Memulihara kelestarian alam kini menjadi agenda yang cukup penting di kalangan penggerak fesyen global masa kini. Pelbagai inisiatif dan kempen diperkenalkan bagi menggalakkan orang ramai lebih cakna akan kepentingan menjaga alam sekitar terutamanya dalam industri ini.
Di antara jenama yang cukup aktif meraikan fesyen yang lebih lestari ialah Levi’s. Terbaru, jenama popular dengan seleksi produk denim ini memperkenalkan kempen ‘Buy Better, Wear Longer’.
Menurut Levi’s kempen ini dibina berdasarkan komitmen jangka panjang mereka untuk menjadikan fesyen lebih lestari, selain memanjangkan jangka hayat produknya. Bagi menyokong usaha ini, Levi’s memperkenalkan filem sinematik pendek dari perspektif sepasang celana Levi’s yang menceritakan kisah pelbagai generasi.
Ia menonjolkan kehidupan rekaan Levi’s paling ikonik, 501. Dengan transformasi menerusi beberapa dekad bersama setiap pemilik, di samping menyesuaikannya dengan gaya pada setiap zaman, 501 dipertontonkan sebagai helaian yang relevan, dan boleh dipakai pada hari ini sama seperti pada tahun 1960-an.
“Kempen ini bercakap tentang warisan, ketahanan dan daya tarikan Levi’s kepada khalayak global yang luas. Sepasang Levi’s mampu bertahan lama dan tidak dimamah usia, mampu menarik perhatian generasi demi generasi, dengan beberapa perubahan.
“Tak lapuk dek zaman dan versatil, namun penuh bergaya – tanpa mengira dekad. Mesej ini lebih relevan untuk era ini berbanding sebelumnya, kala kita semua berfikir bagaimana kita boleh menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari” jelas Ketua Pegawai Pemasaran Global Levi’s, Karen Riley-Grant.
Kempen ‘Buy Better, Wear Longer’ ini bertindak sebagai rayuan dan janji kepada pengguna untuk mebuat pembelian yang lebih bijak dan mencari cara terbaik untuk memakai serta menggunakan semula dan menyimpan pakaian mereka selama yang boleh, sebelum menyerahkannya kepada generasi akan datang.
Dan ia juga adalah komitmen daripada jenama ini bagi meneruskan usahanya dalam pelbagai bidang untuk lebih bertanggungjawab dalam menguruskan sumber asli yang digunakan, di samping berinovasi merentasi reka bentuk dan platform pembuatannya untuk menjadi lebih mampan, serta untuk bergerak ke arah lebih banyak produk lingkaran juga amalan sama secara keseluruhannya.
Paling utama, Levi’s telah membuka sumber pembelajaran dan alatan untuk membolehkan perubahan yang lebih meluas.
Kini, Levi’s terus bekerjasama dengan rakan kongsi dan peneraju kelestarian antaranya Fashion for Good dan Yayasan Ellen MacArthur untuk membantu mengalihkan industri kepada model lingkaran, dan dalam masa asama makmal R&D Levi’s, WellThread, berterusan mencari cara radikal baharu dalam menghasilkan pakaian yang boleh mengurangkan jejak alam sekitarnya.
“Melakukan konfigurasi semula rantaian bekalan sememangnya mengambil masa lama, namun kami berjaya temui rakan kongsi yang turut menitikberatkan jejak alam sekitar mereka malah teruja untuk bereksperimen seperti kami. Kerjasama ini membolehkan kami memperkenalkan lebih banyak model lingkaran dalam cara menghasilkan produk kami.” – Paul Dillinger, Naib Presiden, Ketua Inovasi Produk Global.
Baru-baru ini, Levi’s Malaysia turut melancarkan kempen ‘Buy Better, Wear Longer’ di outlet mereka di Pavilion Bukit Jalil. Sesi tersebut juga cukup istimewa kerena Levi’s turutmenjalankan sesi ‘denim swapping’ di kalangan pencinta jenama sejati mereka. Selain itu, kehadiri beberapa figura popular seperti Azrel Ismail, Nikki Dhillon, Joe Shinag dan ramai lagi.