Koleksi Terbaru Levi’s Tampilkan Kolaborasi Bersama Siri Animasi Legenda, ‘The Simpsons’

Share

Rasa seperti ia sentiasa ada. Bagi penggemar dan peminat siri animasi ‘The Simpson’ pastinya sudah tahu akan status legenda yang di bawa olehnya. Tahukah anda episod pertama ‘The Simpsons’ ditayangkan pada 17 Disember 1989! Ini bermakna ia sudah memasuki usia 33 tahun tayangan di kaca televisyen.

Karenah pelbagai karakter yang ditonjolkan oleh warga Springfield itu masih kekal sebagai sumber komedi serta hiburan berpanjangan. Sehingga kini ia sentiasa sarat dengan pelbagai m0men-momen ikonik dengan skrip yang cukup mencuit hati dan genius. Berikutan dengan itu Levi’s merasakan kolaborasi ini mempunyai signifikasi yang cukup mantap.

Bersempena koleksi Musim Bunga/Panas 2022, Levi’s dan The Simpsons memperkenalkan koleksi yang hadir dengan inspirasi street wear dengan cetusan aura yang mengimbau semula budaya pop dunia.

Dengan karakter popular seperti Bart, Lisa, Milhouse bersama sebilangan besar penduduk popular di Springfield, ia merupakan kerjasama yang membawa anda kembali ke era lain namun masih mengekalkan penampilan segar dan bergaya untuk zaman ini.

Antara elemen yang diketengahkan ialah Rompi Puffer yang boleh diterbalikkan dengan cetakan biru langit dan awan pada salah satu sisinya sebagai tanda penghargaan pada kredit pembukaan rancangan itu.

Manakala rona kuning The Simpsons pada sisi lain, di samping denim indigo pudar longgar Levi’s Trucker yang menonjolkan grafik Bart Simpson menikmati minuman Squishee bersama logo ikonik Levi’s Batwing.

Terdapat juga gabungan gaya yang diilhamkan daripada penggayaan pakaian sekolah—semestinya sebagai penghormatan kepada Sekolah Rendah Springfield termasuk kemeja-T Ringer, juraian pada baju panas dan jaket serta seluar korduroi kuning.

Rekaan jaket juga menyerlahkan lapisan cetakan keseluruhan dengan imej Lisa Simpson, Ralph Wiggum, Puan Krabappel, Otto si pemandu bas dan pelbagai lagi watak kegemaran dalam ‘Simpsons’.

Turut menampilkan cetakan ‘Simpsons’ secara menyeluruh ialah Topi Bucket Puffer. Bagi melengkapkan lagi koleksi ialah gabungan kemeja-T, dan baju panas potongan leher kru yang memaparkan cetakan grafik adegan daripada episod ikonik ‘Simpsons’, di samping rangkaian aksesori Levi’s x ‘Simpsons’, termasuk topi beanie bersulam serta Beg Silang Levi’s bercorakkan awan dan langit biru.

Selami dunia The Simpsons dengan gabungan unik semangat Springfield ini bersama gaya Levi’s yang tersendiri. Kolaborasi Simpsons x Levi’s ini dilancarkan secara global pada 3 Mac 2022 dengan harga antara RM119 hingga RM649. Koleksi itu boleh didapati secara pembelian melalui levi.com.my dan di butik Levi’s terpilih di seluruh negara.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim