Lapan Wartawan Terkorban Di Palestin Sejak Sabtu

Share

Empat wartawan Palestin terkorban dalam serangan udara di Gaza pada Selasa, menjadikan jumlah wartawan yang terkorban sejak serangan pada Sabtu ialah sebanyak lapan wartawan.

Memetik laporan Arab News, perkara itu diumumkan Kesatuan Akhbar Palestin dalam satu kenyataan.

Tiga daripada mereka dikenal pasti sebagai Said Al-Taweel, pengarah agensi berita Al-Khamisa, Mohammed Sobboh, seorang jurugambar akhbar dan Hisham Nawajhah, seorang koresponden agensi berita Gaza.

Menurut ketua pejabat media kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas, Salameh Maarouf, mereka terbunuh dalam satu serangan ketika membuat liputan mengenai pemindahan penduduk di bangunan kediaman berhamiran pelabuhan nelayan Gaza.

Pada hari kejadian, pengamal media hadir ke lokasi dan berdiri sejauh beberapa dozen meter dari bangunan itu selepas seorang penduduk menerima panggilan telefon daripada tentera Zionis yang memberi amaran tentang serangan yang akan berlaku, demikian lapor seorang wartawan.

Bagaimanapun saksi berkata yang serangan itu ditujukan ke bangunan yang berbeza, lebih dekat dengan lokasi keberadaan pengamal media.

Terkorban Bersama Suami & Anak Di Rumah

Pada Selasa, Kesatuan Akhbar Palestin memaklumkan yang ketua jawatankuasa wartawan wanitanya, Salam Khalil terbunuh bersama suami dan anak-anaknya apabila rumahnya di utara Semenanjung Gaza dilanda bom.

Foto: Anak-anak Salam Khalil yang turut terkorban.

Wartawan Asad Shamlakh pula terbunuh pada Ahad, berserta dua jurukamera dilaporkan hilang dan 10 wartawan telah cedera.

Tiga pengamal media lagi dilaporkan terbunuh pada hari Sabtu, iaitu seorang jurugambar Ibrahim Mohammad Lafi serta wartawan Mohammad Jarghoun dan Mohammad El-Salhi yang ditembak mati dalam insiden yang berbeza.

Petugas Media Tidak Boleh Jadi Sasaran

Kejadian petugas media ditembak tentera Zionis bukanlah sesuatu yang baharu.

Pada Jun lalu, Momen Samreen sengaja ditembak tentera Zionis Israel dalam keadaan lengkap memakai seragam petugas media ketika sedang bertugas di Ramallah.

Wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh pula mati ditembak ketika bertugas di kota Jenin, Tebing Barat Palestin pada 2022.

Seorang jurukamera Palestin, Muath Armaneh pula terpaksa hidup bergantung pada sebelah mata sahaja akibat mata kirinya ditembak ketika bertugas pada 2019.

Menurut Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL), petugas media diklasifikasikan sebagai non-combatant yang dikelompokkan sebagai orang awam dan tidak boleh dijadikan sasaran.

Pemakaian jaket tertera perkataan “Press” pula membuktikan mereka memenuhi prinsip distinction bagi membolehkan pihak tentera Israel membezakan mereka dengan penunjuk perasaan.

Published by
Ruszaini Ruslan