‘Lagi Lama Bertahan, Tak Bererti Makin Baik’. Jadi Sebelum Buat Plank, Tahu Info Ini Dulu!

Share

Ramai yang tahu senaman plank memang banyak kebaikan terutamanya untuk anda yang ingin mendapatkan perut rata, selain membaiki postur tubuh badan.

Posisinya seakan-akan sama dengan senaman tekan tubi, cuma yang berbeza senaman plank memerlukan anda untuk menahan posisi selama beberapa minit bagi menumpukan tubuh pada telapak tangan dan hujung kaki.

Ramai yang ingin tahu berapa lama sebenarnya masa yang harus anda ambil untuk menahan posisi ketika melakukan senaman plank.

Mungkin selama ini anda pernah mendengar, lagi lama anda mampu bertahan untuk posisi plank, maka hasilnya adalah lebih baik. Hakikatnya perkara itu adalah tidak benar.

Sebaiknya Tahan Dalam 10 Kiraan

Menurut Profesor Stuart McGill dari University of Waterloo, Kanada, “semakin lama” itu tidak bererti “semakin baik”.

Jadi untuk mendapatkan manfaatnya, cukup dengan menahan posisi plank selama 10 kiraan dan elak menahan posisi plank dalam tempoh yang lama.

Ujar McGill lagi, seseorang mampu untuk memiliki otot perut yang kuat dengan melakukan gerakan plank selama 10 kiraan. Apabila 10 kiraan ditahan, berehat seketika lalu teruskan menahan posisi plank selama 10 kiraan lagi dan lakukan selama beberapa kali.

Risiko Cedera Boleh Dikurangkan

Dengan senaman plank seperti ini, risiko kecederaan boleh dikurangkan. Bagi anda yang sudah lanjut usia ataupun mempunyai masalah pada bahagian punggung, jangan memaksa diri untuk menahan posisi plank begitu lama.

Saat anda menahan posisi plank, otot-otot anda akan terasa sakit antaranya otot perut akan rasa tertarik dan menambah bebanan tekanan pada bahagian punggung.

Begitu juga buat anda yang masih muda, tidak disarankan untuk menahan plank terlalu lama. Menurut McGill, senaman plank yang terlalu lama tidak akan memberi banyak manfaat.

Sekalipun anda menahan plank selama 1 minit, sebaiknya kena ada rehat di antara senaman tersebut.

Pendapat yang sama juga diutarakan oleh seorang fisioterapi Inggeris bernama Tim Allardyuce.

Menurutnya, orang gemuk sebaiknya tidak menahan tubuh dengan hujung kaki sebaliknya menahan posisi plank menggunakan lutut. Cara ini adalah lebih selamat untuk mengelakkan bahagian punggung anda tercedera.

Orang Hipertensi Harus Lebih Berhati-hati

Manakala bagi yang mempunyai hipertensi, anda harus lebih berhati-hati ketika melakukan senaman plank.

Ini kerana, posisi menahan gerakan plank ini mampu menambah tekanan di bahagian perut yang dapat menyebabkan kenaikan tekanan darah secara tiba-tiba. Kalau dibiarkan berterusan, boleh membahayakan jantung.

Jadi, sebaiknya anda tidak perlu memaksa diri untuk menahan posisi plank dalam waktu yang lama jika anda tidak mampu. Lebih-lebih lagi jika anda mempunyai penyakit tertentu, anda harus lebih berhati-hati.

Sebaiknya lakukan senaman plank dengan pengawasan jurulatih yang berpengalaman.

Cara Menahan Posisi Plank

Bagi yang baru memulakan senaman plank, cuba tahan dalam waktu singkat misalnya 5 kiraan.

Biasakan diri untuk menahan dalam 5 kiraan untuk kali pertama. Setiap kali selesai menahannya, rehat dahulu sekitar 5 kiraan.

Kemudian, teruskan lagi posisi dalam 5 kiraan. Ini meliputi 1 set. Cuba selesaikan 3-6 set dalam 1 kali sesi senaman.

Jika anda sudah biasa dengan posisi ini, tambahkan senaman plank menjadi 10 kiraan untuk minggu berikutnya. Terus menambah durasinya seiring dengan waktu secara berperingkat.

Selain durasi, perhatikan juga teknik dasarnya untuk anda mendapatkan manfaat senaman plank yang lebih optimum.

Posisi Tubuh Badan Ketika Senaman Plank

1. Letakkan siku di atas lantai, manakala pergelangan tangan di depan sejajar dengan siku.

2. Dengan menggunakan tangan, angkat tubuh ke atas dengan posisi leher lurus.

3. Posisi kaki pula lurus ke belakang. Cuma hujung kaki sahaja menyentuh lantai.

4. Pastikan badan lurus dan tahan otot perut.

5. Tahan posisi ini sambil terus bernafas.

6. Lakukan sesuai dengan kemampuan anda.

7. Selain posisi biasa ini, anda juga boleh menambahkan posisi senaman plank yang lain.

Sumber: fimela.com

Published by
Roselinda