Himpunan koleksi kolaborasi di antara jenama pakaian mampu milik dan jenama mewah kini dilihat sebagai di antara trend baharu yang membawa keunikannya tersendiri.
Sebagai jenama fesyen yang cukup universal, UNIQLO sentiasa dikenali ramai kerana keterbukaan mereka untuk berkolaborasi dengan pelbagai pihak dari cabang seni berlainan. Terbaru, UNIQLO telah mengumumkan kerjasama mereka bersama jenama fesyen mewah dari Itali yang cukup terkenal, MARNI.
Menerusi kenyataan medianya, UNIQLO berkata kolaborasi ini telah dinantikan dengan cukup lama oleh penggemar kedua-dua jenama. Koleksi UNIQLO x MARNI diketengahkan dengan sentuhan yang lebih berani dan menyerlah dengan sifat keremajaan serta identiti rekaan kedua-dua jenama.
UNIQLO LifeWear terkenal dengan rekaan minimalis dan pakar dalam teknikal pakaian manakala MARNI pula tersohor dengan nilai estetika pelbagai corak dan bentuk unik. Kedua-dua elemen ini diketengahkan menerusi koleksi yang membariskan cukup banyak variasi pilihan pakaian.
Menurut Pegawai Eksekutif Senior dan Ketua R&D UNIQLO, Yukihiro Katsuka berkata,” Kami berbangga dengan kolaborasi bersama MARNI yang telah menyaksikan kelahiran koleksi musim baru dan memberikan keriangan berpakaian.
“Falsafah UNIQLO adalah mudah iaitu dengan ringkas, kualiti tinggi, berfungsi dan sarat dengan ciri-ciri kreativiti. Kami juga berbezar hati memperkenalkan koleksi kolaborasi bersama MARNI dengan sensasi cukup positif,” tambahnya lagi.
Manakala bagi Pengarah Kreatif MARNI pula berkata, “Kami juga begitu teruja melihat kejayaan kolaborasi ini sejak dari mula lagi. Keseluruhan proses menghasilkan koleksi ini mendukung visi UNIQLO dan dalam masa yang sama menawarkan visi MARNI dengan rekaan tersendiri”.
Koleksi UNIQLO x MARNI boleh didapati menerusi platform e-dagang mereka dan juga outlet UNIQLO Fahrenheit88.