Kurang Ambil Makanan Berminyak

Share

ELAK MAKAN SEBELUM JAM 8 MALAM _ EDISON CHUA

KECERGASAN MERANGKUMI PELBAGAI ASPEK YANG BERKAITAN DENGAN FUNGSI FISIOLOGI DAN PSIKOLOGI, DIPERCAYAI MEMBUATKAN SESEORANG INDIVIDU ITU BEBAS DARI PELBAGAI PENYAKIT JUGA MASALAH KEGEMUKAN. SETIAP DARI KITA HARUSLAH SENTIASA MENINGKATKAN TAHAP KECERGASAN FIZIKAL SEHINGGA KE TAHAP MAKSIMUM AGAR KEKAL CERGAS SEPANJANG HARI, ITULAH YANG DIAMALKAN OLEH PENGHIAS RUANGAN FIT LOKAL BULAN INI, EDISON CHUA, SEORANG PELAJAR JUGA MODEL KECERGASAN YANG SANGAT MENITIKBERATKAN ELEMEN KECERGASAN DALAM DIRINYA AGAR KEKAL BERKEYAKINAN DAN SIHAT SEPANJANG HARI.

MASKULIN : SERBA SEDIKIT MENGENAI EDISON CHUA?

Merupakan Pelajar jurusan Perbankan di Universiti Taylor’s Kuala Lumpur,berusia 23 tahun, berdarah campuran Cina dan Kadazan serta pernah memenangi pertandingan ‘Sabah Model Of The Year 2016’. Kini saya sedang berjinak-jinak di dalam dunia peragaan dan akan lebih serius untuk menggapai cita-cita tersebut.

MASKULIN : KONGSIKAN TRANSFORMASI FIZIKAL YANG ANDA LALUI?

Saya perlu memahami diri saya sendiri terlebih dahulu sebelum memulakan sesuatu rencana transisi fizikal.  Mula menanam iltizam sejak usia 19 tahun lagi, saya berjinak-jinak dengan gimnasium untuk mula membina otot badan. Mengambil masa sekitar dua tahun sahaja saya kian mulai rasa akan perubahan, dahulu saya seorang yang sangat kurus, berkat usaha dan kegigihan saya berjaya memiliki bentuk badan seperti hari ini.

Buat anda yang sekadar mahu menurunkan berat badan, anda harus benar-benar mengubah plan diet harian, kerap melakukan senaman dan kekal dengan disiplin. Jika mahu mendapatkan struktur badan yang menarik, gandakan usaha dan lebih fokus pada bahagian badan tertentu untuk mendapatkan bentuk yang anda inginkan, kira kalori makanan serta jangan sesekali berputus asa!

MASKULIN : APAKAH MENU HARIAN YANG ANDA AMBIL?

Saya kurang mengambil makanan yang berminyak juga tidak lagi menyentuh makanan tidak sihat seperti makanan segera, jika boleh elak saya cuba elakkan. Setiap apa yang kita makan akan memberi kesan. Setiap pagi saya hanya mengambil menu seperti roti dan susu segar, tengah hari sesuatu yang mempunyai protein tinggi dan malam saya akan cuba menikmati hidangan yang tidak terlalu berat untuk di hadam selain amalkan senaman lima kali dalam seminggu untuk memastikan tubuh kita imun dengan latihan setiap hari.

 MASKULIN : GYM BUDDY ATAU SENDIRI?

Keduanya memberi kesan positif untuk anda yang baru berjinak-jinak ke dalam dunia kecergasan. Bila anda aktif di gimnasium sambil dibantu rakan ketika melakukan senaman,  latihan anda akan menjadi lebih mudah dan ringan di samping mempunyai teman untuk sama-sama bersaing membentuk tubuh dan prestasi kekal di momentum yang tinggi, berbeza dengan melakukan latihan secara sendiri, segala-galanya anda lakukan seorang diri dan hasilkan anda juga yang perolehi sendiri, mungkin sedikit membosankan tetapi jika diberi pilihan saya lebih suka melakukan latihan secara individu kerana saya boleh fokus dengan latihan dan terus pulang tanpa perlu berborak panjang bersama teman.

Ya, saya akui saya dahulu pernah obses dengan senaman sehingga tiada masa untuk diri sendiri dan rakan-rakan, kini saya sudah mulai sedar bahawa bersenam dan masa bersosial itu sangat penting. Harus bijak mencuri masa untuk terus kekal sihat, tidak semestinya anda perlu kerap ke gimnasium, apa salahnya sesekali beriadah bersama teman dan keluarga asalkan tetap melakukan aktiviti sihat dan cergas.

MASKULIN  : BAHAGIAN PALING MENARIK DI TUBUH ANDA?

Saya rasa adalah bahagian dada, walaupun six pack adalah elemen paling sukar untuk dibentuk, tetapi dada membuatkan seorang lelaki itu nampak seksi dan bidang ketika menyarungkan pakaian. Itu adalah bahagian tubuh yang sangat saya hargai.

MASKULIN : TIP UNTUK KEKAL SIHAT?

Cuba elak makan lewat malam, amalkan corak pemakanan yang sihat dengan pengambilan setiap menu harian sebelum jam 8 malam. Setiap makanan yang kita ambil itu sekurangnya memerlukan 4 jam untuk dicerna, jika ia tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik ia akan bertukar menjadi lemak. Kerap lakukan senaman sekurangnya tiga kali seminggu untuk permulaan, jangan lupa bersarapan setiap pagi dan kekal mengambil gizi seimbang dengan pengambilan banyak buah-buahan dan air untuk mudah lawas dan akhir sekali pastikan anda cukup tidur kerana badan kita perlu rehat yang mencukupi.

MASKULIN : BAGI ANDA ADA ATAU TIDAK JALAN MUDAH UNTUK DAPATKAN BENTUK BADAN SEPERTI INI?

Saya percaya, ramai di kalangan anak muda yang mahu cepat memiliki bentuk badan menarik secara singkat dengan mengambil bahan terlarang, saya sekerasnya menolak perkara ini. Amalkan corak latihan beban yang selamat dan sentiasa taman di dalam fikiran tiada perkara di dunia ini yang boleh dapat dengan sekelip mata, bersabar dan elak dari terjebak dengan perkara sedemikian. Steroid khususnya memberi lebih kesan negatif dari sebaliknya, ingat kita bersenam untuk sihat, bukan mahu menyakitkan lagi tubuh kita. Di antara kesan buruk steroid yang akan anda alami jika terus mengambilnya tanpa nasihat pakar, tubuh akan berjerawat, cepat marah, imunisasi menjadi lemah serta kemurungan. Jadi, amalkan corak senaman yang sihat dan kekal cergas setiap hari kerana kita memerlukan tubuh yang sihat ini untuk tempoh masa yang lama, jangan persiakan nikmat yang diberikan tuhan hanya kerana terlalu obses untuk cantik dan pujian masyarakat.

 

 

 

 

 

Published by
Kim Rahim