Lahir Dalam Keluarga ‘Rojak’, Keith Foo Rai Pelbagai Perayaan

Share

Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum. Maka tidak hairanlah jika ada diantara masyarakatnya yang dilahirkan dalam keluarga ‘rojak’.

Memetik laporan Astro Awani, itulah yang dialami oleh pelakon lelaki popular Keith Foo yang membesar dalam keluarga berdarah campuran Cina dan India.

Keith Foo menyifatkan dirinya bertuah kerana dapat menyambut Tahun Baharu Cina dengan keunikan tersendiri dan harmoni.

Menurut Keith, setiap tahun dia dan adik-beradik akan berkumpul di kampung halamannya di Gemas, bagi meraikan perayaan itu bersama bapa Foo Kia Suan, 79, dan ibunya Anita Foo, 70.

Selebriti itu berkata berkata antara juadah ‘makan besar’ istimewa hari ini ialah ayam kukus, sayur campur, sambal udang petai dan pelbagai lagi.

“Tahun Baharu Cina adalah satu tradisi. Kami beragama Kristian dan turut menyambut Krismas, selain itu kami sekeluarga turut meraikan perayaan Deepavali kerana ibu saya berbangsa India.

“Aidilfitiri juga diraikan kerana kakak dan abang saya yang mualaf. Saya fikir ia adalah kehidupan yang harmoni dalam kalangan kami dan kami membesar dengan diberikan kebebasan (mengamalkan) kepercayaan masing-masing. Paling penting bagi saya adalah hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Tambahnya, penerapan nilai seperti tolak ansur, kepercayaan serta saling hormat- menghormati antara satu sama lain menjadi rahsia utama usia perkahwinan ibu bapanya mampu melangkaui lebih 30 tahun.

Selain itu, Keith dapat menguasai Bahasa Tamil, Mandarin, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu dengan baik hasil lahir dalam keluarga campuran.

Kredit Sumber: Astro Awani

Published by
Ruszaini Ruslan