Astro Audio mengambil keputusan untuk merehatkan tiga penyampai popular Era FM, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin ekoran kontroversi satu video yang dimuat naik dikatakan menyentuh isu sensitiviti kaum dalam salah satu segmen siaran pagi mereka.
Dalam satu kenyataan rasmi, Astro Audio menegaskan bahawa pihaknya mengambil serius terhadap insiden yang mencetuskan kritikan meluas itu.
“Para penyampai yang terlibat telah mengakui kesilapan mereka dan telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.
“Sebagai sebuah syarikat penyiaran bertanggungjawab, kami memandang serius perkara ini dan selepas pertimbangan yang teliti, kami memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga individu tersebut dari ke udara sehingga diberitahu kelak, sementara kami menjalankan siasatan dalaman ke atas insiden ini,” katanya.
Astro Audio melahirkan kekesalan atas satu insiden rakaman video melibatkan penyampai terbabit dan dikongsi di platform media sosial ERA.
Dalam kenyataan, Astro Audio memohon maaf kerana tindakan tiga penyampai terbabit telah menyakiti hati dan mengecewakan hati pihak terlibat.
MOHON MAAF TERBUKA
Difahamkan, aksi Azad yang disaksikan oleh Nabil, Radin serta beberapa lagi kakitangan lain seakan menyerupai tarian kavadi masyarakat Hindu yang menyambut Thaipusam.
Tidak lama selepas video itu menjadi perbualan hangat, Era FM bertindak menurunkan klip berkenaan daripada semua platform mereka.
Nabil, Azad, dan Radin turut tampil memohon maaf secara terbuka di akaun Instagram Era FM, mengakui kesilapan mereka dalam menilai sensitiviti kandungan tersebut.
Kontroversi ini turut menarik perhatian pemimpin politik, termasuk Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan, yang mendesak agar permohonan maaf terbuka dibuat serta menuntut tindakan tegas daripada pihak kerajaan terhadap stesen radio tersebut.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, turut mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima pelbagai aduan daripada masyarakat mengenai insiden berkenaan.
Ini membuktikan bahawa sensitiviti budaya dalam media masih menjadi isu yang perlu ditangani dengan lebih berkesan oleh penggiat industri penyiaran.
Perketat Garis Panduan
Dalam perkembangan lanjut, Astro Audio menegaskan komitmen mereka dalam memastikan semua kandungan yang diterbitkan selari dengan nilai dan jangkaan audiens.
“Astro Audio komited terhadap kepercayaan para pendengar kami serta memastikan persekitaran media dihormati dan menyeluruh. Kami sedang mengambil langkah memperkukuh proses semakan kandungan bagi memastikan program dihasilkan mencerminkan nilai dan jangkaan audiens kami.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan penuh terhadap kesemua garis panduan dan keperluan yang ditetapkan. ami amat menghargai maklum balas dari para pendengar dan pemegang taruh serta akan terus mendengar, belajar, dan memperbaiki diri. Terima kasih di atas sokongan anda”.