KYMCO SEDIAKAN SENJATA BARU C SERIES: PESAING TERDEKAT HONDA X-ADV

Share

Pengeluar jenama skuter Kymco asal Taiwan mendedahkan imej model konsep Kymco C Series. Model tersebut bakal dipamerkan pada EICMA 2017, November depan.

Mengikuti jejak langkah pesaingnya memasuki segmen skuter Adventure Tourer, model konsep itu memiliki persamaan dengan AK550 yang menjadi asas pembangunan produk berkenaan.

Jika diamati, Kymco C Series mengambil pesona dari Ducati Multistrada seiring dengan peranannya sebagai model roda dua kembara.

“Kehadiran Kymco C Series Concept bertekad mengungguli segmen Adventure Tourer dan dapat memenuhi kehendak pengguna yang menginginkan keselesaan dan fungsi ketika mengembara,” kata Presiden Kymco Group, Allen Ko.

Bagaimanapun, spesifikasi lengkap masih disimpan rapi oleh pihak Kymco sehinggalah kemunculan rasminya pada November nanti.

Difahamkan model skuter maxi itu memiliki beberapa persamaan dengan Honda X-ADV. Kymco C Series Concept akan dipadankan dengan enjin 550cc DOHC yang mampu menghasilkan 53.5hp.

Selain itu, ia menampilkan suspension yang panjang, tayar off road dan beberapa perincian off road lain antaranya bahagian fender yang ditinggikan.

Cermin penghalang angin yang lebar memberikan imej garang pada pandangan pertama selain membezakan ia dengan model skuter maxi jalanan lain.

Published by
webadmin