeluang untuk berhubung dengan pemimpin industri e-dagang, rakan penjual, dan Jurulatih Bertauliah Lazada yang berpengalaman.
“Kami amat teruja menyaksikan kejayaan dan inovasi luar biasa yang ditunjukkan oleh penjual-penjual kami di Lazada Seller Summit 2024.
“Dedikasi dan semangat keusahawanan mereka terus mendorong pertumbuhan e-dagang di seluruh Asia Tenggara. Di Lazada, kami komited untuk memperkasakan penjual dengan alat dan sumber yang mereka perlukan untuk berjaya di pasaran digital.
Ini bagi memastikan mereka mencapai potensi penuh dan memberikan pengalaman membeli-belah yang tiada tandingan kepada pelanggan,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Kaya Qin.
Menurut Menteri Digital, YB Gobind Sing Deo, impak positif dan peranan yang dimainkan oleh Lazada cukup penting. Ini kerana ia akan memberi peluang kepada penjual untuk berkembang dan berjaya dalam e-dagang.
“Saya menggesa Lazada untuk terus memainkan peranannya dalam memfasilitasi pertumbuhan e-dagang.
“Platform e-dagang harus terus membantu penjual dengan menyediakan alat yang kukuh dan platform yang tangkas. Kejayaan penjual akan seterusnya menonjolkan keberkesanan platform e-dagang dalam menyokong keusahawanan digital,” kata Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo.
Sepanjang acara di Lazada Seller Summit 2024, jenama antarabangsa seperti Dyson, HP, Huawei, LEGO, Samsonite dan Samsung adalah antara yang diiktiraf atas pencapaian mereka.
Manakala jenama tempatan seperti Montigo dan NEUTROVIS juga menerima anugerah seperti Most Loved Lifestyle Brand Partner dan Most Loved Home-Grown Brand Partner. Senheng diraikan sebagai Most Loved Retailer Brand Partner kerana perkhidmatan yang luar biasa dan kesetiaan pelanggan.
BACA: Fakta Penting & Kronologi Kejadian Kes Menyayat Hati Kadet Zulfarhan
Penjual seperti ALDO, Baseus, Big Pharmacy, Olaplex dan Pop Mart juga membawa pulang anugerah yang sesuai dengan kejayaan mereka di platform tersebut.
Antara penerima yang menonjol adalah Adam Zero dan Bite a Snack, yang cemerlang dengan kualiti produk yang tinggi dan penilaian penjual yang baik, serta pertumbuhan yang konsisten dan stabil di platform Lazada.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.