Buat mereka yang setia mengikuti perkembangan semasa dunia hiburan pasti mengenali sosok badan tegap berwajah kacak ini. Kelibatnya di skrin mungkin agak jarang dilihat namun Arja Lee atau nama sebenarnya, Azaharudin Ramli masih segar di bibir peminat.
Info menerusi laman media sosialnya mendapati, Arja Lee sebenarnya menyambung pelajarannya. Dan beberapa hari lalu dia telah menghadiri Majlis Konvokesyen, Universiti Perguruan Sultan Idris.
Aktor kacak ini merupakan penerima Ijazah Sarjana dalam jurusan Pendidikan Persembahan. Jelasnya, dia mengakui perasaan agak bercampur baur saat namanya dipanggil untuk menerima ijazah.
Melihat ahli keluarganya bersorak telah membuatkan dirinya hilang rasa gemuruh yang dirasakan pada ketika itu. Memetik laporan Media Hiburan, Arja Lee berkata, “Debarnya sungguh berbeza kali ini. Tak dapat saya nak gambarkan perasaan dan apa yang bermain di fikiran pada waktu ini. Amat berbeza.
“Apabila nama disebut hinggalah terdengar jeritan penuh kasih sayang dari ahli keluarga tercinta di depan mata menjadi penawar di kala gugup setelah menerima ijazah di atas pentas,” jelasnya lagi.
“Kini aku bergelar Graduan Ijazah Sarjana,” tulisnya menerusi hantara di Instagram.
Selain itu, Arja Lee juga sekarang bertugas sebagai seorang pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan sejak tahun lalu lagi. Tidak hairanlah kelibatnya di industri lakonan memang agak sepi sejak kebelakangan ini.
Jelasnya menerusi satu temu bual bersama Mstar, Arja berkata dia tidak lagi mahu terlibat dalam dunia glamor sebagai selebriti. Apa yang dia mahukan sekarang ialah kehidupan yang lebih tenang tanpa sebarang kontroversi di negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut.
“Alhamdulillah saya selesa dengan kehidupan saya sekarang… ada pekerjaan tetap dan paling penting ada pendapatan bulanan yang tak perlu saya risau setiap bulan.
“Dekat sini saya mahu menjalani hidup tenang dan bebas daripada sebarang kontroversi sebagai seorang selebriti.
“Disebabkan itu, saya mengambil keputusan tinggalkan bidang seni buat masa ini bagi memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai seorang pensyarah yang turut memerlukan komitmen tinggi,” tambahnya lagi.
Semoga Arja Lee terus cekal dan gigih sebagai seorang tenega pengajar buat anak bangsa. Selamat maju jaya MASKULIN ucapkan kepada Arja Lee!
Kredit: IG Arja Lee, Media Hiburan & Mstar