Tidak sah rasanya jika anda seorang peminat sukan badminton tidak kenal dengan sosok tubuh, Taufik Hidayat bekas pemain badminton Indonesia yang kini dianggap legenda.
Taufik merupakan salah seorang ikon badminton Indonesia yang paling dikenali di dunia. Dilahirkan pada 10 Ogos 1981 di Bandung, Jawa Barat, Taufik mula menunjukkan minat dalam sukan badminton pada usia muda, ketika hanya berumur tujuh tahun.
Mendapat sokongan hebat oleh keluarganya, terutama bapanya yang aktif memberi dukungan penuh terhadap karier sukan, Taufik berkembang menjadi pemain muda yang luar biasa.
Pada usia 13 tahun, Taufik memasuki Pelatnas (Pusat Latihan Nasional) dan memulakan perjalanan luar biasanya dalam dunia badminton. Kemahiran Taufik yang paling menonjol ialah keupayaan untuk menggunakan backhand smash, salah satu pukulan yang sering dianggap antara yang terbaik dalam sejarah badminton.
Beliau juga mempunyai kemahiran teknikal yang halus serta ketenangan di gelanggang, yang membolehkan beliau beraksi di peringkat tertinggi dalam masa yang panjang.
Kejayaannya meraih pingat emas di Sukan Olimpik Athens 2004, Kejuaraan Dunia 2005, dan enam gelaran Terbuka Indonesia menjadikan beliau idola bagi generasi pemain badminton muda di Indonesia dan seluruh dunia.
Selain memenangi emas Olimpik dan Kejuaraan Dunia, Taufik Hidayat juga mendominasi beberapa kejohanan besar lain. Beliau telah meraih kemenangan dalam pelbagai kejohanan Super Series, All England, dan Piala Thomas.
Pada tahun 1999, ketika usianya masih muda, beliau sudah mencuri perhatian dunia apabila memenangi Terbuka Indonesia buat pertama kali.
Kejayaan tersebut adalah petanda kepada karier cemerlang yang bakal menyusul, menjadikan beliau salah seorang pemain yang paling ditakuti oleh pesaing-pesaingnya.
Terbaru, Taufik Hidayat telah dilantik menjadi Timbalan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto. Menerusi jawatan ini, beliau akan bertugas bersama Menteri penuh, Dito Ariotedjo.
Pelantikan ini menunjukkan keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Taufik dalam membawa pengalaman dan wawasan sebagai bekas atlet bertaraf dunia untuk memajukan sukan dan pembangunan belia di Indonesia.
“Taufik Hidayat sebagai wakil Menteri Pemuda dan Olahraga,” kata Prabowo seperti dipetik dalam Kompas.com.
Sepanjang karier cemerlangnya, Taufik meraih banyak pencapaian, termasuk enam kali menjuarai Terbuka Indonesia.
BACA: 10 Kasut Larian Berprestasi Tinggi Terbaik 2024 Pilihan MASKULIN
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai kakitangan khas di Kementerian Belia dan Sukan dari 2017 hingga 2018, yang memperkukuhkan lagi kredibilitinya sebagai figura penting dalam sukan Indonesia.
Pelantikan ini dilihat mampu memberikan impak positif terhadap pembangunan sukan negara dan kebajikan atlet muda.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.