Tidak dinafikan industri fesyen juga antara yang terjejas dengan penularan wabak Covid-19 yang melanda di dunia. Namun ia tidak mematahkan semangat penggerak industri ini untuk tampil dengan idea-idea merevolusikan fesyen. Antaranya pereka fesyen terkenal tanah air, Hatta Dolmat yang mengetengahkan koleksi dengan konsep lestari.

Tahun ini menyaksikan Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) tidak dapat dilangsungkan secara fizikal. Pentas KLFW 2020 kali ini telah ditransformasikan ke bentuk digital.

Menjadi salah seorang pereka yang mengambil bahagian dalam edisi KLFW ini, Hatta Dolmat mengambil pendekatan yang cukup tersendiri dalam memperkenalkan koleksinya.

Beliau menjadi pereka fesyen Malaysia pertama yang merevolusikan penghasilan pakaian secara lestari. Ia bermakna pendekatan yang diambil memgambil kira aspek kelestarian alam sekitar yang dtiserlahkan dengan visi bagi mengurangkan lambakan sisa pepejal plastik dan tekstil.

Hatta menggabungkan fesyen dan kemampanan alam sekitar sebagai teras utama koleksi HD Monogram yang dilancarkan di KLFW Digital 13 November ini.

PIKUL TANGGUNGJAWAB

“Industri fesyen merupakan industri pengeluar sisa sampah dan pencemaran kedua terbesar selepas industri petroleum. Dikala kita sedang bergelut dengan masalah pencemaran sisa plastik yang tidak terkawal, kita juga telah dihadapkan dengan masalah lambakan sisa tekstil di tapak pelupusan sampah.

IKLAN

koleksi hatta dolmat klfw

“Justeru, selaku pereka fesyen dan seorang usahawan, ini merupakan tanggungjawab saya untuk mendidik dan memberi laluan yang kondusif bagi semua pereka fesyen untuk mengikuti jejak langkah saya dalam merevolusi industri kearah yang lebih lestari,” jelas Hatta Dolmat.

Tambahnya lagi, pereka fesyen seharusnya menjadi lebih peka terhadap masalah isu semasa dan melihat apa yang boleh dibantu melalui hasil rekaan dan seni masing masing.

koleksi hatta dolmat lestari hatta dolmat lestari

Pengenalan koleksi HD Monogram di KLFW 2020 ini juga selari dengan sambutan ulang tahun Hatta Dolamt selama 15 tahun berkecimpung di dalam industri fesyen.

Penghasilan koleksi ini bukan sekadar hanya sebuah koleksi baru bagi mengisi ruang tayangan KLFW, namun Hatta menggunakan peluang ini bagi menghasilkan sebuah koleksi yang mempunyai nilai etika yang tinggi.

KOLABORASI TIGA SEKTOR

Baik dari segi pemilihan kain, penghasilan dan dari segi kelestarian juga dikawal rapi oleh pihak yang turut berkolaborasi bersama Hatta. Koleksi lestari sedia pakai HD Monogram merupakan gabungan kerjasama tiga sektor induk terdiri daripada Hatta Dolmat, SWCorp dan Kloth Cares.

Mereka bersama-sama tampil dengan hasrat mendidik masyarakat tentang kepenggunaan semula bahan kitar semula mampu untuk menghasilkan koleksi pakaian berkualiti tinggi.

“Tugas saya selaku pereka fesyen adalah untuk menghasilkan pakaian yang mempunyai nilai etika yang tinggi kepada pengguna. Industri fesyen telah disimbah dengan limpahan populariti dan kemewahan sejak sekian lama, namun tanpa disedari, kami selaku pereka juga memikul tanggung jawab sebegai penggerak ekonomi dunia.

“Malangnya, kita sudah jauh ketinggalan. Saya perlu mendidik rakan seperjuangan saya dan juga masyarakat untuk celik minda dan celik akal dalam melihat realiti kepentingan kelestarian”, tambah Hatta.

Jangan lupa untuk subscribe YouTube MASKULIN untuk video menarik tentang gaya hidup lelaki terkini.